Friday, July 22, 2016

SANTUN DAN TENANG DI MASJID KASSIM SINGAPURA

SANTUN DAN TENANG DI MASJID KASSIM SINGAPURA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Apa perasaan kita apabila sifat kita dipuji Allah melalui lidah Rasulullah SAW yang mulia? Pasti kita akan terharu dalam kesyukuran. Itulah kemuliaan seorang sahabat Rasulullah SAW yang dikenali sebagai Asyajj ‘Abdul Qays (atau nama sebenarnya al-Mundhir bin al-Harith RA). Ketika tiba di Madinah bersama kaumnya, beliau masuk bertemu Rasulullah SAW dengan penuh adab. Berikutan sikapnya itu Rasulullah berkata:

إِنَّ فِيكَ خَصْلَتَيْنِ يُحِبُّهُمَا اللَّهُ الْحِلْمُ وَالْأَنَاةُ

Ertinya: Sesungguhnya ada 2 kualiti (sifat) pada kamu yang Allah cintai iaitu sifat Sopan Santun (bijak dalam bertindak) dan tenang (tidak gopoh atau meneliti sebelum bertindak) (Sahih Muslim, Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi).

Khutbah Jumaat di Masjid Kassim, Changi, Singapura hari ini (22 Julai 2016) yang disampaikan Ustaz Irwan Hadi. Khutbahnya ringkas lagi padat, bahasa Inggerisnya jelas dan gaya penyampaiannya agak santai. Sejurus selepas solat saya sempat menyapa Ustaz Irwan Hadi yang memegang jawatan Setiausaha Majlis Fatwa Singapura. Ternyata beliau bukan calang-calang orangnya. Beliau adalah graduan Universiti al-Azhar dan mendapat Master di School of Oriental and Africa Study (SOAS), UK. Tidak hairanlah bahasa Inggerisnya sangat fasih. Alhamdulillah ziarah saya kali ini untuk mengajar kelas Pengajian Jarak Jauh anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di pejabat PERGAS (Persatuan Ulama dan Guru Agama Singapura) membuka mata hati saya agar menjiwai “SUNNAH AKHLAK” yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Menurut Ustaz Irwan, pihak Jabatan Mufti dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mempunyai sasaran memperkenalkan akhlak kepada masyarakat Islam Singapura dalam khutbah Jumaat pada tahun ini. Subhanallah! Usaha ini sangat bagus kerana “AKHLAK ADALAH DAKWAH TIDAK BERSUARA YANG SANGAT BERKESAN.”

Antara isi menarik khutbah beliau yang sempat saya ingat adalah berkaitan MENJIWAI AKHLAK SOPAN DAN TENANG yang menjadi amalan Rasulullah. Bahkan ia menjadi satu cara berkesan mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW. Apabila kita berakhlak dengan kedua akhlak ini, kita akan beroleh pahala mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW.

Aduhai! Malang sekali sesetengah pihak yang kononnya memperjuangkan Sunnah Rasulullah tetapi tidak menjiwai dua akhlak ini dalam hidup. Akibatnya berbagai komen ejek, senda dan hina dilepaskan bagai peluru berpandu dalam media sosial, sedangkan mereka boleh bersikap SOPAN dan BERTENANG sebelum memberi komentar. Sudahnya komen tersebut menjadi timbunan dosa halimunan dalam alam maya. Ya Allah! Selamatkan kami dari sifat gelojoh dan TENANGKAN JIWA KAMI agar berfikir lebih bijak.

Ustaz Irwan juga membawa sebuah hadith lain yang menggambarkan betapa pentingnya kedua sifat itu dalam menghadapi krisis hidup. Pernah sekali sekumpulan Yahudi mencaci Rasulullah dengan ucapan salam yang “dijatuhkan huruf alifnya” – السام عليكم – yang bermaksud CELAKA KE ATAS KAMU! Aishah RA bertindak agresif menjawab salam cacian mereka:

قَالَتْ عَائِشَةُ فَفَهِمْتُهَا فَقُلْتُ وَعَلَيْكُمْ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ قَالَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْلًا يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَوَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ

Ertinya: Aishah menjawab: “Ke atas kalian juga celaka dan laknat!” Berikutan itu Rasulullah menegur Aishah: “ Tunggu dahulu Wahai Aishah, sesungguhnya Allah sukakan lemah lembut dalam semua perkara.” Aishah menjawab: “Tidakkah engkau dengar apa yang mereka ucapkan?” Baginda menjawab: “Aku sudah menjawab – Ke atas kalian juga (cacian itu) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Hadith ini menjadi saksi betapa baginda sangat tenang menghadapi cacian orang Yahudi. Lafaz yang digunakan baginda pun sopan lagi beralaskan akhlak. Inilah yang sepatutnya kita contohi. Ya Allah! Kurniakan kami sifat SOPAN dan TENANG agar kami selamat dari musibah kegelojohan akibat lidah serta tangan di mana jua, di alam zahir atau di alam maya.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...