Wednesday, March 9, 2016

KAMI MAHU AL-QURAN YANG LAIN

KAMI MAHU AL-QURAN YANG LAIN!

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yunus [10:15-16]) pada 4 Mac 2015. Antara isunya adalah permintaan Musyrikin Quraysh agar Rasulullah SAW membawa al-Quran yang lain yang lebih menepati selera rakus mereka.

Tiada yang suka makan ubat. Setengah ubat yang mujarab rasanya sangat pahit menyucuk lidah. Walaupun pahit, ia sangat baik untuk badan yang sakit. Begitulah perihalnya al-Quran yang menjadi ubat yang manis dan kadang-kadang tersangat pahit untuk ditelan oleh hati manusia yang bengkok. Sudahnya, jalan mudah bagi manusia berhati bengkok adalah meminta ubat yang lain. Sikap ini disebut al-Quran:

وَإِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آَيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ قَالَ الَّذِينَ لَا يَرْجُونَ لِقَاءَنَا ائْتِ بِقُرْآَنٍ غَيْرِ هَذَا أَوْ بَدِّلْهُ قُلْ مَا يَكُونُ لِي أَنْ أُبَدِّلَهُ مِنْ تِلْقَاءِ نَفْسِي إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ إِنِّي أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّي عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Ertinya: Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): "BAWALAH QURAN YANG LAIN DARIPADA INI ATAU TUKARKANLAH DIA ". Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, - jika aku menderhaka kepada Tuhanku, - akan azab hari yang besar (soal jawabnya)" (Yunus[10:15]).

Mereka mahu agar sebuah kitab lain yang tidak mencaci berhala sembahan mereka dan menafikan kewujudan pembalasan pada hari kiamat (Tafsir al-Alusi). Bila kitab itu tiada balasan kiamat, mudah bagi mereka terus bergelumang dalam nafsu bejat dan dosa menindas orang lain kerana kejahatan itu tidak akan berbalas di akhirat kelak. Jika benar ada kitab seperti itu, mereka pasti menjadi “TUHAN DALAM TUBUH MANUSIA” yang jauh lebih hina dari binatang. 

Masakan Rasulullah SAW mampu membawa kitab lain kerana baginda adalah hamba suruhan Allah yang sangat taat. Apa yang diwahyukan disampaikan tanpa kurang walau sepatah huruf. Ayat berikutnya memancung terus hasrat gila mereka:

قُلْ لَوْ شَاءَ اللَّهُ مَا تَلَوْتُهُ عَلَيْكُمْ وَلَا أَدْرَاكُمْ بِهِ فَقَدْ لَبِثْتُ فِيكُمْ عُمُرًا مِنْ قَبْلِهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika Allah kehendaki (supaya aku tidak membacakan Al-Quran ini kepada kamu), tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan tentulah Ia tidak memberitahu kamu akan Al-Quran ini (dengan perantaraanku); kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam kalangan kamu satu masa yang lanjut (selama 40 tahun dan kamu pula mengenal aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al-Quran ini; maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya?" (Yunus[10:16]).

Lafaz “QUL-KATAKANLAH WAHAI MUHAMMAD” jelas menunjukkan ia adalah arahan Allah yang tidak mungkin dikhianati oleh Rasulullah SAW. Tambahan pula Rasulullah SAW sudah tinggal selama 40 tahun bersama mereka tanpa pernah menuturkan walau satu dusta. Mustahil baginda akan menuturkan dusta atas nama Alah pula selepas berusia 40 tahun.

Dalam ayat lain Allah menegaskan bahawa Rasulullah tidak akan mengkhianati amanah penyampaian wahyu:

وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الْأَقَاوِيلِ (44) لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ (45) ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ (46) فَمَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِينَ (47)

Ertinya: Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta - sebarang kata-kata rekaan, - “SUDAH TENTU KAMI AKAN MENYENTAPNYA, DENGAN KEKUASAAN KAMI, - KEMUDIAN SUDAH TENTU KAMI AKAN MEMUTUSKAN TALI JANTUNGNYA (SUPAYA IA MATI DENGAN SERTA-MERTA);” Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya (al-Haqqah[69:44-47]).

Penyakit “SHOPPING WAHYU atau MEMILIH WAHYU YANG KENA PADA SELERA SAHAJA” bukan hanya dimiliki oleh bukan Islam seperti Musyrikin Quraysh, tetapi turut dideritai oleh sesetengah Muslim yang begitu lama bertuhankan dunia dan nafsu serakah. Jika boleh mereka mahu al-Quran atau Islam itu mengikut selera mereka. Kalau boleh mahu sahaja “NAFSU BEJAT MEREKA DINAIKTARAF MENJADI KITAB PANDUAN SETANDING” al-Quran. Allah menegaskan, alam bakal musnah jika nafsu mereka dituruti:

وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ بَلْ أَتَيْنَاهُمْ بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَنْ ذِكْرِهِمْ مُعْرِضُونَ

Ertinya: Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya; (al-Mu’minun[23:71]).

Sebagai Muslim yang benar beriman kepada Allah, kita wajib menyerahkan diri bulat-bulat kepada syariat Allah sepertimana penyerahan mayat kepada orang yang akan memandikannya. Itulah intisari sebenar maksud perkataan ISLAM dan MUSLIM iaitu penyerahan sebulat-bulatnya kepada ketentuan dan hukum Allah walau ia sepahit hempedu. Pahitnya menuruti Islam dan al-Quran adalah pahit yang menyembuhkan jiwa. Ia akan menjadi manis lagi indah kerana bakal menyampaikan kita kepada Redha dan syurga Allah di akhirat kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...