Thursday, November 19, 2015

NI'MAT YANG DISYUKURI AHLI SYURGA DAN DISESALI AHLI NERAKA

NI’MAT YANG DISYUKURI AHLI SYURGA DAN DISESALI AHLI NERAKA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (al-Saffat [37:54-57]) pada 13 November 2015. Antara isunya adalah dialog syukur ahli syurga sesama mereka.

Ni’mat Islam dan iman sangat besar nilainya. Ia akan “DISYUKURI ATAU DISESALI” sepenuhnya oleh manusia tatkala roh mereka sudah bercerai dari badan. Ahli syurga bersyukur dengan ni'mat iman, manakala ahli neraka seakan menangis air mata darah menyesali kebodohan mereka menolak iman semasa di dunia dahulu. Akan tetapi apa gunanya  menyesal pada saat itu? Sungguh! Beruntunglah orang yang sudah tahu bersyukur semasa di dunia lagi. Lalu manifestasi syukur itu diterjemahkan dalam pengabdian serta kesempurnaan ibadat. Merekalah manusia yang paling bijak kerana senantiasa bersedia untuk hidup selepas mati:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ

Ertinya: Si cerdik (bijaksana) adalah orang yang menjaga (mengawal) diri (dari melanggar arahan Allah) dan bersedia untuk kehidupan selepas mati. Si lemah (bodoh) adalah orang yang mengikut nafsunya dan berangan-angan agar Allah (mengampunkannya) (Sunan al-Tirmidhi, Sunan Ibn Majah).

Dalam syurga kelak para penghuninya tidak kesepian. Mereka bertemu dan saling sapa menyapa antara satu sama lain. Bukan setakat itu, mereka juga berpeluang memuaskan geram di hati dengan menjengok serta menempelak ahli neraka yang dahulunya memandang lekeh iman mereka kepada Allah. Rupanya salah satu ni’mat syurga adalah ni’mat emosi ketika menempelak manusia jahat yang pernah berlagak sombong dengan mereka dahulu semasa di dunia:

قَالَ هَلْ أَنْتُمْ مُطَّلِعُونَ (54) فَاطَّلَعَ فَرَآَهُ فِي سَوَاءِ الْجَحِيمِ (55) قَالَ تَاللَّهِ إِنْ كِدْتَ لَتُرْدِينِ (56) وَلَوْلَا نِعْمَةُ رَبِّي لَكُنْتُ مِنَ الْمُحْضَرِينَ (57)

Ertinya: (Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata lagi: " Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang ingkar itu)?" Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-julang. Dia pun (menempelaknya dengan) berkata:" DEMI ALLAH! NYARIS-NYARIS ENGKAU MENCEBURKAN DAKU DALAM KEBINASAAN. "DAN KALAULAH TIDAK DISEBABKAN NIKMAT PEMBERIAN TUHANKU (DENGAN HIDAYAH PETUNJUK), NESCAYA AKAN MENJADILAH DAKU DARI ORANG-ORANG YANG DIBAWA HADIR (UNTUK MENERIMA BALASAN AZAB) " (al-Saffat [37:54-57]).

Dalam ayat lain Allah menggambarkan rasa syukur para penghuni syurga dengan NI’MAT ISLAM DAN IMAN yang mereka perolehi dari Allah:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِمْ مِنْ غِلٍّ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمُ الْأَنْهَارُ وَقَالُوا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْلَا أَنْ هَدَانَا اللَّهُ لَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُ رَبِّنَا بِالْحَقِّ وَنُودُوا أَنْ تِلْكُمُ الْجَنَّةُ أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Ertinya: Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, “DAN MEREKA PULA BERSYUKUR DENGAN BERKATA: "SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH YANG TELAH MEMBERI HIDAYAH PETUNJUK UNTUK (MENDAPAT NIKMAT-NIKMAT) INI, PADAHAL KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN MEMPEROLEH PETUNJUK KALAU ALLAH TIDAK MEMIMPIN KAMI (DENGAN TAUFIQNYA)”; sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan" (al-A’raf [7:43]).

