Thursday, December 3, 2015

PIL LOGIK ANTI SYIRIK NABI IBRAHIM AS

PIL LOGIK ANTI SYIRIK NABI IBRAHIM AS

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am[6:75-79]) pada 22 November 2014. Antara isunya adalah kebijaksanaan nabi Ibrahim AS mengetuk hati kaumnya dengan logik Tawhid.

Ibrahim AS tidak keliru! Jangan salah faham mengatakan Rasul yang agung ini keliru dalam pencarian Tuhan. Sangat salah jika ada yang faham bahawa nabi Ibrahim AS pernah tercari-cari Tuhan sehingga melakukan eksperimen akidah dengan menyembah berbagai makhluk. Kekeliruan itu timbul ekoran sikap enteng sesetengah orang yang memutuskan makna sesuatu ayat tanpa mendalaminya secara menyeluruh:

وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ (75) فَلَمَّا جَنَّ عَلَيْهِ اللَّيْلُ رَأَى كَوْكَبًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَا أُحِبُّ الْآَفِلِينَ (76) فَلَمَّا رَأَى الْقَمَرَ بَازِغًا قَالَ هَذَا رَبِّي فَلَمَّا أَفَلَ قَالَ لَئِنْ لَمْ يَهْدِنِي رَبِّي لَأَكُونَنَّ مِنَ الْقَوْمِ الضَّالِّينَ (77) فَلَمَّا رَأَى الشَّمْسَ بَازِغَةً قَالَ هَذَا رَبِّي هَذَا أَكْبَرُ فَلَمَّا أَفَلَتْ قَالَ يَا قَوْمِ إِنِّي بَرِيءٌ مِمَّا تُشْرِكُونَ (78) إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (79)

Ertinya: Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".  Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat". Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). "Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)" (al-An’am [6:75-79]).

Dialog nabi Ibrahim AS dengan kaumnya dalam ayat di atas menunjukkan kebijaksanaan luar biasa baginda sebagai pendakwah. Nabi Ibrahim cuba mengubati otak kaumnya yang rosak dek fanatik buta yang diwarisi dari datuk nenek moyang kaumnya yang tidak kurang bodohnya berbanding anak cucu mereka. Dalam kisah di atas, nabi Ibrahim menggunakan “PIL LOGIK ANTI FANATIK DAN PIL LOGIK ANTI BODOH” bagi menyedarkan kerapuhan akidah penyembah bintang, bulan dan matahari.

Bandingkan dua contoh gaya dakwah ini:

1) Seorang pendakwah datang bertemu sasaran dakwah yang sedang asyik menyembah 12 bintang di langit, lalu dimulakan bicara dakwahnya
“Sedarlah wahai saudaraku sekelian. Bintang ini bukanlah Tuhan yang selayaknya disembah. Ia adalah makhluk ciptaan Tuhan sebenar. Jika kalian masih menyembahnya, kalian pasti tersesat dan dihumban ke neraka.”

Jika begini perihalnya, sejurus selesai ceramahnya, si pendakwah sudah pasti diusir kasar oleh si penyembah bintang kerana berani mengkritik tanpa seni.

2) Seorang pendakwah menghampiri para penyembah bintang yang sedang khusyuk beribadat, lalu dipuji kewujudan sang bintang.
“Oh alangkah indahnya dada langit malam dihiasi sang bintang. Bintang ini jugalah yang pernah membimbingku pula setelah aku tersesat di padang pasir suatu ketika dahulu. Tanpa bimbingannya, sudah pasti aku akan terus tersesat. Duhai saudaraku sekelian, bolehkah aku menyertai kamu pada malam ini?”

Pujian awal kepada “Tuhan sangkaan mereka” pasti menimbulkan kemesraan antara mereka. Setelah kemesraan terjalin, cakap pendakwah tadi lebih mudah menusuk hati sasarannya. Setelah pagi menjengah, si pendakwah memasukkan “PIL LOGIK ANTI SYIRIK” dengan berkata:

“Eh! Mana pergi sang bintang? Apa akan terjadi sekiranya aku ditimpa musibah pada waktu siang, sedangkan sang bintang tiada untuk membantuku? Kalau begini sifatnya, sang bintang pastinya bukan Tuhan kerana hanya mampu berkuasa pada wilayah malam sahaja. Aku mahu Tuhan yang senantiasa wujud kerana keperluanku wujud sepanjang masa.”

Tusukan logik sebegini yang keluar setelah kemesraan terjalin pastinya lebih mudah menusuk ke hati sasaran dakwah. Inilah contoh pendakwah yang bijak seperti nabi Ibrahim AS.

Walaupun begitu, perlu diingat bukan selamanya pendakwah perlu berlembut kerana lembut yang berpanjangan ada juga kekurangannya. Nabi Ibrahim turut berkasar memecahkan berhala kaumnya setelah usapan belakang dan cakap lembut ditolak mentah-mentah. Lihat sahaja bagaimana baginda mengasari minda kaumnya dengan memecahkan berhala kaumnya dengan tujuan menyedarkan kebodohan mereka. Apabila baginda dihadapkan ke mahkamah kaumnya, dengan bijak baginda menempelak:

قَالُوا أَأَنْتَ فَعَلْتَ هَذَا بِآَلِهَتِنَا يَا إِبْرَاهِيمُ (62) قَالَ بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا فَاسْأَلُوهُمْ إِنْ كَانُوا يَنْطِقُونَ (63) فَرَجَعُوا إِلَى أَنْفُسِهِمْ فَقَالُوا إِنَّكُمْ أَنْتُمُ الظَّالِمُونَ (64) ثُمَّ نُكِسُوا عَلَى رُءُوسِهِمْ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا هَؤُلَاءِ يَنْطِقُونَ (65) قَالَ أَفَتَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ مَا لَا يَنْفَعُكُمْ شَيْئًا وَلَا يَضُرُّكُمْ (66) أُفٍّ لَكُمْ وَلِمَا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَفَلَا تَعْقِلُونَ (67)

Ertinya: (Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?" Ia menjawab: "(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata". Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim". Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?" Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? "Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?" (al-Anbiya’[21:62-67]).

Dakwah adalah seni yang sangat unik. Kisah nabi Ibrahim dalam ayat-ayat di atas mengajarkan kita agar mendalami seni dakwah demi menyampaikan seruan Islam. Silap pasang kaedah dakwah akan tambah menjauhkan orang dari dakwah Islam. Marilah kita sama-sama mendalami seni dakwah dengan menghayati al-Quran.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...