Saturday, January 16, 2016

UBAN DIKEPALAMU ADALAH ISYARAT DARI ALLAH

UBAN DIKEPALAMU ADALAH ISYARAT DARI ALLAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Dhuha Selasa (Fatir [35:36-37]) pada 12 Januari 2016. Antara isunya adalah kepentingan muhasabah diri bagi manusia berumur.

Kita bukan selamanya mampu menongkat langit. Suatu hari nanti maut pasti menjelma kerana ia adalah fitrah makhluk bernyawa. Usahkan kita yang masih jauh dari Allah, Rasulullah SAW sebagai manusia yang paling dikasihi Allah pun dijemput kembali menemuiNya. Persoalannya sejauh mana persediaan kita untuk menghadapi mati. Malangnya ramai sekali manusia yang tubuhnya semakin tua tapi hatinya tetap muda. Benar sekali sabda Rasulullah SAW ini:

يَهْرَمُ ابْنُ آدَمَ وَتَشِبُّ مِنْهُ اثْنَتَانِ الْحِرْصُ عَلَى الْمَالِ وَالْحِرْصُ عَلَى الْعُمُرِ

Ertinya: Anak Adam semakin tua, tetapi 2 perkara padanya bertambah muda: Kehendak pada harta dan kehendak untuk umur panjang (Sahih Muslim & Sunan al-Tirmidhi)

Apabila mendepani isu usia dan mati, seharusnya manusia memandangnya seperti isyarat lampu berkelip-kelip dari kereta yang muncul dari bertentangan arah dengan laluan kita. Jika ia berlaku, secara spontan kita akan memperlahankan kenderaan sambil hati berkata:

“Aku perlu perlahankan pacuan kenderaanku! Boleh jadi di hadapan sana mesti ada sesuatu sedang menunggu, boleh jadi polis bersembunyi menembak perangkap laju, boleh jadi pegawai JPJ menunggu mencari kesalahan pemandu atau boleh jadi suatu kemalangan berbahaya telah berlaku.”

Ketika berhadapan dengan isyarat sedemikian kita cepat bertindak bimbang nanti rugi duniawi disaman oleh pihak tertentu. Rupanya Allah juga memasang isyarat amaran mati pada tubuh kita melalui “uban putih” di kepala. Perhatikan kengerian firman Allah ini:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا لَهُمْ نَارُ جَهَنَّمَ لَا يُقْضَى عَلَيْهِمْ فَيَمُوتُوا وَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ مِنْ عَذَابِهَا كَذَلِكَ نَجْزِي كُلَّ كَفُورٍ (36) وَهُمْ يَصْطَرِخُونَ فِيهَا رَبَّنَا أَخْرِجْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا غَيْرَ الَّذِي كُنَّا نَعْمَلُ أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ نَصِيرٍ (37)

Ertinya: Dan orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahannam; mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas dari seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu dari mereka; dan demikianlah Kami membalas setiap orang yang melampau kufurnya. Dan mereka menjerit-jerit dalam neraka itu (sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (Lalu Allah menempelak mereka): "Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh “PEMBERI AMARAN (RASULULLAH SAW, PARA ULAMA DAN UBAN DI KEPALA).” Oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan" (Fatir [35:36-37]).

Perkataan “PEMBERI PERINGATAN” pada hujung ayat ini ditafsirkan sebagai Rasulullah SAW yang datang membawa agama untuk memberikan amaran kepada semua manusia tentang bahaya azab neraka. Pun begitu, ia turut ditafsirkan dengan makna “uban yang memutih di kepala” (Tafsir Ibn Kathir). Jika ia difaham dengan makna kedua, setiap kali menatap wajah di cermin, jumlah uban di kepala sewajibnya mengingatkan kita betapa baki umur sudah semakin berkurang dengan pertambahan uban di kepala.

Inilah sebabnya Rasulullah SAW menegah kita dari mencabut uban di kepala:

لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ إِلَّا كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Ertinya: Janganlah kamu mencabut uban. Tiadalah seorang muslim yang beruban itu (walaupun sehelai) kerana (memperjuangkan) Islam, melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya baginya pada hari kiamat nanti.” (Sunan Abu Dawud).

Hidup di dunia hanya sekali. Kita boleh sahaja dijemput Allah pada bila-bila masa. Memang pada kebiasaannya yang tua senang gugur kerana tangkainya sudah masak tetapi tidak kurang juga yang muda belia pun sudah gugur apabila digoncang ribut. Ribut itu boleh jadi kemalangan atau sakit kronik. Oleh kerana nyawa di badan bukan milik kita, senantiasalah mengingati mati dan jangan tunggu uban memutih di kepala baru mahu benar-benar menjadi hamba Allah yang sejati.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...