Wednesday, April 13, 2016

BEGINI RUPANYA LINTASAN SYAITAN

BEGINI RUPANYA LINTASAN SYAITAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ketika Puan Sri Fatimah mengeluar susunan RM 3 ribu, tiba-tiba sahaja satu suara jahat menujah minda saya:

“Wah! Banyaknya duit kutipan hari ini, jika aku ambil duit ini tiada siapa pun tahu!”

Sejurus lintasan jahat itu, hati kecil saya beristighfar panjang. Inna-lillah! Tak saya sangka lintasan jahat ini boleh masuk ke dalam minda. Ingatan saya terus menyentap sebuah hadith Rasulullah SAW yang pernah saya baca:

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الْأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ertinya: Sesungguhnya terdapat bisikan syaitan dan malaikat pada hati anak Adam. Adapun bisikan syaitan adalah sesuatu yang mendorong untuk melakukan kejahatan dan mendustai kebenaran, manakala bisikan malaikat pula adalah dorongan untuk melakukan kebaikan dan membenarkan kebenaran. Sesiapa yang mendapatinya (bisikan malaikat), maka ketahuilah bahawa ia berasal dari Allah dan hendaklah dia segera memuji Allah. Sesiapa yang mendapati yang sebaliknya (bisikan syaitan) maka hendak segera memohon perlindungan dengan Allah daripada gangguan syaitan yang direjam (Sunan al-Tirmidhi).

Kisahnya, Mustafa adalah seorang bekas pelajar saya di UIAM. Dia berasal dari Kemboja dan sedang melanjutkan pelajaran pada peringakat Sarjana (Master). Dia tidak mendapat sebarang bantuan pelajaran dan terpaksa berkerja keras bagi menanggung kos pelajarannya. Dia sudah membayar separuh yuran pengajian dan buntu kerana tidak mampu membayar yang selebihnya. Dia kemudiannya meminta saya mencari dermawan yang boleh memberinya bantuan. Ringkas cerita, beberapa murid saya dalam kelas Tafsir Dhuha (di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur) pagi Selasa lalu bermurah hati memberinya sejumlah wang. Kisah “bisikan jahat” di atas muncul ketika saya mengambil wang sumbangan dari para pelajar usai kelas tersebut.

Ketika dalam perjalanan pulang ke UIAM saya menghubungi isteri saya dan menceritakan serangan jahat itu. Isteri saya lantas mengingatkan kisah bagaimana “Buku Tasawuf Moden” karangan HAMKA pernah menyelamatkan HAMKA ketika dia hampir putus asa kerana tuduhan sebagai pembelot negara dan soal siasat kejam oleh rejim Sukarno. Apabila terkenangkan betapa ramai manusia yang putus asa, kecewa dan sedih berjaya pulih setelah membaca buku TASAWUF MODEN karangannya, kesedihan dan kegusaran HAMKA yang sedang ditahan segera hilang.

Memang saya akui, ingatan saya kepada semua nota Tafsir yang pernah saya tulis seakan menjadi penyelamat saya pada hari itu. Antara yang pernah saya tulis adalah “RAHSIA MENGAPA ALLAH SEBUT JANGAN DEKATI” sesetengah dosa. Dalam al-Quran, ada 2 jenayah yang disebut dalam laras bahasa “JANGAN DEKATI” iaitu zina dan harta anak yatim. Harta anak yatim boleh dikategorikan sebagai harta tidak audit. Duit sumbangan untuk pelajar saya itu juga duit tidak audit. Para pelajar dewasa dalam kelas Tafsir Dhuha itu meletakkan sepenuh kepercayaan pada saya untuk menyampaikannya pada Mustafa. Apabila lintasan jahat tersebut masuk ke dalam kotak minda, barulah saya faham mengapa Allah sebut “JANGAN DEKATI HARTA TAK AUDIT.” Firman Allah:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Ertinya: Dan “JANGANLAH KAMU DEKATI HARTA ANAK YATIM MELAINKAN DENGAN CARA YANG BAIK (UNTUK MENGAWAL DAN MENGEMBANGKANNYA),” sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya (al-Isra’ [17:34]).

