Wednesday, March 30, 2016

NABI YUSUF AS DITEGUR KERANA "KABEL MANUSIA"

NABI YUSUF AS DITEGUR KERANA “KABEL MANUSIA”

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:42]) pada 30 Mac 2016. Antara isunya adalah teguran Allah kepada nabi Yusuf kerana bergantung pada manusia.

Tak salah meminta bantuan manusia. Itu sudah menjadi adat hidup. Ada masanya kita memohon bantuan dan ada masanya kita pula membantu. Ia langsung tidak dipandang cela oleh Islam. Ketika penindasan dan sekatan Musyrikin Quraysh semakin memuncak, Rasulullah SAW turut meminta bantuan orang Madinah:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْرِضُ نَفْسَهُ عَلَى النَّاسِ فِي الْمَوْقِفِ فَقَالَ أَلَا رَجُلٌ يَحْمِلُنِي إِلَى قَوْمِهِ فَإِنَّ قُرَيْشًا قَدْ مَنَعُونِي أَنْ أُبَلِّغَ كَلَامَ رَبِّي

Ertinya: Jabir bin Abdullah menceritakan bahawa Rasulullah SAW meminta bantuan dari manusia pada musim Haji (sebelum berhijrah ke Madinah) dengan katanya: “Adakah mana-mana lelaki (kaum) yang boleh membawaku kepada kaumnya (untuk menyebarkan Islam) kerana sesungguhnya Quraysh telah menghalangku daripada menyampaikan agama Tuhanku.” (Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad).

Sama juga perihalnya ketika nabi Isa AS yang melihat seruan dakwahnya sudah semakin terdesak ke hujung penjuru yang sempit, turut memohon bantuan para sahabatnya:

فَلَمَّا أَحَسَّ عِيسَى مِنْهُمُ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ آَمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Ertinya: Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), dia berkata:" Siapakah penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?" "Hawariyyuun" (Penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang Islam (yang berserah kepada Allah) (Ali ‘Imran [3:52]).

Ketika kegilaan kaumnya yang mabuk seks songsang semakin memuncak, nabi Lut AS turut mengharapkan bantuan pihak yang kuat:

قَالَ لَوْ أَنَّ لِي بِكُمْ قُوَّةً أَوْ آَوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ

Ertinya: Nabi Lut berkata: "Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)" (Hud [11:80]).

Yusuf masuk penjara kerana dianiaya oleh orang besar Mesir dan pada pandangannya  orang yang lebih tinggi pangkatnya dapat memadamkan hukuman penjara itu. Teman sepenjaranya yang bakal bebas pula berkerja terus dengan raja Mesir. Pastinya pangkat dan kuasa sang raja jauh lebih tinggi dari kuasa suami Zulaykha. Peluang ini digunakan oleh baginda dengan harapan bantuan sang raja dapat membatalkan hukuman penjara terhadapnya. Allah menceritakan kisah ini:

وَقَالَ لِلَّذِي ظَنَّ أَنَّهُ نَاجٍ مِنْهُمَا اذْكُرْنِي عِنْدَ رَبِّكَ فَأَنْسَاهُ الشَّيْطَانُ ذِكْرَ رَبِّهِ فَلَبِثَ فِي السِّجْنِ بِضْعَ سِنِينَ

Ertinya: Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang dia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "SEBUTKANLAH PERIHALKU KEPADA TUANMU (RAJA MESIR)". (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka dia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya (raja Mesir). Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun (Yusuf [12:42])

Setelah keluar dari penjara, si tukang air raja Mesir langsung lupa perihal Yusuf. Walaupun syaitan memainkan peranannya menjadikan si tukang air raja lupa, pasti ada sebab mengapa Allah mengizinkan perkara itu berlaku. Masakan Allah suka hamba pilihanNya ini terus merengkok dalam penjara?

