Saturday, November 28, 2015

JANGANLAH BERPECAH BELAH NANTI HILANGLAH KEHARUMANMU

JANGANLAH BERPECAH BELAH NANTI HILANGLAH KEHARUMANMU

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Catatan dari Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, 27 November 2015.

Di sinilah saya kenal Dr. Abdullah Adam Khair dan Dr Salih al-Tinggari dari Sudan. Di sinilah saya kenal Rassoul Djmakhanouv, Solsa dan Ali dari Chechnya. Di sinilah saya kenal 2 beradik kembar Saira dan Saima serta Habib Hiroshi dari Jepun. Di sinilah saya kenal Abdul Matin Leonard Chabot dari Kanada. Di sinilah saya kenal Abdul Shakour Preece Duncan dari United Kingdom, dan yang paling dalam memberi kesan kepada jiwa dan iman saya adalah berkenalan dengan adik angkat saya Santiago Solah Mora serta isterinya Hanan dari Colombia. Itulah realiti dan kemanisan persaudaraan Islam yang saya temui setelah 15 tahun menjadi warga kerja Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Minggu ini UIAM menyambut “UMMATIC WEEK” atau minggu "kesatuan ummah" kerana UIAM adalah sebuah Universiti yang dianggotai pelajar dari berbagai negara. Sambutan ini adalah manifestasi dari firman Allah:

إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ

Ertinya: Sesungguhnya ugama Islam inilah ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku (al-Anbiya’[21:92]).

Benar! Islam adalah agama universal yang “tidak berwarna.” Ia bukan milik mutlak orang Arab atau orang Melayu. Ia milik Allah dan keahliannya terbuka luas untuk semua kerana semua yang wujud hidup di alam ini adalah makhluk ciptaan Allah:

وَمِنْ آَيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ

Ertinya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan (al-Rum[30:22]).

Khutbah Jumaat hari ini yang berkisar tentang “Ummatic Week serta persaudaraan Islam” sangat menyentuh jiwa. Khatib jemputan dari United Kingdom iaitu Syeikh Muhammad Aslam berjaya mengetuk hati saya agar lebh agresif menjaga persaudaraan Islam. Beliau membuka khutbah dengan membaca sebuah hadith yang meleburkan asabiyyah atau fanatik bangsa. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ لَأُنَاسًا مَا هُمْ بِأَنْبِيَاءَ وَلَا شُهَدَاءَ يَغْبِطُهُمْ الْأَنْبِيَاءُ وَالشُّهَدَاءُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِمَكَانِهِمْ مِنْ اللَّهِ تَعَالَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ تُخْبِرُنَا مَنْ هُمْ قَالَ هُمْ قَوْمٌ تَحَابُّوا بِرُوحِ اللَّهِ عَلَى غَيْرِ أَرْحَامٍ بَيْنَهُمْ وَلَا أَمْوَالٍ يَتَعَاطَوْنَهَا فَوَاللَّهِ إِنَّ وُجُوهَهُمْ لَنُورٌ وَإِنَّهُمْ عَلَى نُورٍ لَا يَخَافُونَ إِذَا خَافَ النَّاسُ وَلَا يَحْزَنُونَ إِذَا حَزِنَ النَّاسُ

Ertinya: Sesungguhnya dari kalangan hamba Allah ada sekumpulan manusia (yang istimewa), tetapi mereka bukanlah para nabi atau orang yang mati syahid. Pun begitu mereka dicemburui oleh para nabi dan orang yang mati syahid pada hari kiamat kelak kerana kedudukan mereka yang sangat istimewa di sisi Allah. Para sahabat bertanya: Siapakah mereka itu Wahai Rasulullah? Baginda menjawab: “MEREKA ADALAH ORANG YANG BERKASIH SAYANG DENGAN SEMANGAT DARI (AGAMA) ALLAH DAN BUKANNYA KERANA HUBUNGAN KELUARGA ANTARA MEREKA, TIDAK JUGA KERANA (KEPENTINGAN) HARTA YANG DISOGOK SESAMA MEREKA.” Demi Allah! Wajah mereka benar-benar bersinar dan mereka berada dalam (lingkungan) cahaya. Mereka tidak takut ketika manusia sedang takut dan mereka juga tidak sedih ketika manusia bersedih (Sunan Abu Dawud). 

