Saturday, August 13, 2016

ANDAI KAMU FAHAM TASBIHNYA

ANDAI KAMU FAHAM TASBIHNYA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (al-Ra’d [13:13]) pada 11 Ogos 2016. Antara isunya adalah Tasbih Guruh dan berbagai makhluk lain yang hanya mampu difahami dengan ilmu.

Sukar dan seakan mustahil bagi manusia biasa untuk mengingati Allah sepanjang masa. Jika ada yang mampu berbuat demikian, ia sudah memiliki sifat para malaikat sebagaimana akuan Allah dalam al-Quran:

يُسَبِّحُونَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ لَا يَفْتُرُونَ

Ertinya: Mereka (para malaikat) bertasbih (beribadat kepada Allah) malam dan siang, tanpa henti (al-Anbiya’ [21:20]).

Ketika mengulas ayat ini, Imam al-Tabari membawa sebuah riwayat dari Ka’ab al-Ahbar (alim Yahudi yang sudah memeluk Islam). Menurut Ka’ab zikir para malaikat seumpama nafas (oksigen) pada manusia (Tafsir al-Tabari).

Walaupun kelihatan sukar, ada segelintir hamba Allah yang mampu hidup dalam zikir sepanjang masa. Apa agaknya rahsia mereka sehingga mampu berbuat demikian? Setakat pemerhatian saya, kita mampu memahami hakikat tasbih serta zikir semua makhluk di alam ini jika kita mendalami al-Quran kerana Allah menyebut semua makhluk sentiasa bertasbih dalam “bahasa mereka” tersendiri. Apa Bahasa mereka itu? Ayuh kita terokai bersama!

Antara makhluk yang disebut bertasbih kepada Allah adalah “GURUH.” Walaupun bunyinya gegak gempita membibitkan telinga, itu sebenarnya tasbih atau zikirnya kepada Allah. Firman Allah:

وَيُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ وَيُرْسِلُ الصَّوَاعِقَ فَيُصِيبُ بِهَا مَنْ يَشَاءُ وَهُمْ يُجَادِلُونَ فِي اللَّهِ وَهُوَ شَدِيدُ الْمِحَالِ

Ertinya: GURUH DAN MALAIKAT BERTASBIH MEMUJINYA, KERANA TAKUT KEPADANYA. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Dia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya (al-Ra’d [13:13]).

Bagaimana agaknya dentuman bingit sang guruh yang terhasil dari aktiviti agresif pergerakan udara dan cas eletrik di langit boleh menjadi tasbih dan zikir?  Bagi merungkai soalan itu, mari lihat firman Allah ini:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ (41)

Ertinya: Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) SENTIASA BERTASBIH KEPADANYA SEKALIAN MAKHLUK YANG ADA DI LANGIT DAN DI BUMI SERTA BURUNG YANG TERBANG BERBARIS DI ANGKASA? SEMUA (MAKHLUK ITU) SEDIA MENGETAHUI (MENURUT KEADAAN SEMULAJADINYA) AKAN CARA MENGERJAKAN IBADATNYA KEPADA ALLAH DAN MEMUJINYA; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan (al-Nur [24:41]).

Juga firman Allah dalam ayat lain:

تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا (44)

Ertinya: Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, SENTIASA MENGUCAP TASBIH BAGI ALLAH; DAN TIADA SESUATUPUN MELAINKAN BERTASBIH DENGAN MEMUJINYA; AKAN TETAPI KAMU TIDAK MENGERTI AKAN TASBIH MEREKA. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun (al-Isra’ [17:44]).

Ayat surah al-Isra’ ini lebih mendalam ulasannya. Perhatikan perkataan – لا تفقهون - yang bermaksud “KAMU TIDAK MENGERTI.” Dalam bicara agama, perkataan FAQIHA pada – تفقهون – “KAMU MENGERTI” sangat berbeza dengan perkataan ‘ALIMA pada  – تعلمون   - “KAMU MENGETAHUI.” SI FAQIH jauh lebih tinggi darjat ilmu, kefahaman dan penghayatannya berbanding SI ALIM. Apabila melihat alam ini beroperasi dalam sistem aturan Allah, orang ALIM berkata ia adalah fenomena alam atau Sains, manakala SI FAQIH mengakui ia adalah Sains yang disulami hakikat ketuhanan. Alam ini “BERTUAN atau lebih tepat lagi BERTUHAN.”

Si Faqih faham bahawa setiap aktiviti yang dilakukan oleh semua makhluk di alam ini adalah lambang kepatuhan mereka kepada Allah. Patuh mereka itulah yang difahami sebagai “TASBIH dan ZIKIR” mereka. Matahari yang bersinar, bulan yang mengambang, bumi yang berputar tanpa henti, air yang mengalir, angin yang bertiup, burung yang berkicau, bayang objek yang memanjang berikutan suluhan matahari, awan yang berarak, kilat yang memancar, ombak yang memukul pantai dan semuanya adalah bentuk Tasbih semua makhluk alam kepada Allah. Allah menegaskannya dalam banyak ayat, antaranya:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يَسْجُدُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالشَّمْسُ وَالْقَمَرُ وَالنُّجُومُ وَالْجِبَالُ وَالشَّجَرُ وَالدَّوَابُّ وَكَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ وَكَثِيرٌ حَقَّ عَلَيْهِ الْعَذَابُ وَمَنْ يُهِنِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ مُكْرِمٍ إِنَّ اللَّهَ يَفْعَلُ مَا يَشَاءُ

Ertinya: Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud (patuh) kepada Allah dan (antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok kayu, binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya (al-Hajj [22:18]).

Setelah memahami bagaimana orang yang dalam ilmunya tentang hakikat Tuhan dan alam, maka kita tidak hairan jika mereka boleh tenggelam dalam zikir kepada Allah bersama PERGERAKAN ISI ALAM. Ketika orang lain hanya sekadar mendengar bunyi ayam berkokok, angin berdesir, burung berkicau, guruh berdentum dan sebagainya, orang yang Faqih sudah mampu menukar bunyi itu kepada TASBIH dan sentiasa “BERADA DALAM TASBIH” kepada Allah. Mudah-mudahan nota Tafsir ini boleh membantu kita memahami hakikat Tasbih semua makhluk, lantas turut menarik kita bertasbih pada sepanjang masa bersama mereka.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...