Saturday, January 9, 2016

AGEN SYAITAN DALAM HALAL DAN HARAM?

AGEN SYAITAN DALAM HALAL DAN HARAM?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Nama saja Islamik Banking tapi penipu dan menindas secara terang. Kalau tak percaya cuba kira dan banding dengan konvensional banking selepas puluhan tahun pembiayaan dibuat. Banyak sungguh bezanya. Sistem pembiayaan Islamik banking jauh lebih mahal berganda. Kalau benar Islamik ia sepatutnya lebih murah.”

Itulah getus geram sambil mencebik bibir seorang yang tidak memahami prinsip dan rahsia ilmu-ilmu Islam. Benar sekali kata pepatah Arab:

من جهل شيئا عاداه

“Sesiapa yang jahil sesuatu perkara dia akan memusuhinya.”

Lain pula halnya bagi orang yang mendalami ilmu-ilmu Islam terutama sekali ilmu Usul Fiqh. Lalu bagaimana caranya menjawab kekeliruan ini? Pernah soalan ini diajukan kepada seorang ustaz yang memahami ilmu Usul Fiqh. Ini jawapannya:

“Dalam Islam, murah mahal bukan penentu halal atau haram sesuatu hukum. Jika kita kata murah tanda halal dan mahal tanda haram maka tunggang langganglah dunia ini nanti. Analogi mudah bagi yang tak faham isu ini adalah keluarkan duit sebanyak RM 300 untuk melanggani pelacur. Manakala sebuah perkahwinan halal pula memerlukan RM 3000 – 5000 untuk hantaran atau mas kahwin. Apakah kita masih nak mengatakan yang murah halal? Apa yang membezakan keduanya? Tidak lain adalah akad yang sah dan tiada unsur riba. Jika kita mahu mengukur halal haram dalam neraca mudah atau susah, maka RM 300 dalam langganan pelacur jauh lebih mudah berbanding perkahwinan yang sah. Apa tidaknya, jika mahu berkahwin banyak sekali prosuder perlu dilalui bermula dari pinangan, persetujuan keluarga kedua belah pihak, majlis walimah dan sebagainya. Langganan pelacur pula sangat mudah dan semuanya terangkum dalam kos yang satu itu. Jangan ingat logik mudah anda boleh meruntuhkan sistem Islam yang difahami serta disusun mudah oleh para ulama sejak dahulu lagi.”

Jawapan si Ustaz nampak pedas, namun ia sangat berkesan bagi manusia yang lancang berbicara mengkritik para ulama tanpa ilmu yang jelas. Kita tidak menafikan sistem perbankan Islam masih banyak kekurangan, namun kemuncak sesuatu yang sempurna bermula dari tangga pertama. Para ulama kita yang masuk ke dalam sistem perbankan moden sejak puluhan tahun dahulu sebenarnya sedang  berjuang untuk membersihkan sistem ini untuk semua umat Islam. Mereka sebenarnya sangat menjiwai firman Allah ini:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ (168) إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاءِ وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ (169)

Ertinya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya) (al-Baqarah [2:168-169]).

Ayat ini menggandingkan isu halal haram dengan usaha syaitan menghalang manusia dari menjaga batasan tersebut. Mengapa? Tidak lain kerana salah satu jarum halus syaitan dalam isu ini adalah memberikan buah fikiran jahat memperkecilkan usaha mencari yang halal. Oleh itu, dalamilah ilmu Islam atau berilah kepercayaan kepada para ulama yang berjihad dalam bidang mereka. Jangan jadi “agen syaitan” yang berusaha meruntuhkan jihad mencari yang halal lagi suci untuk umat Islam.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...