Thursday, November 12, 2015

SARAH TERKEJUT KERANA TUAHNYA MENGANDUNGKAN NABI

SARAH TERKEJUT KERANA TUAHNYA MENGANDUNGKAN NABI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Rabu (Hud [11:71-73]) pada  12 November 2015.

“Sarah tergamam dalam senyuman. Beliau segera menepuk mukanya berkali-kali seraya menjerit: Aku sudah tua dan mandul.”

Cantik sekali gambaran kejutan Sarah yang disampaikan Allah kepada kita:

فَأَقْبَلَتِ امْرَأَتُهُ فِي صَرَّةٍ فَصَكَّتْ وَجْهَهَا وَقَالَتْ عَجُوزٌ عَقِيمٌ

Ertinya: (Mendengarkan berita yang mengembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: "Aku sudah tua, lagi mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?" (al-Dhariyat [51:29]).

Itulah ekspresi Sarah isteri kepada nabi Ibrahim AS sejurus dikhabarkan oleh wakil malaikat kepada beliau tentang kelahiran insan hebat dari rahimnya kelak iaitu nabi Ishaq AS. Bukan setakat anak, nama cucunya turut diberikan:

وَامْرَأَتُهُ قَائِمَةٌ فَضَحِكَتْ فَبَشَّرْنَاهَا بِإِسْحَاقَ وَمِنْ وَرَاءِ إِسْحَاقَ يَعْقُوبَ (71) قَالَتْ يَا وَيْلَتَا أَأَلِدُ وَأَنَا عَجُوزٌ وَهَذَا بَعْلِي شَيْخًا إِنَّ هَذَا لَشَيْءٌ عَجِيبٌ (72) قَالُوا أَتَعْجَبِينَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ رَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ إِنَّهُ حَمِيدٌ مَجِيدٌ (73)

Ertinya: Dan isterinya (isteri tua nabi Ibrahim yang bernama Sarah) pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu dia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), “BAHAWA DIA AKAN MENDAPAT SEORANG ANAK: ISHAK, DAN SESUDAH ISHAK, (DIA PULA AKAN MENDAPAT SEORANG CUCU): YAAKUB.” Isterinya berkata: "Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini juga sudah tua? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan". Para malaikat itu berkata: "Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya" (Hud [11:71-73]).

Allah menguji Sarah dengan penyakit mandul sehingga mencecah usia yang sangat lanjut. Hatinya sedih kerana gagal memberikan zuriat kepada suaminya nabi Ibrahim AS. Allah tahu Sarah adalah isteri yang solehah lagi setia, lalu Allah mengurniakannya “anugerah terhebat” yang sangat diimpikan oleh semua ibu bapa iaitu “ANAK YANG LAHIR SEBAGAI NABI.” Jawatan ini bukan boleh dibeli, dilobi atau diputar oleh sesiapa. Ia adalah anugerah Tuhan semesta alam. Bukan setakat itu, anaknya itu bakal menjadi bapa kepada semua nabi dan Rasul Bani Isra’il. Subhanallah! Inilah hadiah sebuah kesolehan dan kesetiaan seorang isteri.

Tuah Sarah mengandungkan seorang nabi adalah “tempias keberkatan” nabi Ibrahim AS yang sanggup berkorban meninggalkan tanah air dan keluarga yang rosak dirasuk syaitan berhala. Manisnya, kehilangan keluarga yang rosak ini diganti dengan keluarga yang lebih baik iaitu keluarga yang menjadi benih para nabi. Inilah hadiah Allah atas pengorbanan baginda AS yang menegakkan Tawhid sehingga dibuang negeri dan keluarga:

فَلَمَّا اعْتَزَلَهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَهَبْنَا لَهُ إِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَكُلًّا جَعَلْنَا نَبِيًّا (49) وَوَهَبْنَا لَهُمْ مِنْ رَحْمَتِنَا وَجَعَلْنَا لَهُمْ لِسَانَ صِدْقٍ عَلِيًّا (50)

Ertinya: Maka apabila dia (nabi Ibrahim AS) berhijrah meninggalkan mereka (keluarganya) dan apa yang mereka sembah yang lain dari Allah kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya); dan kedua-duanya Kami jadikan berpangkat Nabi. Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam kalangan umat manusia (Maryam [19:49-50]).

Pengajarannya untuk kita semua suami dan isteri atau ayah dan ibu adalah, hiduplah dalam keredhaan Allah. Utamakan hak Allah dalam semua gerak kerja dalam rumah tangga, pasti kebahagiaan hakiki seperti limpahan rahmat keluarga nabi Ibrahim AS akan turut dicucuri kepada kita, bahagia dunia dan bahagia akhirat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...