Wednesday, November 11, 2015

MUSIBAH MENJADI LORONG YUSUF AS SAMPAI KEMUNCAK

MUSIBAH MENJADI LORONG YUSUF AS SAMPAI KEMUNCAK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Tafsir dipetik dari Rancangan U-TURN (Ahad 9:30 malam, 8 November 2015) terbitan TV al-Hijrah (Rancangan dalam penjara Seremban hasil kerjasama Lembaga Parole KDN, Jabatan Penjara Malaysia dengan Tajaan Percetakan Nasional Berhad).

“Jika Yusuf tidak dibuang ke dalam perigi oleh adik beradiknya yang cemburu, dia tidak akan dijual di Mesir. Dia tidak akan dibeli ‘Aziz Mesir. Dia tidak akan dapat tempat dalam istana ‘Aziz. Dia tidak akan digoda wanita Mesir lalu dihumban ke dalam penjara. Tidaklah pula dia bertemu teman sepenjaranya yang berdua. Tidaklah dia menta’bir mimpi pemerah anggur raja Mesir. Tidaklah kemampuannya yang sangat luar biasa menta’bir mimpi kemudiannya diketahui oleh Raja Mesir. Tidaklah juga kehebatan ta’bir mimpinya menjadi sebab dia bebas dari penjara. Dan yang paling utama “TIDAKLAH SANG RAJA MEMBERI KEPERCAYAAN PADANYA UNTUK MENTADBIR SERTA MENYELAMATKAN MESIR DARI BENCANA KEMARAU SERTA BENCANA SYIRIK.”

Subhanallah! Itulah hebatnya gerak kerja Allah. Semuanya dalam perancangan rapi yang tepat lagi benar. Rupanya musibah bertali arus semenjak muda menjadi sebab untuk baginda bersinar terang di hari muka. Benar sekali firman Allah:

وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya (al-Baqarah[2:216]).

Musibah yang menimpa Yusuf itu bukan calang-calangnya. Jika sabar dan taqwa masih rapuh, bunuh diri sahaja penyelesaiannya. Tetapi ia jauh sekali dari Yusuf kerana dia memilik 2 antibodi yang sungguh hebat iaitu Taqwa dan sabar. Setelah bertemu kembali dengan adik beradiknya,, baginda menceritakan 2 rahsia kejayaannya:

قَالُوا أَئِنَّكَ لَأَنْتَ يُوسُفُ قَالَ أَنَا يُوسُفُ وَهَذَا أَخِي قَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا إِنَّهُ مَنْ يَتَّقِ وَيَصْبِرْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ (90) قَالُوا تَاللَّهِ لَقَدْ آَثَرَكَ اللَّهُ عَلَيْنَا وَإِنْ كُنَّا لَخَاطِئِينَ (91)

Ertinya: Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Baginda menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang “BERTAQWA dan BERSABAR,” maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan (Yusuf [12:90]).

Taqwa dan Sabar kelihatan mudah dan ringan sebutannya pada lidah, tetapi sangat sukar dilaksanakan. Pun begitu kuasanya sangat hebat sehingga mampu mengawal Yusuf dari terjerumus ke dalam kemurkaan Allah. Hebat sungguh Yusuf kerana sanggup sabar dengan segala macam musibah dunia demi melaksanakan taqwanya kepada Allah. Ia jelas ketika baginda membuat pilihan antara menjadi “jantan simpanan wanita Mesir” atau “banduan hina” merengkok dalam penjara. Yusuf yang penyabar tahu benar, apa gunanya hidup bebas dan senang dalam kemurkaan Allah? Lalu baginda mengambil keputusan menghindar musibah dari menimpa agamanya. Biarlah aku ditimpa musibah dunia asalkan Allah tidak murka denganku akibat dosa zina:

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُنْ مِنَ الْجَاهِلِينَ

Ertinya: Yusuf (merayu kepada Allah dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang wanita itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang yang tidak mengamalkan ilmunya" (Yusuf [12:33]).

Berkat Sabar dan Taqwa ini kemudiannya menjadi sebab baginda diangkat menjulang tinggi sebagai orang besar Mesir. Benar kata Allah bahawa “kuasa politik sebenar” di bumi ini dijanjikan kepada orang yang soleh:

وَلَقَدْ كَتَبْنَا فِي الزَّبُورِ مِنْ بَعْدِ الذِّكْرِ أَنَّ الْأَرْضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ الصَّالِحُونَ

Ertinya: Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh" (al-Anbiya’[21:105]).

Juga firman Allah:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Ertinya: Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka: khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka (al-Nur [24:55]).

Orang soleh penggal pemerintahannya mungkin sekejap sahaja tapi HARUMANNYA KEADILANNYA kekal lama menjadi buah tutur manusia. Berbanding manusia jahat lagi zalim, penggal pemerintahannya mungkin lama namun, busuknya dijauhi oleh semua manusia.

Walau diuji bertahun lamanya oleh Allah, Yusuf yang darjat ma’rifatullahnya sangat tinggi senantiasa memuji Allah tanpa putus. Ia terbukti ketika baginda bertemu kembali ayahandanya nabi Ya’qub:

وَرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى الْعَرْشِ وَخَرُّوا لَهُ سُجَّدًا وَقَالَ يَا أَبَتِ هَذَا تَأْوِيلُ رُؤْيَايَ مِنْ قَبْلُ قَدْ جَعَلَهَا رَبِّي حَقًّا وَقَدْ أَحْسَنَ بِي إِذْ أَخْرَجَنِي مِنَ السِّجْنِ وَجَاءَ بِكُمْ مِنَ الْبَدْوِ مِنْ بَعْدِ أَنْ نَزَغَ الشَّيْطَانُ بَيْنِي وَبَيْنَ إِخْوَتِي إِنَّ رَبِّي لَطِيفٌ لِمَا يَشَاءُ إِنَّهُ هُوَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

Ertinya: Dan dia mendudukkan kedua ibu bapanya (bersamanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya “DIA TELAH MELIMPAHKAN KEBAIKAN KEPADAKU” ketika Dia mengeluarkan daku dari penjara; dan Dia membawa kamu ke mari sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. “SESUNGGUHNYA TUHANKU LEMAH-LEMBUT TADBIRNYA BAGI APA YANG DIKEHENDAKINYA; SESUNGGUHNYA DIA LAH YANG MAHA MENGETAHUI, LAGI MAHA BIJAKSANA” (Yusuf [12:100]).

Selepas ini jika ditimpa apa sahaja musibah, segeralah ingat kisah agung yang direkodkan Allah ini. Ia bukan sekadar cerita dongeng yang berakhir dengan “format standard happy ending,” tetapi sarat dengan pengajaran. Antara yang paling ketara mesejnya adalah “ WALAU BAGAIMANA DAHSYAT SEKALIPUN MUSIBAH YANG MENIMPAMU, JAGALAH HAK ALLAH. PASTI ADA SINAR TERANG DI HUJUNG JALAN.”

Ya Allah! Jadikan kami semua sehebat Yusuf ketika menghadapi musibah dunia. Jangan biarkan kami ditimpa musibah agama yang mengundang kemurkaanMu.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...