Sunday, March 20, 2016

RAHSIA NABI YUSUF AS MEMILIH DERITA DALAM PENJARA

RAHSIA NABI YUSUF AS MEMILIH DERITA DALAM PENJARA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:33-34]) pada 16 Mac 2016. Antara isunya adalah rahsia mengapa nabi Yusuf berdoa agar dipenjarakan.

Jangan ingat diri anda kuat, beriman perkasa mampu berhadapan dengan godaan nafsu yang berganding tangan dengan syaitan. Gelojak kawah berapi nafsu dalam diri yang senantiasa dicucuh oleh syaitan boleh bertukar menjadi "bom nuklear" ganas meranapkan iman yang secebis dalam jiwa kita.

Ketika godaan isteri Aziz Mesir  atau Zulaykha semakin mendesak dan memuncak, Yusuf diberi 2 pilihan sama ada mengikut kehendaknya melakukan dosa intim atau dihumban ke dalam penjara tanpa bicara mahkamah. Kisah ini direkodkan al-Quran:

وَلَئِنْ لَمْ يَفْعَلْ مَا آَمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونَنْ مِنَ الصَّاغِرِينَ

Ertinya: Dan demi sesungguhnya kalau dia (Yusuf)  tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan akan jadi dari orang yang hina." (Yusuf [12:32]).

Demi keredhaan Allah dan kesucian diri, Yusuf AS mengambil keputusan perit menggadaikan kebebasannya. Baginda tahu sedap di dunia hanya sementara, manakala derita akhirat diazab Allah kerana dosa zina jauh lebih pedih. Yusuf AS pasrah berdoa kepada Allah:

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُنْ مِنَ الْجَاهِلِينَ (33) فَاسْتَجَابَ لَهُ رَبُّهُ فَصَرَفَ عَنْهُ كَيْدَهُنَّ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (34)

Ertinya: Yusuf (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan jadilah aku dari orang yang tidak mengamalkan ilmunya". Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (Yusuf [12:33-34]).

Subhanallah! Doa Yusuf ini jelas menunjukkan betapa baginda sangat rendah diri. Lafaz doanya yang berbunyi “DAN JIKA ENGKAU TIDAK MENJAUHKAN DARIPADAKU TIPU DAYA MEREKA, MUNGKIN AKU AKAN CENDERUNG KEPADA MEREKA, DAN JADILAH AKU DARI ORANG YANG TIDAK MENGAMALKAN ILMUNYA" membuktikan baginda sangat mengenal Allah dan memiliki taqwa yang tinggi. Tanpa bantuan Allah mustahil kita semua mampu melakukan kebaikan atau menghindari kejahatan kerana hati kita milik mutlak Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Ertinya: Wahai orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; “DAN KETAHUILAH BAHAWA SESUNGGUHNYA ALLAH BERKUASA MENGUBAH ATAU MENYEKAT DI ANTARA SESEORANG ITU DENGAN (PEKERJAAN) HATINYA,” dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan (al-Anfal [8:24]).

Benar sekali, manusia memang tiada sebarang upaya tanpa bantuan Allah. Baginda Rasulullah SAW sendiri pun berdoa agar Allah membimbingnya  setiap saat kerana manusia boleh tersilap atau lalai. Doa baginda SAW:

اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ

Ertinya: Ya Allah! Aku senantiasa mengharapkan rahmatMu, (senantiasalah bimbing aku) “MAKA JANGANLAH ENGKAU BIARKAN AKU PADA DIRIKU SENDIRI WALAUPUN SEKELIP MATA,” dan perbaikilah keadaan diriku ini seluruhnya, (kerana) Tiada Tuhan melainkan Engkau (Sunan Abu Dawud & Musnad Ahmad).

Nabi Yusuf AS juga tahu “pengasingan tuntas melalui proses penjara” antara dia dan godaan Zulaykha adalah langkah terbaik bagi mematikan langsung api fitnah bersangkut zina. Tindakan Yusuf AS ini pastinya dibimbing wahyu Allah kerana ia seiring dengan firman Allah yang lain:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Ertinya: Dan “JANGANLAH KAMU DEKATI ZINA,” sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan) (al-Isra’[17:32]).

Dalam seni bahasa Arab, tegahan mendekati membawa maksud LARANGAN BERGANDA DARI MELAKUKAN SESUATU PERKARA (Tafsir al-Alusi). Jenayah zina amat bahaya kerana daya tarikannya sangat kuat. Boleh jadi dalam jarak tertentu sahaja “DAYA TARIKANNYA” sukar dilolosi. Oleh itu, “CARA TERBAIK UNTUK SELAMAT ADALAH MENJAUHINYA SEAWAL MUNGKIN BIARPUN TERPAKSA MERENGKOK DALAM PENJARA.”

Rasulullah juga menyebut tentang bahaya medan magnetik zina dalam sabda baginda:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ

Ertinya: Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau (kuat tarikannya). Allah pula menjadikan kamu sebagai pentadbir padanya, lalu Dia akan melihat bagaimanakah tingkah laku kamu semua. Oleh itu, berhati-hatilah dengan (godaan) dunia dan wanita, kerana sesungguhnya ujian pertama (merosakkan) Bani Isra’il adalah pada (godaan wanita) (Sahih Muslim).

Selepas ini jika membaca kisah nabi Yusuf AS, janganlah hanya nampak perihal ketampanan baginda sahaja, sebaliknya “ambillah sekali aspek pengurusan dosa dan penyuburan iman.” Jika itu cara kita melihat kisah para nabi barulah karisma mereka akan terpancar ke dalam hati kita dan pastinya limpahan rahmat al-Quran akan turut membanjiri jiwa kita. Dengan itu jadilah kita semua insan bertaqwa menurut acuan al-Quran, Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...