Saturday, July 23, 2016

KETURUNAN MULIA? CANTIK BIAR SEPADAN DENGAN BAU BADAN

KETURUNAN MULIA? CANTIK BIAR SEPADAN DENGAN BAU BADAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ada yang beruntung membuka mata dalam limpahan ni’mat harta dan keturunan mulia. Lebih beruntung ada yang “DITAKDIRKAN ALLAH” lahir dalam rumpunan mulia keturunan kekasih Allah nabi Muhammad SAW. Itulah hakikat hidup di dunia ini yang menjadi pentas ujian bagi manusia. Jika berjaya menempuh  ujian hina atau “MULIA” itu maka bahagialah di alam sana. Firman Allah:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan MENINGGIKAN SETENGAH KAMU ATAS SETENGAHNYA YANG LAIN BEBERAPA DARJAT, KERANA DIA HENDAK MENGUJI KAMU PADA APA YANG TELAH DIKURNIAKANNYA KEPADA KAMU. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-An’am [6:165]).

Pernah sekali murid saya yang lahir dalam rumpun keturunan Rasulullah SAW meminta pandangan berkaitan mesej yang diterimanya. Mesej tersebut menyatakan nass berkaitan kemuliaan keturunannya. Antara nass yang berkaitan adalah:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآَتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Ertinya: Dan hendaklah kamu (wahai para isteri Rasulullah) tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. SESUNGGUHNYA ALLAH (PERINTAHKAN KAMU DENGAN SEMUANYA ITU) HANYALAH KERANA HENDAK MENGHAPUSKAN PERKARA YANG MENCEMARKAN DIRI KAMU - WAHAI "AHLULBAIT" DAN HENDAK MEMBERSIHKAN KAMU SEBERSIH-BERSIHNYA (DARI SEGALA PERKARA YANG KEJI) (al-Ahzab[33:33]).

Terdapat perbincangan panjang tentang siapakah yang Allah maksudkan sebagai Ahli Bayt atau keluarga Rasulullah SAW dalam ayat ini. Banyak riwayat menunjukkan mereka adalah 4 individu secara khusus iaitu Ali bin Abi Talib, Fatimah puteri Rasulullah SAW dan dua anaknya Hasan dan Husayn. Ada juga riwayat yang mengatakan mereka adalah 4 keluarga yang tidak dibenarkan menerima sedekah selepas kewafatan baginda iaitu keluarga 3 beradik anak Abu Talib iaitu Ali, ‘Uqayl dan Ja’afar serta keluarga ‘Abbas. Manakala jika kita merujuk keseluruhan ayat tersebut (ayat 28 – 34), konteksnya merujuk kepada para isteri baginda. Mudahnya, Ahli Bayt baginda secara umumnya merujuk kepada keluarga baginda keseluruhannya (Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Baghawi, Tafsir al-Razi).

Tidak dinafikan ayat di atas turun bagi memuliakan keluarga Rasulullah SAW, namun begitu kemuliaan utama mereka tetap berkait rapat dengan KUALITI TAQWA yang mereka miliki berkat asuhan Rasulullah SAW. Ringkasnya, darah keturunan boleh turun kepada generasi anak cucu tetapi taqwa bukan begitu sifatnya. Ia wajib dicari dan diusahakan sedaya mampu. Taqwa juga mampu dimiliki oleh siapa sahaja tanpa mengira jenis darah yang mereka miliki. Asal sahaja mereka mendaki puncak iman bagi mencari permata taqwa. Bak kata lirik nasyid “IMAN MUTIARA” nyanyian kumpulan Raihan pada tahun 1996 dahulu “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertakwa.”