Wang sumbangan berjumlah RM 6070 itu saya anggap sebagai “racun” bagi saya. Ia perlu segera “DIJAUHKAN” seiring dengan arahan Allah pada harta tidak audit. Saya menghubungi Mustafa dan memintanya datang ke UIAM untuk mengutip wang itu pada jam 1 tengahari nanti. 

Kelas Dhuha pagi itu pula saya mengajar surah al-Saffat, dan pada ayat kedua surah ini Allah menyebut beberapa sifat para malaikat, antaranya menghalang hamba Allah dari melakukan kejahatan:

وَالصَّافَّاتِ صَفًّا (1) فَالزَّاجِرَاتِ زَجْرًا (2) فَالتَّالِيَاتِ ذِكْرًا (3)

Ertinya: Demi (hambaKu para malaikat) yang berbaris dalam saf yang cantik tersusun. Dan demi (HAMBAKU PARA MALAIKAT) YANG MELARANG (SEBARANG KEJAHATAN) DENGAN SEBENAR-BENARNYA. Dan demi (hambaKu para malaikat) yang membaca kandungan Kitab Suci; (al-Saffat[37:1-3]).

Kita adalah makhluk yang sangat lemah. Tanpa bantuan Allah yang menghantar malaikatnya menjentik iman dalam diri, kita senang terjerumus dalam lembah dosa. Bantuan Allah juga datang bersama ilmu. Dalam ayat lain, Allah menyatakan ilmu tentang dosa pahala boleh segera menyedarkan manusia betapa lintasan syaitan adalah racun dan bukannya madu:

إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ

Ertinya: Sesungguhnya orang yang bertaqwa, APABILA MEREKA DIGANGGU (BISIKAN) OLEH SESUATU IMBASAN HASUTAN DARI SYAITAN, MEREKA INGAT (KEPADA AJARAN ALLAH) MAKA DENGAN ITU MEREKA NAMPAK (JALAN YANG BENAR) (al-A’raf[7:201]).

Bayangkan apa akan jadi pada jumlah wang itu jika saya tidak dilindungi Allah?  Mungkin ini juga berkat “simpanan doa” ibu bapa atau datuk nenek saya yang soleh dahulu kala. Allah simpan untuk diberikan sebagai perisai integrity menyelamatkan saya dari bencana dosa hari itu, sebagaimana Allah pernah menghantar Khidir menyelamatkan harta terpendam milik 2 anak yatim kerana “berkat solehnya” bapa mereka dahulu. Siapa tahu? Firman Allah:

وَأَمَّا الْجِدَارُ فَكَانَ لِغُلَامَيْنِ يَتِيمَيْنِ فِي الْمَدِينَةِ وَكَانَ تَحْتَهُ كَنْزٌ لَهُمَا وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنْزَهُمَا رَحْمَةً مِنْ رَبِّكَ وَمَا فَعَلْتُهُ عَنْ أَمْرِي ذَلِكَ تَأْوِيلُ مَا لَمْ تَسْطِعْ عَلَيْهِ صَبْرًا

Ertinya: Adapun dinding itu pula, dimiliki oleh 2 anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada "harta terpendam" milik mereka; DAN (AL-MARHUM) BAPA MEREKA (DAHULU SEMASA HIDUP) ADALAH ORANG YANG SOLEH. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya" (al-Kahfi [18.82]).

Kita adalah manusia yang lemah. Perang kita dengan syaitan atau qarin yang terkurung dalam diri kita akan berterusan tanpa henti sehingga mati. Siapkan diri dengan ilmu, taqwa dan doa bagi meluruskan pemanduan menuju Allah. Syaitan dalam diri kita tidak kenal putus asa atau pencen. Oleh itu, kita juga jangan kenal putus asa atau pencen dalam mentaati Allah dan menentang bisikan syaitan. Insya Allah kita akan selamat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...