Friday, April 15, 2016

NABI YA'QUB AS TAK MAHU DIPATUK ULAR 2 KALI

NABI YA’QUB AS TAK MAHU DIPATUK ULAR 2 KALI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:63-66]) pada 13 April 2015. Antara isunya adalah sikap berhati-hati nabi Ya’qub dengan sumpah anaknya.

Jika kita berada dalam kasut nabi Ya’qub AS, kita pasti tersentak mendengar permintaan anak baginda yang dilafazkan dengan nada sumpah yang sama selepas puluhan tahun sumpah pertama berlaku. Perhatikan  lafaz -   وإنا له لحافظون- DAN SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENJAGANYA DENGAN SEBAIK-BAIKNYA, pada hujung ayat 12 dan 63 yang dipaparkan ini:

قَالُوا يَا أَبَانَا مَا لَكَ لَا تَأْمَنَّا عَلَى يُوسُفَ وَإِنَّا لَهُ لَنَاصِحُونَ (11) أَرْسِلْهُ مَعَنَا غَدًا يَرْتَعْ وَيَلْعَبْ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ (12)

Ertinya: Mereka (anak nabi Ya’qub) pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya? Biarkan dia pergi bersama kami esok, supaya dia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; DAN SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENJAGANYA DENGAN SEBAIK-BAIKNYA" (Yusuf [12:11-12]).

Perhatikan pula Allah menyebut:

فَلَمَّا رَجَعُوا إِلَى أَبِيهِمْ قَالُوا يَا أَبَانَا مُنِعَ مِنَّا الْكَيْلُ فَأَرْسِلْ مَعَنَا أَخَانَا نَكْتَلْ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Ertinya:  Maka ketika mereka kembali kepada bapa mereka, berkatalah mereka: "Wahai ayah kami! Kami (tetap diberi amaran bahawa kami) tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (kiranya Bunyamin tidak pergi bersama). Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi bekalan makanan; DAN SESUNGGUHNYA KAMI AKAN MENJAGANYA DENGAN SEBAIK-BAIKNYA" (Yusuf [12:63]).

Apa beza antara kedua sumpah yang berlaku pada 2 zaman itu? Selepas sumpah anaknya puluhan tahun dahulu, Yusuf AS hilang entah ke mana. Lalu kali ini mereka sekali lagi bersumpah dalam nada yang sama dan mohon membawa Bunyamin pula keluar ke Mesir. Bunyamin dan Yusuf pula adik beradik seibu sebapa, manakala anaknya yang lain tidak berkongsi ibu dengan Yusuf serta Bunyamin. Ketulusan sumpah serta kesucian hati mereka diragui oleh nabi Ya’qub AS sebagaimana disebut Allah:

قَالَ هَلْ آَمَنُكُمْ عَلَيْهِ إِلَّا كَمَا أَمِنْتُكُمْ عَلَى أَخِيهِ مِنْ قَبْلُ فَاللَّهُ خَيْرٌ حَافِظًا وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Ertinya: Bapa mereka berkata: "(Jika aku lepaskan dia pergi bersama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan" (Yusuf [12:64]).

Mengapa nabi Ya’qub AS seakan tersentak setelah mendengar lafaz permintaan bersulam sumpah anaknya pada hujung ayat 63? Bukankah kehilangan Yusuf sudah berlaku puluhan tahun dahulu? Apa salahnya memaafkan anaknya kerana mungkin mereka sudah bertaubat. Bukankah memaafkan serta melupakan kesilapan orang adalah sifat terpuji? Allah pernah menyarankan maaf dan lupa kepada Abu Bakar RA setelah beliau bersumpah tidak mahu membantu Mistah bin Uthathah RA yang terlibat memanjangkan cerita tak manis Aishah RA dalam kisah Aishah difitnah (Tafsir Jalalayn):

وَلَا يَأْتَلِ أُولُو الْفَضْلِ مِنْكُمْ وَالسَّعَةِ أَنْ يُؤْتُوا أُولِي الْقُرْبَى وَالْمَسَاكِينَ وَالْمُهَاجِرِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلْيَعْفُوا وَلْيَصْفَحُوا أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya: Dan janganlah orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu (Abu Bakar RA), bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah (Mistah bin Uthathah RA); dan (sebaliknya) HENDAKLAH MEREKA MEMAAFKAN SERTA MELUPAKAN KESALAHAN ORANG ITU; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (al-Nur [24:22]).

Wajib kita fahami, nabi Ya’qub AS bukan pendendam. Sikap baginda mempersoalkan ketulusan sumpah anaknya temasuk dalam sifat teliti serta beringat yang wajib ada pada orang beriman. Buktinya Rasulullah SAW pernah bersabda mengingatkan orang beriman agar beringat agar pisag tidak berbuah 2 kali:

لَا يُلْدَغُ الْمُؤْمِنُ مِنْ جُحْرٍ وَاحِدٍ مَرَّتَيْنِ

Ertinya: Seorang lelaki (juga wanita) beriman tidak sepatutnya dipatuk ular dari satu lubang sebanyak dua kali (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Apa kisah atau asbab wurud (sebab munculnya) hadith Rasulullah SAW ini?  Dalam kitab Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi dan Sirah Ibn Hisyam disebut selepas perang Badar, Rasulullah SAW menawan seorang lelaki Mekah yang bernama Abu ‘Azzah al-Jumhi. Dia adalah seorang penyair dan selalu menyerang baginda dalam syairnya. Dia dilepaskan dengan syarat tidak lagi mencaci Rasulullah SAW dalam syairnya atau memerangi Islam. Dalam perang Uhud dia keluar sekali lagi bersama pihak Musyrikin Mekah memerangi Islam dan berjaya ditawan para sahabat. Ketika dibawa kepada Rasulullah, dia meminta belas kasihan baginda agar dilepaskan. Dia kemudiannya dibunuh atas arahan Rasulullah SAW yang mengucapkan hadith di atas.  Walaupun hadith ini sahih, kisah pembunuhan Abu ‘Azzah dikatakan lemah oleh sesetengah ulama hadith. Rujuk buku (ما شاع ولم يثبت في السيرة النبوية  - Apa banyak tersebar dalam kitab sirah tetapi tidak sahih – karya Muhammad bin Abdullah al-‘Awsyan). Allahu A’lam.

Kembali kita kepada kisah nabi Ya’qub AS, baginda bertindak bijak setelah mengikat anaknya yang bersumpah buat kali kedua dengan satu sumpah yang lebih kukuh. Perhatikan ayat ini:

قَالَ لَنْ أُرْسِلَهُ مَعَكُمْ حَتَّى تُؤْتُونِ مَوْثِقًا مِنَ اللَّهِ لَتَأْتُنَّنِي بِهِ إِلَّا أَنْ يُحَاطَ بِكُمْ فَلَمَّا آَتَوْهُ مَوْثِقَهُمْ قَالَ اللَّهُ عَلَى مَا نَقُولُ وَكِيلٌ

Ertinya: (Nabi Ya’qub) berkata:" Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh". Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, baginda berkata: "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu." (Yusuf [12:66]).

Pengajaran mudah buat kita semua. Kita perlu mengelakkan prasangka yang tidak semestinya benar, namun kita juga wajib beringat agar tidak selamanya ditipu atau ditindas. Inilah sifat mukmin sejati.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/S=e25b12b6e5fe2e54576c4c3b35587d6fea5e66f4/buku/ceritera-haji-wartawan-al-quran-tuhan-kami-datang/

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...