Sunday, May 22, 2016

BERGEGAS TERJUN GAUNG DAN MENGEJAR TUBUH TERUNA SEGAR

BERGEGAS TERJUN GAUNG  DAN MENGEJAR TUBUH TERUNA SEGAR

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (al-Saffat [37:69-71]) pada 10 Mei 2015. Antara isunya adalah kisah sikap tergesa-gesa 2 kaum yang sesat dan keji.

Satu kumpulan ini bergegas mengikut jejak langkah nenek moyang mereka ke gaung neraka, manakala yang satu lagi bergegas mahu menerkam tetamu nabi Lut AS yang tampan sasa lagi bergaya. Langkah kedua kumpulan manusia ini sengaja digambarkan Allah dengan lafaz -   يُهْرَعُونَ – BERGEGAS-GEGAS. Mengapa agaknya? Yang pasti Allah tidak akan menggunakan lafaz ini secara sia-sia. Mari kita perhatikan bukti kebijaksanaan dan kehebatan Allah sebagai Tuhan semesta alam dalam memilih perkataan paling tepat menggambarkan kebodohan serta kebejatan akhlak sesetengah manusia.

Dalam surah al-Saffat Allah menyindir sikap bebal sesetengah manusia yang menolak kebenaran yang dibawa para nabi dengan alasan tidak mahu meninggalkan warisan datuk nenek moyang mereka:

إِنَّهُمْ أَلْفَوْا آَبَاءَهُمْ ضَالِّينَ (69) فَهُمْ عَلَى آَثَارِهِمْ يُهْرَعُونَ (70) وَلَقَدْ ضَلَّ قَبْلَهُمْ أَكْثَرُ الْأَوَّلِينَ (71)

Ertinya: Sebenarnya mereka (yang kufur kepada Allah) mendapati datuk nenek mereka berada dalam kesesatan; lalu mereka TERBURU-BURU (BERGEGAS) menurut jejak langkah datuk neneknya. Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga - sebelum kaummu (wahai Muhammad) - kebanyakan kaum yang telah lalu (al-Saffat [37:69-71]).

Sikap mereka ini sama seperti orang yang bergegas mengejar sebuah kereta yang sedang menjunam ke dalam gaung dalam. Walaupun ditegah, dia tetap berlari melompat ke dalam kereta itu hanya kerana sayang meninggalkan si pemandu walaupun sudah jelas jalan binasanya. 

Manakala dalam kisah nabi Lut AS pula Allah menggunakan perkataan yang sama dalam menggambarkan kegilaan nafsu penduduk Sadum. Mereka yang sudah biasa membaham tubuh sesama mereka segera BERGEGAS-GEGAS menyerbu rumah nabi Lut AS setelah mendapat tahu baginda baru menerima tetamu yang tampan bergaya:

وَلَمَّا جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ (77) وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِنْ قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ قَالَ يَا قَوْمِ هَؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ (78)

Ertinya: Dan apabila datang utusan Kami (para malaikat) kepada Nabi Lut, dia berasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan berasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan". Dan kaumnya pun datang “BERGEGAS-GEGAS MELURU” kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu serta meliwat tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak perempuanku (wanita kaum baginda) mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamuku. Tidakkah ada antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?" (Hud[11:77-78]).

Allah sengaja menggunakan perkataan “BERGEGAS-GEGAS MELURU” bagi menunjukkan betapa GILA dan MENJIJIKKAN NAFSU kaum Lut. Sebaik mendapat berita ketibaan tetamu kacak di rumah nabi Lut AS, air liur mereka seakan “TERLECUR DERAS.” Tanpa tunggu mereka “BERGEGAS-GEGAS MELURU” ke rumah baginda. Kenapa perlu bergegas-gegas? Tidak lain kerana mereka mahu agar daging baru yang segar di rumah Lut itu dapat mereka kecap sebelum yang lain. Mereka sudah bosan menjamu nafsu sesama sendiri dalam hubungan seks luar tabi’i. Tetamu Lut yang masih segar teruna itu perlu segera diterkam, biar aku dahulu yang MENJAMAH atau “MELIWATNYA” sebelum orang lain.

Lihatlah betapa “bodoh” dan “jijiknya” 2 kumpulan manusia yang digarap tingkah laku mereka itu dengan perkataan yang sangat ekstrem itu. Allah menggunakan perkataan itu kerana mahu mengingatkan kita agar bijak memilih dan membuat keputusan. Jangan terlalu fanatik dengan sebarang peninggalan nenek moyang yang secara terang bercanggah dengan agama atau jangan terlalu melayan gelora nafsu yang tidak berpenghujung. Nah! Inilah caranya al-Quran menegur serta membimbing kita agar bijak memilih. Hanya dengan penggunaan sepatah perkataan sahaja mesej Allah langsung masuk menusuk jiwa. Ayuh dalami mukjizat Bahasa Arab pada kalamullah ini, mudah-mudahan kita mendapat petunjuk.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...