Thursday, November 26, 2015

KAMI TAKUT MUNDUR JIKA MENGAMALKAN ISLAM

KAMI TAKUT MUNDUR JIKA MENGAMALKAN ISLAM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Qasas[28:57]) pada  24 November 2015. Antara isunya adalah kerisauan orang Mekah nasib malang yang bakal menimpa mereka jika menerima Islam.

“Sudah sekian lama hidup kami aman tenteram tanpa gangguan. Ekonomi kami pesat membangun berkat agama warisan Datok Nenek Moyang kami. Tiba-tiba kamu datang membawa agama baru. Kami risau jika kami menerima Islam dengan segala kekangannya, hidup kami bertambah susah. Oleh itu, kami rasa jalan terbaik bagi kami adalah menolak Islam.”

Itulah alasan menolak Islam yang diberikan oleh Muysrikin Mekah. Ia direkod dan dijawab terus secara sentap oleh Allah:

وَقَالُوا إِنْ نَتَّبِعِ الْهُدَى مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا أَوَلَمْ نُمَكِّنْ لَهُمْ حَرَمًا آَمِنًا يُجْبَى إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِزْقًا مِنْ لَدُنَّا وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya: Dan mereka (yang kafir) berkata: "Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang)". Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur) (al-Qasas [28:57]).

Sayang sungguh mereka dengan agama sesat nenek moyang mereka. Mazhab mereka mudah sahaja iaitu mazhab Taqlid buta. Mazhab ikut membuta tuli ini memang mudah kerana tidak perlu menggunakan otak. Yang digunakan hanyalah mulut atau nafsu yang menelan tanpa fikir apa sahaja yang disuap. Tak perlu mengusul periksa apakah yang ditelan itu racun atau sampah. Ia seumpama orang yang cuma tahu makan satu lauk lalu beranggapan bahawa lauk itulah yang paling berkhasiat dan paling sedap. Lalu minda mereka menutup kepada sebarang kemungkinan adanya makanan lain yang jauh lebih sedap dan berkhasiat. Firman Allah:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ قَالُوا حَسْبُنَا مَا وَجَدْنَا عَلَيْهِ آَبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آَبَاؤُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ
Ertinya: Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran),  dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk? (al-Ma’idah [5:104]).

Rupanya umat Islam pada zaman Rasulullah SAW pernah diuji dengan stigma negatif “berpegang kepada Islam bakal menyukarkan makan pakai serta menyempitkan rezeki.” Ia berlaku pada tahun ke 9 Hijri apabila Allah memutuskan bahawa bukan Islam tidak lagi dibenarkan menginjak kaki ke Masjidil Haram. Berikutan penegasan itu, Muslim yang lemah iman risaukan kelangsungan sumber ekonomi dan makanan mereka (Tafsir al-Tabari). Mereka “seakan” mengeluh:

“Aduhai! Habislah kita! Nanti kita akan kelaparan kerana kebanyakan komoditi utama Mekah bukan berasal dari Mekah, sebaliknya diimport masuk dari para pengunjung yang masuk ke Mekah setiap tahun menunaikan haji. Jika yang belum Islam dihalang memasuki Masjidil Haram, bermakna komoditi yang mereka bawa juga bakal terhalang. Nampaknya Islam bakal melaparkan serta menyempitkan rezeki kami.”

Kerisauan mereka itu dijawab Allah pada hujung ayat ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan atau akidah) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini (tahun ke 9 Hijri); “DAN JIKA KAMU BIMBANGKAN KEPAPAAN, MAKA ALLAH AKAN MEMBERI KEKAYAAN KEPADA KAMU DARI LIMPAH KURNIANYA, JIKA DIA KEHENDAKI.” Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (al-Tawbah[9:28]).

Allah Maha Kaya. Cahaya Islam menyinar terang sehingga menyuluh hati orang Arab di sekitar Mekah. Mereka yang dahulunya menyembah berhala akhirnya memeluk Islam dan menyambung kunjungan mereka ke Mekah bersama komoditi yang biasa mereka bawa sebelum ini.

