Tuesday, November 17, 2015

RASULULLAH SAW ADALAH PEMBELA DAN JENERAL YANG BIJAKSANA

RASULULLAH SAW ADALAH PEMBELA DAN JENERAL YANG BIJAKSANA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Banyak sekali cubaan Muhammad menggempur kafilah dagang orang Mekah selepas peristiwa Hijrah. Apa justifikasinya?"

Para pembenci Rasulullah SAW tidak akan puas membunuh karakter baginda. Pandai sekali diputar belit fakta daripada Sirah Hidup baginda untuk menyokong dakwaan kotor mereka.

Pada zaman awal Hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW banyak menghantar pasukan kecil menggempur kafilah dagang orang Mekah. Dalam semua misi mereka, para sahabat gagal mengalahkan pihak Musyrikin Mekah. Antara gempuran yang paling kontroversi adalah pasukan perisik Islam yang diketuai oleh Abdullah bin Jahsy RA pada bulan Rejab tahun kedua Hijri. Pasukan ini dihantar bagi merisik pergerakan kafilah dagang Quraysh dan dalam misi ini berlaku pertempuran kecil yang mengakibatkan terbunuhnya ‘Amru bin al-Hadhramiy dari pihak Musyrikin Mekah (Sirah Ibn Hisyam). Pembunuhan ini melanggar pantang orang Arab dan Islam kerana berlaku dalam bulan haram. Kisah pertempuran itu direkodkan al-Quran:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ وَصَدٌّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ …

Ertinya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: "Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah (penindasan berterusan terhadap umat Islam) itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati)…. (al-Baqarah[2:217]).

Allah sangat adil kerana menegur 1 kesilapan pasukan risik Abdullah bin Jahsy yang membunuh pada bulan Haram, namun pada masa yang sama Allah juga menyentap Musyrikin Qurays dengan menyebut 4 kejahatan mereka yang jauh lebih besar dosanya iaitu; (1) menghalang orang Islam dari jalan Allah, (2) kufur kepada Allah, (3) menyekat orang Islam dari memasuki Masjidil Haram dan (4) mengusir keluar orang Islam penduduk asal Mekah dari Masjidil Haram.

4 kesalahan Musyrikin itu kemudiannya “dipadatkan” dalam perkataan - وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ  - “FITNAH ATAU PENINDASAN BERTERUSAN (MUSYRIKIN MEKAH)” JAUH LEBIH DAHSYAT DAN BESAR DOSANYA DARI SATU PEMBUNUHAN OLEH UMAT ISLAM DALAM BULAN HARAM.”

Tambahan pula zaman itu adalah zaman darurat dan Musyrikin Mekah adalah musuh yang diiktiraf sebagai KAFIR HARBI oleh Islam:

إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Ertinya: Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim (al-Mumtahanah[60:9]).

Kafir harbi adalah musuh Islam yang boleh diperangi kerana mereka memerangi Islam secara terang dalam bentuk fizikal. Jika bertembung dengan orang Islam pasti bidikan peluru mereka meluru deras menusuk jantung umat Islam. Sifat ini sangat jelas pada Musyrikin Mekah semenjak era Mekah lagi. Buktinya berapa ramai umat Islam disiksa, diusir dan dibunuh. Apa salah Yasir RA bapa kepada “Ammar sehingga dibunuh dan apa salah Sumayyah RA sehingga beliau mati disula?

Setelah lama ditindas, Rasulullah SAW pula diancam bunuh sehingga memaksa baginda keluar menyelamatkan diri penuh rahsia ke Madinah:

وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

Ertinya: Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya (al-Anfal [8:30]).

Tidak cukup dengan itu, banyak harta peninggalan umat Islam dirampas Musyrikin Mekah dengan rakus. Antara kisah yang memilukan adalah rumah milik keluarga Abdullah bin Jahsy yang dirampas para pembesar Mekah. Perkara ini dilaporkan oleh Abdullah bin Jahsy kepada Rasulullah SAW, lalu baginda menenangkannya dengan janji sebuah rumah yang lebih baik dalam syurga kelak. Kisah sedih keluarga ini yang kehilangan rumah kerana hijrah kemudiannya diabadikan oleh Abu Ahmad ‘Abd bin Jahsy dalam qasidahnya (Sirah Ibn Hisyam).

Mengapa Rasulullah menggempur kafilah dagang orang Mekah? Mudahnya, untuk memenangi sebuah perang, ekonomi musuh perlu dilumpuhkan agar mereka hilang kuasa untuk menjana sebarang serangan baru kepada umat Islam. Harta dagangan mereka pula termasuklah harta umat Islam yang dirampas dan didagangkan secara haram. Lalu apa salahnya umat Islam menggempur mereka untuk mengutip kembali hak mereka yang dirampas.

Selain itu, perlu diketahui bahawa ajaran Rasulullah SAW bukan hanya pedang atau perang. Baginda turut menyentuh aspek keadilan sosial (al-Baqarah[2:275], al-Hasyr[59:7), penjagaan alam sekitar (al-Rum[30:41]), dialog peradaban (al-Hujurat[49:13]), hak wanita (Ali `Imran[3:195], al-Nahl[16:57-59], al-Zukhruf[43:16-17]), ekonomi (al-Baqarah[2:282], Yusuf[12:47-49), akhlak (Yunus[10:57]), komunikasi (al-Hujurat[49:6]), sains dan sebagainya.

Umat Islam perlu berilmu bagi meluruskan segala yang bengkok berkaitan Rasulullah SAW. Kejahilan tentang sejarah hidup Rasulullah SAW bakal memfitnah Islam dan diri sendiri. Tambah parah jika penyelewengan fakta oleh pembenci Rasulullah SAW itu berjaya dipasak masuk ke dalam otak kita yang jahil. Mohon dijauhkan Allah.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...