Sunday, November 15, 2015

WALAU SUSAH ATAU JAUH TETAP DIREDAHI DEMI AL-QURAN

WALAU SUSAH ATAU JAUH  TETAP DIREDAHI DEMI AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Dari Raub saya memandu ke Sungai Koyan, kemudian ke Pos Betau, Cameron Highlands, Ringlet, Tanah Rata, turun ke Tapah kemudian masuk PLUS Highway dan akhirnya sampai ke UIAM Gombak.”

Pagi ini (14 November 2014) hati saya tersentak keras apabila mendengar laluan perjalanan pelajar wanita dalam kelas Tafsir pagi Sabtu yang saya kendalikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau terpaksa menempuh perjalanan sejauh itu kerana Lebuh Raya Karak masih ditutup akibat kesan limpahan lumpur Rabu lepas.

Rabu lepas pun ada 2 murid wanita saya yang terperangkap dalam peristiwa banjir lumpur di Lebuh Raya Karak. Mereka sudah keluar dari Raub seawal jam 5.30 petang lagi untuk hadir kelas jam 8 malam di UIAM, Gombak. Mereka terperangkap dalam kesesakan jalan raya selama 5 jam. Setelah berpatah balik, mereka selamat tiba ke Raub hampir jam 12 malam.

Ada juga pelajar dalam kelas saya yang lain memandu jauh setiap minggu dari Kuantan, dan Johor. Jika mereka tidak dapat hadir atas halangan tertentu, mereka akan menghubungi peserta lain melalui telefon dan proses pembelajaran Tafsir akan mereka dengar melalui telefon teman sekelas yang ditempatkan atas meja saya selama 2 jam waktu kelas berlangsung. Bayangkan berapa nilai bil yang mereka tanggung?

Subhanallah! Itu sahaja yang mampu saya ucapkan atas kesungguhan dan kegigihan mereka. Hati saya selalu bertanya mengapa mereka sanggup menempuh perjalanan yang sangat jauh atau berhabis harta dan masa demi mencari ilmu Allah, lebih-lebih lagi ilmu berkaitan al-Quran?

Tidak lain, hati mereka sudah “DIJAMAH OLEH CAHAYA AL-QURAN” yang memberikan kesan KENYANG JIWA YANG LUAR BIASA. Kesan “MABUK AL-QURAN” ini mampu membuahkan semangat kental luar biasa dalam menuntut ilmu. Percayalah! Orang yang sanggup berhabis dan bersusah kerana ilmu seperti mereka ini adalah orang yang dijamin “KEBAIKAN DUNIAWI DAN UKHRAWI” oleh Allah. Bukan saya kata tetapi ia janji Rasulullah SAW:

مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

Ertinya: Sesiapa yang Allah mahu berikan kebaikan kepada mereka, maka (diberikan peluang, rasa dan ruang) kepadanya untuk mendalami agama (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Semangat kental mencari ilmu adalah semangat para nabi dan Rasul. Lihat sahaja apa kata nabi Musa AS ketika tekad keluar menempuh jalan berliku mencari Khidir AS demi secebis ilmu:

وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِفَتَاهُ لَا أَبْرَحُ حَتَّى أَبْلُغَ مَجْمَعَ الْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِيَ حُقُبًا

Ertinya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: "Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu ATAU AKU BERJALAN TERUS BERTAHUN-TAHUN" (al-Kahfi [18:60]).


Frasa tegas pada ayat “ATAU AKU BERJALAN TERUS BERTAHUN-TAHUN” jelas menunjukkan kesungguhan baginda AS. Selain itu, Rasulullah SAW juga menjanjikan anak kunci syurga bagi sebarang usaha mencari ilmu:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Ertinya: Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari (apa sahaja jenis) ilmu, Allah akan memudahkan untuknya satu jalan ke syurga (Sunan Abu Dawud & Sunan al-Tirmidhi).

Saya yakin kesungguhan para murid saya ini mencari ilmu serta rasa manis dari al-Quran bakal menjadi sebab mereka dipilih sebagai hamba pilihan Allah yang paling istimewa:

إِنَّ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ وَإِنَّ أَهْلَ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

Ertinya: Allah mempunyai ramai manusia pilihanNya. Sesungguhnya (antara) manusia pilihan Allah (Ahlullah) yang sangat istimewa adalah ahli al-Quran (para penghafaz al-Quran atau orang yang mendalami serta menghayatinya) (Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad).

Semoga kisah kali ini menjadi “teguran untuk saya” agar lebih bersungguh memberikan yang terbaik dalam penyampaian al-Quran. Juga teguran kepada sesetengah Muslim di luar sana yang asyik memberikan seribu satu alasan kerana tidak mahu mencari ilmu. Rugi benar jika menolak hidangan berzat di depan mata hanya kerana malas mengangkat tangan menyuap ke mulut, sedangkan pada masa yang sama orang lain sanggup berjalan ratusan batu mencari hidangan tersebut. 

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...