Sunday, March 6, 2016

HILANG LAZAT IBADAT KERANA MATA?

HILANG LAZAT IBADAT KERANA MATA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Petikan isi kuliah bulanan (khamis pertama setiap bulan) di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Khamis 3 Mac 2016. Tajuknya “KERANA MATA.”

Bayangkan apa akan terjadi jika pandangan mata kita ditarik Allah buat seketika. Usah lama! Katakanlah ia ditarik dalam 5 minit sahaja. Kita tak mampu untuk melangkah keluar Masjid ini tanpa melanggar atau tergelincir. Selipar yang kita pakai pun tak mampu kita cari atau kenali. Itulah hakikat kelemahan manusia yang sering lupa ni’mat mata yang dipinjamkan Allah kepada mereka di dunia ini. Apa yang pasti, ni’mat mata pasti akan diaudit pada hari kiamat kelak:

ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ

Ertinya: Selain dari itu, sesungguhnya KAMU AKAN DITANYA PADA HARI ITU, TENTANG SEGALA NIKMAT (YANG KAMU TELAH MENIKMATINYA)! (al-Takathur[102:8]).

Pernah seorang teman saya bercerita:

“Sepulangnya saya dari Mekah dulu, ibadat terasa sangat lazat. Solat sangat khusyuk. Bila mata meneliti baris al-Quran jiwa berasa tenang. Solat Dhuha dan solat malam terasa ringan dilakukan. Pada suatu hari, segala rasa lazat itu menjadi tumpul. Solat dan ibadah lain terasa tawar. Puas dicari rasa lazat dahulu tetapi tidak ditemui. Setelah lama berfikir, saya perasan rasa lazat itu hilang selepas saya menonton adegan romantic melampau dalam sebuah rancangan television.”

Memang mata adalah pintu utama kebahagiaan dan kesengsaraan. Baginda Rasulullah SAW ketika menziarahi jenazah Abu Salamah RA menyebut bahawa mata mengikut keluarnya roh manusia:

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ قَالَتْ  دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي سَلَمَةَ وَقَدْ شَقَّ بَصَرُهُ فَأَغْمَضَهُ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الرُّوحَ إِذَا قُبِضَ تَبِعَهُ الْبَصَرُ

Ertinya: Ummu Salamah menceritakan Rasulullah SAW masuk menziarahi Abu Salamah yang baru meninggal dunia sedang matanya terbeliak. Rasulullah kemudiannya menutup mata beliau dan bersabda: Apabila roh manusia meninggalkan jasadnya, ia akan diikuti oleh mata (Sahih Muslim & Sunan Ibn Majah).

Maksiat yang masuk melalui mata akan mengabuskan jiwa serta menggelapkan hati. Hati yang kelabu dek titik dosa dari pandangan mata akan menghilangkan lazat ibadat. Jika mata dijaga rapi daripada melihat yang terlarang, jiwa akan terang dan tenang bak cermin. Inilah sebabnya Allah menyuruh agar kita menjaga “SEBAHAGIAN’ pandangan mata:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki beriman supaya mereka menyekat SEBAHAGIAN DARI pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara (SELURUH) kemaluan mereka. YANG DEMIKIAN ITU LEBIH SUCI BAGI MEREKA; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan (al-Nur[24:30]).

Asal pandangan mata manusia adalah halal belaka melainkan SEBAHAGIAN yang terlarang. Ayat di atas menuntut agar kita menjaga SEBAHAGIAN pandangan yang terlarang kerana faedahnya akan kembali kepada kita iaitu membantu proses penyucian hati. Ia disebut dalam ungkapan ayat “YANG DEMIKIAN ITU LEBIH SUCI BAGI MEREKA.”  Kisah teman saya yang tumpul rasa lazat ibadatnya memang berpunca dari mata. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ النَّظْرَةَ سَهْمٌ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيسَ مَسْمُومٌ، مَنْ تَرَكَهَا مَخَافَتِي أَبْدَلْتُهُ إِيمَانًا يَجِدُ حَلاوَتَهُ فِي قَلْبِهِ.

Ertinya: Sesungguhnya pandangan mata (kepada sesuatu yang haram) adalah satu panah Iblis yang beracun. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku (Allah), maka Aku akan “MENGGANTINYA DENGAN IMAN YANG DIRASAI KEMANISAN DALAM HATINYA” (Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani).

Dalam hadith lain Rasulullah SAW berpesan kepada Sayyidina Ali agar racun pandangan yang sekilas tidak dipanjangkan kerana lama teracun akan merosakkan hati. Bagai dikata, sakit digigit seekor tebuan mudah hilang, tetapi jika berterusan disengat ratusan tebuan umur boleh pendek jadinya. Sabda Rasulullah SAW:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِعَلِيٍّ يَا عَلِيُّ لَا تُتْبِعْ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الْأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الْآخِرَةُ

Ertinya: Rasulullah SAW berkata kepada Ali (bin Abi Talib): Janganlah diikuti satu pandangan (yang haram) dengan pandangan lain, kerana pandangan (tanpa sengaja) pada kali pertama adalah milikmu (tanpa tanggungan dosa) dan tidak pula (halal) bagimu pandangan berikutnya (Musnad Ahmad, Sunan Abu Dawud & al-Tirmidhi)

Marilah kita sama-sama menjaga amanah mata pinjaman Allah, kerana ganjaran orang yang menjaga mata sangat banyak seperti kelazatan ibadah, kecusian jiwa dan satu daripadanya adalah bidadari syurga yang BERMATA CANTIK!

يَلْبَسُونَ مِنْ سُنْدُسٍ وَإِسْتَبْرَقٍ مُتَقَابِلِينَ (53) كَذَلِكَ وَزَوَّجْنَاهُمْ بِحُورٍ عِينٍ (54)

Ertinya: Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing). Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari yang putih melepak, LAGI LUAS CANTIK MATANYA (al-Dukhan[44:53]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...