Thursday, March 17, 2016

WATAK FIZIKAL DAN ROHANI YUSUF TIDAK BERPISAH DARI MALAIKAT

WATAK FIZIKAL DAN ROHANI YUSUF TIDAK BERPISAH DARI MALAIKAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:30-31]) pada 16 Mac 2016. Antara isunya adalah rahsia mengapa pujian ketampanan Yusuf diumpamakan seperti malaikat.

Si fulan itu memang kacak. Bukan setakat mata wanita terpesona melihat tampan wajahnya, lelaki pun terhenti seketika melihat anggun wajahnya. Tampan atau kacak seseorang itu adalah bukti kehebatan Allah yang mampu melukis atau membentuk apa sahaja. Jika Allah melimpahkan sedikit kecantikan ciptaanNya pada mana-mana lelaki, ternyata nabi Yusuf AS diberikan separuh daripada kecantikan atau ketampanan semua lelaki yang pernah hidup di dunia. Ia digambarkan oleh Rasulullah SAW ketika menceritakan perihal wajah Yusuf yang ditemui baginda di langit ketiga semasa peristiwa Mikraj. Sabda Rasulullah SAW:

ثُمَّ عَرَجَ بِي إِلَى السَّمَاءِ الثَّالِثَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ فَقِيلَ مَنْ أَنْتَ قَالَ جِبْرِيلُ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِيُوسُفَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا هُوَ قَدْ أُعْطِيَ شَطْرَ الْحُسْنِ فَرَحَّبَ وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ

Ertinya: Kemudian aku dibawa naik ke langit ketiga. Jibril meminta izin agar dibuka pintunya, lalu ditanya oleh malaikat penjaga langit ketiga: “Siapakah anda?” JIbril menjawab: “Aku Jibril!” Kemudian ditanya lagi: “Siapakah bersamamu itu?” Jibril menjawab: “Dia adalah Muhammad SAW.” Malaikat penjaga langit ketiga bertanya: “Adakah dia telah dibangkitkan (sebagai Rasul)?” Jibril menjawab: “Ya! Dia sudah dibangkitkan.” Kemudiannya pintu langit ketiga dibukan dan aku bertemu dengan nabi Yusuf SAW dan ternyata dia “DIANUGERAHI SEPARUH KECANTIKAN (MANUSIA).” Dia menyambutku dan mendoakan kebaikan untukku (Sahih Muslim).

Pun begitu, ketampanan luar biasa Yusuf AS menjadi ujian yang sangat dahsyat kepada baginda. Sebagaimana yang kita ketahui, baginda digoda dahsyat oleh isteri Tuannya. Cerita Zulaykha mabuk cinta dengan hambanya langsung tersebar pada lidah pengumpat wanita di Mesir. Firman Allah:

وَقَالَ نِسْوَةٌ فِي الْمَدِينَةِ امْرَأَةُ الْعَزِيزِ تُرَاوِدُ فَتَاهَا عَنْ نَفْسِهِ قَدْ شَغَفَهَا حُبًّا إِنَّا لَنَرَاهَا فِي ضَلَالٍ مُبِينٍ

Ertinya: Dan (sesudah itu) perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata." (Yusuf [12:30]).

Panas telinga Zulaykha mendengar umpatan wanita Mesir. Bagi memulangkan paku buah keras, dia menjemput semua wanita yang lancang mengumpatnya hadir. Dia mahu semua wanita itu diam dan tahu “hujung pangkal” cerita mabuknya. Firman Allah:

فَلَمَّا سَمِعَتْ بِمَكْرِهِنَّ أَرْسَلَتْ إِلَيْهِنَّ وَأَعْتَدَتْ لَهُنَّ مُتَّكَأً وَآَتَتْ كُلَّ وَاحِدَةٍ مِنْهُنَّ سِكِّينًا وَقَالَتِ اخْرُجْ عَلَيْهِنَّ فَلَمَّا رَأَيْنَهُ أَكْبَرْنَهُ وَقَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ وَقُلْنَ حَاشَ لِلَّهِ مَا هَذَا بَشَرًا إِنْ هَذَا إِلَّا مَلَكٌ كَرِيمٌ

Ertinya: Maka apabila dia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada  setiap seorang daripada mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah dia (kepada Yusuf): "Keluarlah di hadapan mereka". Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "JAUHNYA ALLAH DARI KEKURANGAN! INI BUKANLAH SEORANG MANUSIA, INI TIDAK LAIN MELAINKAN MALAIKAT YANG MULIA!" (Yusuf [12:31]).

