Saturday, February 27, 2016

KEBIADABAN MELAMPAU KAUM LUT DAN RAHSIA PENGHALANG AZAB

KEBIADABAN MELAMPAU KAUM LUT DAN RAHSIA PENGHALANG AZAB

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-‘Ankabut [29:29-30]) pada 23 Februari 2016. Antara isunya adalah kebiadaban melampau kaum nabi Lut dan  orang Mekah pada zaman Rasulullah.

Majdi segera menyembunyikan rokok di tangannya apabila melihat Imam Anuar menghampirinya. Tindakannya itu didorong rasa hormat kepada Imam Anuar yang terkenal sebagai seorang soleh dan tak gemarkan bau rokok.  Berbeza pula dengan Said, selamba sahaja dia meminta agar Imam Anuar menyalakan puntung rokoknya? Pasti kita akan berkata Said adalah manusia biadab dan tidak tahu menghormati Imam Anuar. Itu baru sebuah analogi mudah antara manusia biasa. Bayangkan bagaimana jijiknya jika sekumpulan manusia tanpa malu meminta kebenaran daripada seorang Rasul untuk “MELIWAT PARA TETAMUNYA”? Inilah contoh kebiadaban melampau kaum nabi Lut:

وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِنْ قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ قَالَ يَا قَوْمِ هَؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي أَلَيْسَ مِنْكُمْ رَجُلٌ رَشِيدٌ (78) قَالُوا لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِي بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّ وَإِنَّكَ لَتَعْلَمُ مَا نُرِيدُ (79)

Ertinya: Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?" Mereka menjawab: "SESUNGGUHNYA ENGKAU TELAHPUN MENGETAHUI BAHAWA KAMI TIDAK ADA SEBARANG HAJAT KEPADA ANAK PEREMPUANMU, DAN SEBENARNYA ENGKAU SEDIA MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMI KEHENDAKI (KAMI MAHU MELIWAT TETAMU LELAKIMU)" (Hud [11:78-79]).

Masya Allah! Dahsyat dan sungguh keji. Langsung tiada lagi rasa hormat mereka kepada seorang Rasul utusan Allah. Benar sabda Rasulullah SAW, sifat malu adalah benteng iman yang mampu mewaraskan manusia, tanpanya darjat manusia  jatuh merudum menjadi lebih hina dari haiwan:

إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Ertinya: Apabila kamu tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja (Sahih al-Bukhari).

Bosan dengan nasihat nabi Lut, kaumnya bercadang untuk mengusir baginda keluar dari Sadum agar mudah mereka melakukan segala maksiat yang sedia ada:

فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا أَخْرِجُوا آَلَ لُوطٍ مِنْ قَرْيَتِكُمْ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ

Ertinya: Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang yang mendakwakan dirinya bersih suci "(al-Naml [27:56]).

Nasihat nabi Lut AS sudah tak mampu menembus akal mereka yang mabuk dalam berbagai dosa dan maksiat:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُمْ بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِنَ الْعَالَمِينَ (28) أَئِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ وَتَقْطَعُونَ السَّبِيلَ وَتَأْتُونَ فِي نَادِيكُمُ الْمُنْكَرَ فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَنْ قَالُوا ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّهِ إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ (29)

Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Lut tatkata dia berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu. "Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat perhimpunan kamu?" Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek): "Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang yang benar" (al-‘Ankabut [29:28-29]).

Rupanya jenayah kaum nabi Lut bukan hanya jenayah seksual bagai yang disangka ramai. Ayat di atas menunjukkan mereka juga kuat memotong laluan orang dengan kegiatan melanun dan merompak. Mereka bersetubuh sesama jantina secara terbuka di tempat pertemuan mereka tanpa malu. Mereka berjudi dengan aktiviti laga ayam, laga kambing, bergurau kotor dengan “BERTANDING KENTUT” sesama mereka dan sebagainya (Tafsir Ibn Kathir). Pun begitu, jenayah mereka yang paling dahsyat adalah mempersendakan azab Allah dengan mencabar nabi Lut agar azab tersebut segera sampai kepada mereka. Lihat frasa berikut dalam ayat di atas:

قَالُوا ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّهِ إِنْ كُنْتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

Ertinya: Mereka berkata "Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang yang benar.

Inilah antara punca mengapa mereka dimusnahkan tanpa bekas oleh Allah:

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِنْ سِجِّيلٍ مَنْضُودٍ

Ertinya: Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu (Hud [11:82]).

Rupanya sikap biadab meminta agar azab disegerakan pernah berlaku kepada Rasulullah SAW sebagaimana disebut Allah:

وَإِذْ قَالُوا اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ هَذَا هُوَ الْحَقَّ مِنْ عِنْدِكَ فَأَمْطِرْ عَلَيْنَا حِجَارَةً مِنَ السَّمَاءِ أَوِ ائْتِنَا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ (32) وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ (33)

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, MAKA HUJANILAH KAMI DENGAN BATU DARI LANGIT, ATAU DATANGKANLAH KEPADA KAMI AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA". Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, SEDANG ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) ADA DI ANTARA MEREKA; dan Allah tidak akan menyeksa mereka SEDANG MEREKA BERISTIGHFAR (MEMINTA AMPUN) (ADA DALAM KALANGAN MEREKA ORANG YANG SENANTIASA MEMOHON AMPUN KEPADA ALLAH) (al-Anfal [8:32-33]).

Berbanding kaum Lut, penduduk Mekah masih beruntung kerana azab yang mereka persendakan itu terhalang kerana 2 sebab iaitu kewujudan Rasulullah bersama mereka dan adanya orang beriman yang tidak putus memohon pengampunan kepada Allah.

Oleh itu, janganlah biadab dengan Allah dengan mempersendakan agamanya. Rasulullah SAW juga sudah lama wafat meninggalkan kita, hanya istighfar menjadi mekanisme penghalang azab manusia di dunia ini (Tafsir al-Tabari).  Penuhilah hidup dengan istighfar dan jangan sekali-kali bermain api mempersendakan kuasa Allah seperti kaum nabi Lut kerana azab Allah tidak mungkin mampu ditanggung oleh manusia. Ya Allah! Jauhkanlah kami dari azabMu.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...