Ketika meneliti Tafsir al-Tabari, terdapat beberapa riwayat menyebut bagaimana nabi Yusuf AS ditegur Allah kerana meminta bantuan makhluk sehingga lupa memohon bantuan dari Allah. Salah satu riwayatnya menyatakan:

عن مالك بن دينار قال: لما قال يوسف للساقي:(اذكرني عند ربك)، قال: قيل: يا يوسف، اتخذت من دوني وكيلا؟ لأطيلن حبسك! فبكى يوسف وقال: يا ربّ، أنسى قلبي كثرة البلوى

Ertinya: Malik bin Dinar menyatakan apabila Yusuf berkata kepada teman sepenjaranya yang bakal bebas “SEBUTKANLAH PERIHALKU KEPADA TUANMU (RAJA MESIR)", dikatakan padanya (oleh Allah): Wahai Yusuf! Sanggup kamu mengambil pembantu selainKu? Aku pasti akan lanjutkan tempoh penahananmu.” Yusuf lantas menangis seraya berkata: “Wahai Tuhanku, hatiku menjadi lupa (padaMu) kerana banyaknya bencana menimpaku (Tafsir al-Tabari).

Riwayat ini kelihatan agak longgar dari rantaian periwayatannya,  namun isi kisahnya “sangat kena”  dengan sebab pemanjangan tempoh tahanan nabi Yusuf AS. Ia menjadi tarbiah dari Allah kepada baginda. Lalu pasti ada yang akan bertanya “SALAHKAN MEMINTA BANTUAN DARI MAKHLUK?” Memang tidak salah, bahkan dalam sesetengah situasi ia dituntut bagi menjamin kelangsungan dakwah Tawhid seperti tindakan Rasulullah SAW, nabi Isa AS dan nabi Lut AS.

Dalam kisah nabi Yusuf AS lain perihalnya, permintaan baginda lebih bersifat peribadi. Tambahan pula bagi seorang manusia berpangkat Rasul seperti baginda, tindakan meminta bantuan dari makhluk agak kurang tepat dan tidak kena. Tindakan baginda itu bukan berlegar antara “BETUL atau SALAH” tetapi bermain antara “BETUL atau TEPAT.” Ini kerana Allah sudah berkali-kali menyelamatkan baginda dari bencana rancangan jahat abang-abangnya. Allah juga menyelamatkan baginda dari godaan wanita Mesir, maka sepatutnya baginda memohon dari Allah agar bebas dari lubang penjara dan bukan teman sepenjaranya.

Pengajaran kepada kita semua, tidak salah meminta bantuan dari mahkluk tapi jangan lupa bahawa makhluk hanyalah perantara yang dihantar oleh Allah. Mohonlah terus kepada Allah. Kata-kata Imam al-Razi ketika mengulas kisah nabi Yusuf dan “kabel manusianya” saya kongsikan sebagai penutup nota tafsir kali ini:

والذي جربته من أول عمري إلى آخره أن الإنسان كلما عول في أمر من الأمور على غير الله صار ذلك سبباً إلى البلاء والمحنة ، والشدة والرزية ، وإذا عول العبد على الله ولم يرجع إلى أحد من الخلق ذلك المطلوب على أحسن الوجوه فهذه التجربة قد استمرت لي من أول عمري إلى هذا الوقت الذي بلغت فيه إلى السابع والخمسين ، فعند هذا استقر قلبي على أنه لا مصلحة للإنسان في التعويل على شيء سوى فضل الله تعالى وإحسانه

Ertinya secara umum: “Apa yang aku lalui dan rasa sepanjang usiaku adalah; jika manusia bergantung dalam sesuatu urusan kepada selain Allah, permohonan bantuan itu kelak menjadi sebab terjerumusnya dia ke dalam bencana dan kesusahan. Sebaliknya apabila seorang hamba (Allah) bergantung hanya pada Allah dan tidak bergantung kepada mana-mana makhluk, maka urusannya akan selesai dengan cara terbaik. Pengalaman ini sudah aku lalui sendiri sejak dari awal usiaku sehingga waktu ini ketika aku sudah berusia 57 tahun. Setelah itu hatiku yakin bahawa tiada gunanya bagi manusa bergantung kepada sesuatu selain kurniaan dan ihsan Allah (Tafsir al-Razi).”

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...