Ramai tersilap apabila menganggap tampan Yusuf hanya pada fizikal sahaja tanpa mengambil kira aspek akhlak dan ilmu baginda. Yusuf senantiasa tegak berdiri dengan ilmu dan akhlak kerana itulah makanan baginda sejak kecil. Perlu diingat bahawa baginda adalah anak didik seorang nabi iaitu Ya’qub dan sudah diramal oleh ayahandanya semenjak kecil bakal menjawat jawatan Rasul seperti para leluhurnya:

وَكَذَلِكَ يَجْتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِنْ تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ وَيُتِمُّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَعَلَى آَلِ يَعْقُوبَ كَمَا أَتَمَّهَا عَلَى أَبَوَيْكَ مِنْ قَبْلُ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ إِنَّ رَبَّكَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Ertinya: (Ya’qub berkata kepada Yusuf) Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Dia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana" (Yusuf [12:6]).

Ringkasnya, pesona wajah Yusuf bukan hanya keanggunan fizikal tetapi merangkumi karisma ilmu, akhlak dan pancaran sinar kenabian (Tafsir al-Razi).

Selain itu, soalan yang bagus diselidiki adalah mengapa kecantikan Yusuf diibaratkan seperti malaikat yang mulia sedangkan manusia biasa belum pernah melihat wajah malaikat? Bukan hanya cantik, sifat mulia, benar dan perkasa turut dipadankan kepada para malaikat sehingga manusia celaka seperti Fir’awn pun turut beriman dengan kebaikan para malaikat:

فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ

Ertinya: "(Fir’awn berkata: Kalau betul dia iaitu Musa AS adalah seorang Rasul) maka sepatutnya dia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang emas (yang menandakan dia seorang pemimpin), atau DATANG MALAIKAT BERSAMANYA (SEBAGAI SAKSI TENTANG KEBENARANNYA)?" (al-Zukhruf [43:53]).

Itulah keagungan ciptaan Allah. Fitrah manusia dihias indah untuk menerima para malaikat sebagai makhluk yang cantik dan mulia. Bahkan Jibril AS acapkali menjelma dalam rupa seorang sahabat yang bernama Dihyah al-Kalbi kerana Dihyah memang terkenal dengan ketampanan wajahnya (al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani). Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW menggambarkan:

عَنْ جَابِرٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ عُرِضَ عَلَيَّ الْأَنْبِيَاءُ فَإِذَا مُوسَى ضَرْبٌ مِنْ الرِّجَالِ كَأَنَّهُ مِنْ رِجَالِ شَنُوءَةَ وَرَأَيْتُ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ عَلَيْهِ السَّلَام فَإِذَا أَقْرَبُ مَنْ رَأَيْتُ بِهِ شَبَهًا عُرْوَةُ بْنُ مَسْعُودٍ وَرَأَيْتُ إِبْرَاهِيمَ صَلَوَاتُ اللَّهِ عَلَيْهِ فَإِذَا أَقْرَبُ مَنْ رَأَيْتُ بِهِ شَبَهًا صَاحِبُكُمْ يَعْنِي نَفْسَهُ وَرَأَيْتُ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام فَإِذَا أَقْرَبُ مَنْ رَأَيْتُ بِهِ شَبَهًا دَحْيَةُ

Ertinya: Jabir RA menceritakan Rasulullah SAW bersabda: "Allah memperlihatkan kepadaku para nabi. Musa sangat mirip dengan kebanyakan lelaki suku Syanu’ah. Aku lihat Isa anak lelaki Maryam AS mirip dengan 'Urwah bin Mas'ud, dan Ibrahim AS mirip dengan sahabatmu ini, iaitu diri baginda SAW sendiri. Aku juga lihat Jibril AS, ketika itu dia sangat mirip dengan Dihyah (bin Khalifah al-Kalbi)" (Sahih Muslim).

Dalam peristiwa lain ketika Rasulullah SAW menggempur perkampungan Yahudi Bani Qurayzah selepas mereka bersekongkol dengan orang Mekah menyerang Madinah dalam perang Ahzab, Jibril turut menjelma dalam rupa Dihyah bin Khalifah al-Kalbi. Jibril terlebih dahulu pergi ke perkampungan Yahudi Bani Qurayzah bagi mencampakkan rasa gerun dan takut ke dalam hati pihak Yahudi yang akan berdepan dengan tentera Muslimin (Sirah Ibn Hisyam).

Kita sangat mengkagumi ketampanan Yusuf sehingga ramai ibu mengandung asyik membaca surah Yusuf dengan harapan serta doa agar bayi yang lahir nanti rupa parasnya elok seperti Yusuf. Panjangkan kekaguman itu dengan tambahan doa agar fizikal dan “ROHANI” watak Yusuf turut melimpah kepada bayi kita. Jika tidak setampan Yusuf sekalipun, kita masih boleh memakai watak cantik rohani baginda kerana Yusuf AS dan para malaikat bersebati dengan iman, taqwa dan patuh mutlak kepada Allah SWT.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...