Ni’mat iman serta Islam yang dianugerahi Allah kepada mereka memang disyukuri sepanjang masa. Bahkan ia seakan menjadi nafas, oksigen dan zikir para penghuni syurga:

دَعْوَاهُمْ فِيهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلَامٌ وَآَخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Ertinya: Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam! (Yunus [10:10]).

Jika di dunia dahulu mereka ditertawa dan diejek, maka di akhirat mereka pula memulang paku bauh keras mentertawakan ahli neraka yang mengelepar sakit diseksa:

فَالْيَوْمَ الَّذِينَ آَمَنُوا مِنَ الْكُفَّارِ يَضْحَكُونَ (34) عَلَى الْأَرَائِكِ يَنْظُرُونَ (35) هَلْ ثُوِّبَ الْكُفَّارُ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ (36)

Ertinya: Maka pada hari ini, orang-orang yang beriman pula TERTAWAKAN ORANG YANG KAFIR ITU. Sambil mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya). (Untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): "Bukankah orang-orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?" (al-Mutaffifin [83:34-36]).

Pada waktu ini, ahli neraka terhina dan menyesal. Mereka tercari-cari di manakah orang beriman yang mereka pandang lekeh dahulu:

وَقَالُوا مَا لَنَا لَا نَرَى رِجَالًا كُنَّا نَعُدُّهُمْ مِنَ الْأَشْرَارِ (62) أَتَّخَذْنَاهُمْ سِخْرِيًّا أَمْ زَاغَتْ عَنْهُمُ الْأَبْصَارُ (63)

Ertinya: Dan penduduk neraka itu tetap akan bertanya sesama sendiri: "Mengapa kita tidak melihat orang-orang yang dahulu kita kirakan mereka sebagai orang-orang jahat (lagi hina)?" Adakah kita sahaja jadikan mereka ejek-ejekan (sedang mereka orang-orang yang benar)? Atau mata kita tidak dapat melihat mereka? (Sad [38:62-63]).

Pada saat ini, penyesalan ahli neraka naik berganda kerana sedar betapa bodoh dan dungunya mereka melepaskan peluang iman semasa pernah hidup di dunia dahulu. Gambaran terbaik menjelaskan penyesalan mereka adalah sabda Rasulullah SAW ini:

يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً ثُمَّ يُقَالُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ فَيَقُولُ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيُصْبَغُ صَبْغَةً فِي الْجَنَّةِ فَيُقَالُ لَهُ يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ فَيَقُولُ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا مَرَّ بِي بُؤْسٌ قَطُّ وَلَا رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ

Ertinya: Pada hari kiamat, dibawakan orang kafir yang paling hebat ni’matnya di dunia (kaya) lalu dicelupnya dalam dengan celupan neraka sahaja, kemudian dikatakan padanya: Wahai anak Adam, adakah kamu melihat satu kebaikan dan merasa kesenangan (segala kemewahanmu di dunia dahulu)? Lalu si kafir menjawab: Tidak sama sekali wahai Tuhanku. Kemudiannya dibawakan pula ahli syurga yang paling susah hidupnya di dunia dahulu, lalu dicelupkan padanya satu celupan (sahaja) ke dalam ni’mat syurga, kemudian dikatakan padanya: Wahai anak Adam, adakah kamu melihat kesusahan dan adakah kamu merasakan kepayahan (kerana mematuhi arahan Allah semasa di dunia dahulu)? Lalu dijawabnya: Demi Allah wahai Tuhanku, tidak pernah aku rasakan kesusahan atau kepayahan sama sekali (Sahih Muslim & Musnad Ahmad).

Semoga kita tergolong dalam manusia bijak yang mengambil peluang yang sekali semasa hidup di dunia ini untuk bahagia hari esok di akhirat kelak. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...