Wednesday, December 9, 2015

ADAKAH YUSUF AS BERKAHWIN DENGAN ZULAYKHA?


ADAKAH YUSUF AS BERKAHWIN DENGAN  ZULAYKHA?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Ya Allah! Satukan antara hati dua pengantin ini sebagaimana Engkau telah satukan antara Yusuf dan Zulaikha!”

Doa ini sudah menjadi lafaz biasa dalam sebuah majlis perkahwinan. Seakan ia menjadi resepi wajib bagi menambah romantika majlis perkahwinan yang diraikan. Pun begitu, ia agak canggung kerana kedua karakter ini begitu berbeza bak langit dan bumi. Nabi Yusuf AS adalah individu pilihan Allah yang sangat suci, manakala isteri menteri Mesir yang dikatakan bernama Zulaykha atau Ra’il (Tafsir Ibn Kathir) adalah wanita penggoda yang kurang sabar.  Kecanggungan itu terserlah apabila dakwaan perkahwinan mereka dinilai dengan ayat ini:

الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Ertinya: (Lazimnya) perempuan yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat, dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia (al-Nur [24:26]).

Apa yang pasti, saya "belum menemui" ayat al-Quran atau Sunnah yang Sahih merekodkan wujudnya perkahwinan antara mereka berdua. Al-Quran hanya menceritakan pengakuan Zulaykha betapa Yusuf AS sebenarnya tidak bersalah. Setakat itu sahaja dan tidak lebih. Rujuklah sendiri ayat 51 dan 52 surah Yusuf. Setakat penelitian saya, kisah perkahwinan mereka berasal dari riwayat Isra’iliyyat iaitu cerita yang bersumber dari riwayat Ahli Kitab yang tidak diketahui statusnya.

Walau bagaimanapun, itu semua hanya andaian saya yang kurang berilmu. Boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Ketepikan andaian saya berdasarkan analisis di atas. Mari kita lihat pula apa kata tokoh besar dunia Islam seperti Imam Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah dan bukunya “Rawdhah al-Muhibbin Wa Nazhat al-Musytaqin.”

"الباب السابع والعشرون فيمن ترك محبوبه حراما فبذل له حلالاً أو أعاضه الله خيراً منه : عنوان هذا الباب وقاعدته أنَّ مَن ترك لله شيئاً عوضه الله خيراً منه ، كما ترك يوسف الصديق عليه السلام امرأة العزيز لله ، واختار السجن على الفاحشة ، فعوضه الله أن مكَّنه في الأرض يتبوأ منها حيث يشاء ، وأتته المرأة صاغرة سائلة راغبة في الوصل الحلال ، فتزوجها فلما دخل بها قال : هذا خير مما كنت تريدين .فتأمل كيف جزاه الله سبحانه وتعالى على ضيق السجن ، أن مكَّنه في الأرض ينزل منها حيث يشاء ، وأذل له العزيز امرأته ، وأقرت المرأة والنسوة ببراءته ، وهذه سنته تعالى في عباده قديماً وحديثاً إلى يوم القيامة.

Ertinya: Prinsip ke 27 pula membicarakan tentang “SESIAPA YANG SANGGUP MENINGGALKAN KEGEMARANNYA YANG HARAM DEMI MENCARI YANG HALAL (KERANA ALLAH), MAKA ALLAH AKAN MENGGANTINYA DENGAN SESUATU YANG LEBIH BAIK”......Yusuf AS meninggalkan (mengelakkan berzina dengan) isteri Aziz Mesir dan memilih (kesempitan) penjara. Maka Allah menggantikan untuknya bumi Mesir yang luas berada dalam pentadbirannya. (Selepas bebas) Baginda didatangi wanita itu (Zulaykha) dalam keadaan terhina meminta untuk berkahwin dengan Yusuf secara halal. Yusuf mengahwininya dan berkata: Hubungan ini (yang halal) jauh lebih baik dari godaan kamu sebelum ini. Perhatikan bagaimana Allah mengganjarinya dengan menggantikan kesempitan penjara dengan kuasa di bumi Mesir yang ditadbirnya secara bebas.......... Inilah Sunnah (ketetapan) Allah pada para hambaNya dahulu dan kini sehingga hari kiamat (Rawdhah al-Muhibbin, hal 445).

Kaedah ini diprinsipkan oleh Imam Ibn al-Qayyim dari sebuah hadith Qudsi:

إِنَّ النَّظْرَةَ سَهْمٌ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيسَ مَسْمُومٌ، مَنْ تَرَكَهَا مَخَافَتِي أَبْدَلْتُهُ إِيمَانًا  يَجِدُ حَلاوَتَهُ فِي قَلْبِهِ.

Ertinya: Sesungguhnya pandangan mata (kepada sesuatu yang haram) adalah salah satu panah Iblis yang beracun. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku (Allah), maka Aku akan “MENGGANTINYA DENGAN IMAN YANG DIRASAI KEMANISAN DALAM HATINYA” (Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani).

Apa pun, adakah benar wujud perkahwinan antara mereka atau tidak, ia bukanlah pokok agama yang sangat penting untuk dipertahan atau ditentang. Islam tetap teguh tanpa ceritera romantik perkahwinan mereka.  Apa yang lebih utama untuk difahami adalah usaha kita mengutamakan Hak Allah akan membuahkan kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat seperti kisah nabi Yusuf AS di atas.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...