Darah keturunan serta bentuk fizikal adalah takdir Allah semenjak azali untuk manusia. Sangat tidak adil jika yang berhidung mancung masuk syurga kerana kemancungan hidungnya atau yang bertubuh rendah menjadi teman Iblis dalam neraka kerana fizikalnya yang dilahirkan pendek. Ternyata nilaian taqwa jauh lebih saksama bagi semua. Bukan saya kata, tetapi ia adalah firman Allah Yang Maha Adil:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Ertinya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). SESUNGGUHNYA YANG PALING MULIA ANTARA KAMU DI SISI ALLAH ADALAH ORANG YANG PALING BERTAQWA  (BUKAN YANG LEBIH KETURUNAN ATAU BANGSANYA). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu) (al-Hujurat [49:13]).

Kewajipan merebut “piala taqwa” disebut oleh Rasulullah SAW dalam khutbah baginda pada hari Tasyriq semasa baginda menunaikan haji. Sabda baginda:


يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلَّا بِالتَّقْوَى


Ertinya: Wahai sekelian manusia, ketahuilah bahawa Tuhanmu satu, bapa kamu (Adam) juga satu. Tiada kelebihan bagi orang Arab berbanding orang bukan arab, tidak juga bagi orang bukan Arab terhadap orang Arab. Tiada juga kelebihan bagi orang berkulit merah berbanding si kulit hitam, tidak juga bagi si kulit hitam berbanding si kuit merah melainkan dengan (kualiti) Taqwa (Musnad Ahmad).

Bukti keadilan Allah merentas isu darah keturunan dan fizikal turut ditegaskan dalam ayat lain. Firman Allah:

فَإِذَا نُفِخَ فِي الصُّورِ فَلَا أَنْسَابَ بَيْنَهُمْ يَوْمَئِذٍ وَلَا يَتَسَاءَلُونَ

Ertinya: Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu TIDAK ADA LAGI MANFAAT PERTALIAN KERABAT DI ANTARA MEREKA, dan tidak pula sempat mereka bertanya (al-Mu’minun [23:101]).

Pernah sekali orang Quraysh cuba mempertahankan pencuri wanita dari Bani Makhzum. Mereka meminta agar Usamah bin Zayd RA (yang dikenali sebagai buah hati Rasulullah SAW) memujuk baginda supaya melepaskan wanita tersebut. Baginda lantas bangun berucap memberi amaran yang tegas, sabda baginda SAW:

إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمْ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الْحَدَّ وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

Ertinya: Sesungguhnya umat sebelum kamu musnah (kerana sikap pilih kasih). Apabila golongan bangsawan mencuri mereka dilepaskan, manakala apabila golongan bawahan mencuri barulah dilaksanakan hukuman. Demi Allah! Jika FATIMAH ANAK PEREMPUAN MUHAMMAD (SENDIRI YANG) MENCURI PASTI AKU AKAN (TETAP) MEMOTONG TANGANNYA (MELAKSANAKAN HUKUM ALLAH TANPA PILIH KASIH ATAU KASTA) (Sahih al-Bukhari).

Dalam hadith lain turut disebut hubungan keluarga dengan Rasulullah semata tidak membawa apa-apa erti jika tiada iman dan taqwa:

قَالَ يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا اشْتَرُوا أَنْفُسَكُمْ لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ لَا أُغْنِي عَنْكُمْ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا يَا عَبَّاسُ بْنَ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ لَا أُغْنِي عَنْكَ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا وَيَا صَفِيَّةُ عَمَّةَ رَسُولِ اللَّهِ لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا وَيَا فَاطِمَةُ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَلِينِي مَا شِئْتِ مِنْ مَالِي لَا أُغْنِي عَنْكِ مِنْ اللَّهِ شَيْئًا

Ertinya: “Wahai orang Quraysh, Belilah diri kamu sendiri (dengan mentaati Allah agar selamat dari azab kerana sesungguhnya) aku tidak dapat membantumu sedikit pun (dari azab Allah). Wahai Bani Abdul Manaf aku tidak dapat membantumu sedikit pun (dari azab Allah). Wahai ‘Abbas bin ‘Abdul Muttalib aku tidak dapat membantumu sedikit pun (dari azab Allah).  Wahai Safiyyah ibu saudara kepada Rasulullah, aku tidak dapat membantumu sedikit pun (dari azab Allah).  Wahai Fatimah anak perempuan Muhammad mintalah apa sahaja yang kamu mahu dari hartaku kerana aku tidak dapat membantumu sedikit pun (dari azab Allah) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Jika manusia itu tiada iman dan taqwa, keturunan yang hebat sekalipun tidak menjamin keselamatannya di akhirat kelak. Ini ditegaskan oleh baginda SAW dalam sebuah hadith lain:

