Friday, March 25, 2016

3 STRATEGI DAKWAH NABI YUSUF DALAM PENJARA

3 STRATEGI DAKWAH NABI YUSUF DALAM PENJARA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Yusuf [12:36-38]) pada  23 Mac 2016. Antara isunya kebijaksaan nabi Yusuf AS mengambil peluang dakwah kepada teman sepenjaranya dengan 3 strategi.

Yusuf bukan calang-calang orangnya. Akhlaknya sangat baik, saban hari ada sahaja teman sepenjaranya mendapat limpahan akhlaknya yang mulia. Yang sakit sering dibantu, yang sedih digembirakan dengan kata nasihat penenang jiwa dan sebagainya. Keperibadian baginda yang mulia ternyata menarik perhatian 2 teman sepenjara dengannya. Itulah fitrah manusia, nasihat dan jawapan kepada sebarang kemusykilan lebih selamat dipinta dari manusia yang baik berbanding yang jahat. Ikutilah kisah menarik antara nabi Yusuf AS dengan temannya itu dalam ayata berikut:

وَدَخَلَ مَعَهُ السِّجْنَ فَتَيَانِ قَالَ أَحَدُهُمَا إِنِّي أَرَانِي أَعْصِرُ خَمْرًا وَقَالَ الْآَخَرُ إِنِّي أَرَانِي أَحْمِلُ فَوْقَ رَأْسِي خُبْزًا تَأْكُلُ الطَّيْرُ مِنْهُ نَبِّئْنَا بِتَأْوِيلِهِ إِنَّا نَرَاكَ مِنَ الْمُحْسِنِينَ (36) قَالَ لَا يَأْتِيكُمَا طَعَامٌ تُرْزَقَانِهِ إِلَّا نَبَّأْتُكُمَا بِتَأْوِيلِهِ قَبْلَ أَنْ يَأْتِيَكُمَا ذَلِكُمَا مِمَّا عَلَّمَنِي رَبِّي إِنِّي تَرَكْتُ مِلَّةَ قَوْمٍ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَهُمْ بِالْآَخِرَةِ هُمْ كَافِرُونَ (37) وَاتَّبَعْتُ مِلَّةَ آَبَائِي إِبْرَاهِيمَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ مَا كَانَ لَنَا أَنْ نُشْرِكَ بِاللَّهِ مِنْ شَيْءٍ ذَلِكَ مِنْ فَضْلِ اللَّهِ عَلَيْنَا وَعَلَى النَّاسِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ (38)

Ertinya: Dan masuklah bersamanya dalam penjara itu dua orang khadam raja. Seorang darinya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur," manakala yang seorang lagi berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan maksudnya. SESUNGGUHNYA KAMI MEMANDANGMU: DARI ORANG-ORANG YANG BERBUAT KEBAIKAN (UNTUK UMUM) (dan pandai mentafsir mimpi)" [37], Yusuf menjawab: "(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (setiap hari dalam penjara), MELAINKAN AKU JUGA DAPAT MEMBERITAHU KEPADA KAMU AKAN NAMA DAN JENISNYA, SEBELUM IA DIBAWA KEPADA KAMU. Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan ugama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat [38]. "DAN AKU MENURUT UGAMA BAPA DAN DATUK NENEKKU: IBRAHIM DAN ISHAK SERTA YAAKUB. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid - mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur (Yusuf [12:36-38]).

Peluang pertanyaan teman sepenjaranya diambil deras oleh baginda. Baginda adalah oppurtunis dakwah. Yusuf tak mahu nasihat dan jawapannya hanya menjadi jawapan biasa. Baginda mahu menyelamatkan terus 2 temannya itu dari dimamah api neraka kerana lazimnya orang Mesir tidak bertuhankan Allah. Untuk menambahkan keberkesanan nasihatnya, baginda menunjukkan “pangkat kenabiannya” yang mampu menyebut secara tepat jenis menu hidangan yang bakal mereka santap setiap hari. Kemampuan ini menambahkan keyakinan 2 temannya tentang kenabiannya. Lihat lafaz hikmah baginda

قَالَ لَا يَأْتِيكُمَا طَعَامٌ تُرْزَقَانِهِ إِلَّا نَبَّأْتُكُمَا بِتَأْوِيلِهِ قَبْلَ أَنْ يَأْتِيَكُمَا ذَلِكُمَا مِمَّا عَلَّمَنِي رَبِّي

Ertinya: Yusuf berkata: " Tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (setiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. YANG DEMIKIAN ITU IALAH SEBAHAGIAN DARI APA YANG DIAJARKAN KEPADAKU OLEH TUHANKU (Yusuf [12:37]).

Dari dialog ini seakan Yusuf mahu memberitahu kepada 2 temannya bahawa dia adalah nabi yang mendapat wahyu dari Allah. Kelebihan yang sama pernah dikurniakan kepada nabi Isa AS:

وَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَةً لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Ertinya: ….Dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang yang (mahu) beriman (Ali ‘Imran [3:49]).

Tidak cukup dengan itu, Yusuf AS menjelaskan kelebihan akhlak serta mukjizatnya adalah berkat agama Tawhid yang diwarisi dari leluhurnya yang juga para nabi iaitu nabi Ibrahim, Ishaq dan Ya’qub AS (pangkal ayat 38). Kaedah ketiga ini juga sangat berkesan menarik kepercayaan manusia biasa. Asal muncul sahaja gelaran kebesaran dalam agama seperti “Tuan Habib, Tuan Syeikh, Tuan Syed, Tuan Guru atau Pak Ustaz”, pasti mata manusia akan lebih fokus mendengar apa yang bakal diucapkan. Samalah juga jika dikata, dengarlah cakap saya kerana saya ini “anak” kepada Tuan Guru sekian, “datuk saya dahulu adalah bekas mufti negeri sekian”, saya berguru terus dengan “tokoh ulama dunia itu” dan sebagainya.

Tiga aspek tersebut iaitu akhlak yang tinggi, kelebihan ajaib dan aku ini anak cucu kepada para nabi dijadikan batu loncatan dakwah oleh nabi Yusuf AS ketika menarik minat 2 teman sepenjaranya itu menerima agama Tawhid.

Oleh itu, semua Muslim wajib mencontohi kebijaksanaan nabi Yusuf AS dalam berdakwah kerana dakwah adalah tanggungjawab semua. Sebatikan akhlak bersama darah dan daging anda agar ia menjadi pembuka jalan dakwah kepada golongan yang belum Islam. Walaupun kita tidak memiliki mukjizat atau berketurunan nabi seperti baginda, K-P-I akhlak mulia masih mampu kita miliki. Jangan pula akhlak kita yang buruk “bergigit sesama sendiri”, “label melabel”, “berebut kuasa” dan sebagainya menjadi “kapak” mencacatkan istana Islam yang sudah teguh dibina oleh Rasulullah SAW. Mohon dijauhkan Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...