Sikap takut mundur kerana menerima Islam nampaknya turut diwarisi oleh ramai manusia moden. Walaupun kad pengenalan mereka jelas meng”AGAMA”kan mereka sebagai Muslim, tapi hati mereka seakan risau untuk menerima ajaran Islam sepenuhnya. Islam pada mereka hanya dalam “amalan ritual” dan tidak lebih dari itu. Dalam berlapik mereka berdalih:

“Bukan kami tak mahu hidup dengan Islam, tapi banyak sangat larangan dan kekangan yang digariskan Islam. Itu haram, ini syubhah, ini makruh dan banyak lagi. Sesetengahnya sudah tidak sesuai dengan zaman serba moden ini. Risau nanti kami akan kehilangan kerja atau putus mata pencarian kerana sempitnya Islam.”

Risau dan takut seperti ini rupanya dijana oleh syaitan. Memang syaitan handal mengeksploitasi rasa ini. Takut mundur, takut kalah, takut miskin dan berbagai “produk takut” lagi adalah hasil kreativiti syaitan bagi memastikan semua yang baik terkesamping jauh dari umat Islam. Ini salah satu contohnya:

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالْفَحْشَاءِ وَاللَّهُ يَعِدُكُمْ مَغْفِرَةً مِنْهُ وَفَضْلًا وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Syaitan itu “MENJANJIKAN (MENAKUT-NAKUTKAN) KAMU DENGAN KEMISKINAN DAN KEPAPAAN (JIKA KAMU BERSEDEKAH ATAU MENDERMA)”, dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya (al-Baqarah [2:268]).

Lintasan hati dari syaitan ini akan senantiasa kekal menjadi sumpahan dan ujian manusia. Penting bagi kita memilik radar agar segera dapat mengesan dan menjauhinya:

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالْحَقِّ وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالْخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالْحَقِّ فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الْأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Ertinya: Sesungguhnya terdapat bisikan syaitan dan malaikat pada hati anak Adam. Adapun bisikan syaitan adalah sesuatu yang mendorong untuk melakukan kejahatan dan mendustai kebenaran, manakala bisikan malaikat pula adalah dorongan untuk melakukan kebaikan dan membenarkan kebenaran. Sesiapa yang mendapatinya (bisikan malaikat), maka ketahuilah bahawa ia berasal dari Allah dan hendaklah dia segera memuji Allah. Sesiapa yang mendapati yang sebaliknya (bisikan syaitan) maka hendak segera memohon perlindungan dengan Allah daripada gangguan syaitan yang direjam (Sunan al-Tirmidhi).

Walaupun ayat di atas menceritakan perihal umat lampau, ia tetap relevan dengan kita semua. Usahlah geli geleman atau jijik untuk mengamalkan Islam kerana ia adalah manual terbaik untuk manusia. Siapa lagi yang lebih mengetahui mengenai cara terbaik menjaga sebuah engin kereta berbanding si jurutera yang menciptanya? Begitulah juga perihalnya dengan manusia. Siapa lagi yang lebih mengetahui yang terbaik untuk manusia berbanding Tuhan Yang Menciptanya.

Tanamkan pasak Tawhid ke dalam diri! Allah adalah satu-satuNya Zat yang berkuasa mutlak di alam semesta. Bulat-bulat mengikut kehendakNya akan membantu kita mengatasi segala masalah lain. Jika risaukan kekurangan rezeki apabila menerima Islam, ketahuilah hanya Allah Yang Maha Memberi rezeki. Jika takut diserbu atau diserang musuh kerana menerima Islam, ketahuilah bahawa Allah Yang Maha Menjaga makhlukNya. Biarlah ayat ini menambah keyakinan kita betapa pentingnya menurut Allah dan agamaNya:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Ertinya: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan (al-A’raf [7:96]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...