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ يَقُولُ كُنَّا قُعُودًا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ فَذَكَرَ الْفِتَنَ فَأَكْثَرَ فِي ذِكْرِهَا حَتَّى ذَكَرَ فِتْنَةَ الْأَحْلَاسِ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا فِتْنَةُ الْأَحْلَاسِ قَالَ هِيَ هَرَبٌ وَحَرْبٌ ثُمَّ فِتْنَةُ السَّرَّاءِ دَخَنُهَا مِنْ تَحْتِ قَدَمَيْ رَجُلٍ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي يَزْعُمُ أَنَّهُ مِنِّي وَلَيْسَ مِنِّي وَإِنَّمَا أَوْلِيَائِي الْمُتَّقُونَ ……

Ertinya: Abdullah bin ‘Umar berkata, kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW lalu baginda bercerita tentang fitnah (musibah akhir zaman). Banyak sekali baginda menyebut tentangnya sehingga baginda menyebut tentang fitnah (musibah) yang akan berlaku secara berterusan. Seorang sahabat bertanya apakah fitnah (musibah) itu. Baginda menjawab: Ia adalah pelarian (manusia saling menjauhi antara satu sama lain kerana permusuhan) dan peperangan. Kemudian selepas itu akan datang pula fitnah (musibah) kegembiraan (berikutan kesenangan yang berpanjangan) yang diasapi (dinyalakan) di bawah tapak kakiku ini oleh lelaki dari keluargaku (keturunanku). Dia menyangka dia berasal sebahagian dari keturunanku sedangkan (perbuatan serta tingkah lakunya) bukan dari keturunanku (kerana tidak mengamalkan ajaranku), kerana sesungguhnya pengikutku adalah orang yang bertaqwa….. (Sunan Abu Dawud). Terjemahan ini dipetik dari kitab ‘Awn al-Ma’bud Syarah (huraian kepada) Sunan Abu Dawud.

Hidup beragama perlu jelas! Allah adalah Tuhan yang Maha adil. Keturunan mulia adalah bonus yang wajib dilengkapkan dengan akhlak dan budi. Datuk moyang yang menjadi pelopor keturunan pasti akan tersenyum panjang jika menemui anak cucu keturunannya berpakaian dengan akhlak mulia. Sebaliknya mereka pasti gundah gulana jika anak cucu hanya tahu berbangga dengan warisan keturunan tetapi miskin akhlak dan adabnya. Keturunan semata-mata belum menjamin kemuliaan hakiki di sisi Allah melainkan kemuliaan keturunan yang diikat dengan iman dan taqwa. Firman Allah:

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ


Ertinya: DAN ORANG YANG BERIMAN YANG DITURUT OLEH ZURIAT KETURUNANNYA DENGAN KEADAAN BERIMAN, KAMI HUBUNGKAN (HIMPUNKAN) ZURIAT KETURUNANNYA ITU DENGAN MEREKA (DI DALAM SYURGA); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal mereka; setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya (al-Tur[52:21]).

Menutup bicara nota ini saya analogikan sebuah dialog:

“Sayang sekali! Wajahnya cantik bak bidadari, tapi bau badannya mengalahkan si kambing jeruk!”

Keturunan mulia terhormat seumpama wajah yang cantik, manakala akhlak dan budi seumpama bau badan. Nilai si cantik akan jatuh jika bau badannya menusuk hidung. Oleh itu, lengkapkan anugerah wajah yang cantik dengan wangian yang sepadan. Barulah datuk nenek pemilik genetik wajah yang cantik itu akan tersenyum bangga.


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...