Friday, April 1, 2016

TANGAN SYAITAN DALAM KISAH PEMENJARAAN NABI YUSUF AS

TANGAN SYAITAN DALAM KISAH PEMENJARAAN NABI YUSUF AS

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:42]) pada 30 Mac 2016. Antara isunya adalah peranan Syaitan dalam lanjutan pemenjaraan Yusuf dalam penjara Mesir.

Besar sungguh dugaan yang dihadapi nabi Yusuf AS. Kebebasan baginda direnggut kasar oleh Zulaykha. Baginda dihumban dalam penjara Mesir tanpa salah dan tanpa bicara. Geram Zulaykha atas kebalnya iman Yusuf menjadi dendam kesumat yang sangat dalam. Kalau boleh dia mahu Yusuf reput dalam penjara tanpa had masa.

Dalam penjara, Yusuf mentakbir mimpi 2 teman sepenjaranya. Seorang bakal dihukum bunuh kerana merancang untuk membunuh Raja Mesir, manakala seorang lagi bakal bebas dan mendapat kembali kedudukannya sebagai penyedia minuman sang raja. Yusuf berpesan kepada temannya yang bakal bebas agar menceritakan perihal dirinya yang dianiaya dengan harapan sang raja mampu berbuat sesuatu:

وَقَالَ لِلَّذِي ظَنَّ أَنَّهُ نَاجٍ مِنْهُمَا اذْكُرْنِي عِنْدَ رَبِّكَ فَأَنْسَاهُ الشَّيْطَانُ ذِكْرَ رَبِّهِ فَلَبِثَ فِي السِّجْنِ بِضْعَ سِنِينَ

Ertinya: Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang dia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu (raja Mesir)". (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) MAKA DIA DILUPAKAN OLEH SYAITAN UNTUK MENYEBUTKAN (HAL YUSUF) KEPADA TUANNYA (RAJA MESIR). Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun (Yusuf [12:42])

Setelah keluar dari penjara, si tukang air raja Mesir langsung lupa perihal Yusuf. Lupa temannya itu disebut Allah berpunca dari usaha syaitan. Soalannya mengapa syaitan menjadikan lelaki itu lupa perihal Yusuf? Mampukah syaitan menutup saraf memori dalam otak manusia? Allah memberikan kebebasan pada syaitan untuk meneroka setiap sudut tubuh manusia. Saya andaikan si syaitan mengganggu “litar memori” teman Yusuf dengan sandaran hadith ini:

إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنْ الْإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ

Ertinya: Sesungguhnya syaitan (mampu) bergerak dalam (tubuh) manusia melalui pembuluh darah (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

Rupanya bukan sekali syaitan menggunakan “senjata lupa” kerana ia pernah berlaku pada murid nabi Musa AS ketika mereka keluar mencari Khidir AS. Firman Allah:

فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ سَرَبًا (61)  فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَاهُ
آَتِنَا غَدَاءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِنْ سَفَرِنَا هَذَا نَصَبًا (62) قَالَ أَرَأَيْتَ إِذْ أَوَيْنَا إِلَى الصَّخْرَةِ فَإِنِّي
نَسِيتُ الْحُوتَ وَمَا أَنْسَانِيهُ إِلَّا الشَّيْطَانُ أَنْ أَذْكُرَهُ وَاتَّخَذَ سَبِيلَهُ فِي الْبَحْرِ عَجَبًا (63)

Ertinya: Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan 2 laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang menjadi lorong di bawah tanah. Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: "Bawalah makan tengah hari kita, kerana kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini". Temannya berkata: "Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; DAN TIADALAH YANG MENYEBABKAN AKU LUPA DARIPADA MENYEBUTKAN HALNYA KEPADAMU MELAINKAN SYAITAN; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan" (al-Kahf[18:61-63]).

Syaitan menjadikan teman sepenjara nabi Yusuf AS lupa bagi menghalang baginda segera bebas kerana pembebasan baginda akan menjadi sebab penyebaran Tawhid dan musnahnya syirik di Mesir. Bagi kes nabi Musa AS dan muridnya pula, syaitan menjadikan Yusha’ bin Nun lupa kerana ingin melengahkan pertemuan dan pembelajaran ilmu pengetahuan antara Musa AS dan Khidir. Syaitan memang bencikan orang yang menuntut ilmu kerana ilmu adalah cahaya yang menyelamatkan manusia dari kejahilan dan kesesatan.

Suka atau tidak, rela atau paksa, syaitan sudah lama diwartakan Allah sebagai musuh manusia yang nyata. Firman Allah:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ

Ertinya: Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka (Fatir [35:6]).

Hubungan manusia dan syaitan bak pelanduk dan jerat. Pelanduk selalu leka dan lupakan jerat, namun jerat sentiasa sedia bagi memerangkap pelanduk. Pelanduk tidak bermusuh dengan jerat tapi jerat  dicipta untuk memusuhi pelanduk. Setelah tahu berbagai lorong dan strategi syaitan menjerat manusia sentiasalah bersedia dalam menghadapinya dan jangan jadi bodoh dan jahil seperti pelanduk.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...