Benar sekali apa yang diucapkan Rasulullah SAW ini. Jika sebuah persahabatan diikat atas nama bangsa, maka yang tidak sebangsa pasti tersisih. Jika persahabatan dipadu atas neraca kembung atau ketatnya poket, maka yang berpoket kosong akan tercicir.  Persaudaraan Islam wajib diasaskan atas landasan Islam mengikut panduan al-Quran dan al-Sunnah. Bersatu atas asas selain keduanya pasti gagal. Bukan saya kata, tetapi Allah menegaskannya dalam ayat ini:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ertinya: Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, “DAN JANGANLAH KAMU SALING BERBANTAH; KALAU TIDAK NESCAYA KAMU MENJADI LEMAH SEMANGAT DAN HILANG KEKUATAN KAMU,” dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar (al-Anfal [8:46]).

Renunglah ayat di atas dengan mata hati: “DAN JANGANLAH KAMU SALING BERBANTAH; KALAU TIDAK NESCAYA KAMU MENJADI LEMAH SEMANGAT DAN HILANG KEKUATAN KAMU.” Allah menyebut “SATU” tindakan berpecah belah bakal mendedahkan umat Islam kepada “DUA” impak negative iaitu (1) lemah semangat dan (2) hilang kekuatan. Ulasan Syeikh Muhammad Aslam dalam khutbahnya sangat menarik, beliau mentafsirkan perkataan -   وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ   - secara literal iaitu “MAKA HILANGLAH KEHARUMANNYA.”

Benarkah tafsiran ini? Setakat yang saya perhatikan, perkataan – ريح  - walaupun secara literalnya bermaksud angin, bau atau haruman, tetapi rata-ratanya ditafsirkan sebagai kekuatan atau kemenangan oleh kebanyakan ulama tafsir (Tafsir al-Tabari, Ibn Kathir, al-Razi, Jalalayan).

Bagi mengukuhkan huraiannya, Syeikh Muhammad Aslam menyebut sebuah analogi: “sebuah keluarga yang bersatu sesama anggotanya akan kekal harum namanya pada orang luar. Begitulah juga dengan umat Islam. Mereka akan mendapat nama yang harum jika kekal bersatu dan kuat. Apabila kesatuan sudah hilang maka nama Islam dan umatnya akan membusuk. Inilah yang terjadi kepada sesetengah umat Islam pada zaman ini.”

Sungguh! Ini tafsiran baru bagi saya. Pun begitu saya boleh terima kerana ia masih berada dalam lingkungan “PAGAR AL-QURAN” yang dibenarkan kerana beliau masih mengambil kira makna asal perkataan Arab dan disokong pula oleh ilmu sosial dan sejarah.

Kemudiannya isi khutbahnya tentang kepentingan persaudaraan Islam dipasak kemas lagi dengan ayat ini:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Ertinya: Sebenarnya orang yang beriman itu adalah “BERSAUDARA DALAM HUBUNGAN DARAH”, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat (al-Hujurat [49:10]).

Ketika mengulas perkataan – إخوة – Syeikh Muhammad Aslam menjelaskan perkataan ini merujuk kepada persaudaraan berasas hubungan DARAH dan BIOLOGI. Sepatutnya apabila membicarakan isu persaudaraan umum Allah perlu menggunakan perkataan – إخوان – iaitu yang persaudaraan tidak berasaskan hubungan darah atau biologi. Soalannya mengapa Allah memilih perkataan yang menggambarkan hubungan darah dan bukannya hubungan umum? Tidak lain, ia menunjukkan betapa isu persaudaraan sangat penting dalam Islam. Walaupun berlainan ibu atau bapa, umat Islam seharusnya memandang saudara Islam yang lain seperti adik beradiknya sendiri. Sudah pasti manusia tidak akan sama sekali memudaratkan ahli keluarganya sendiri. Apabila kefahaman seperti ini dipraktik, maka kekuatan persaudaraan Islam sepeti yang pernah berlaku antara Muhajriin dan Ansar pasti berulang.

Tambahan pula ayat selepas perkataan – إخوة – menuntut agar sebarang perselisihan sesama saudara Islam segera didamaikan. Lambat mendamaikan akan tambah meretakkan hubungan sesama Islam. Jika sebuah bangunan yang sudah retak dibiarkan tanpa dibaiki maka bangunan itu akan runtuh. “Membaiki” sesuatu hubungan persaudaran yang retak jauh lebih mudah berbanding “membina semula” sebuah hubungan yang runtuh.

Subhanallah! Ilmu Allah sangat luas dan kadangkala ilmu yang sudah kita ketahui menjadi semakin terang dan nyata apabila disuluh oleh orang lain yang dipinjamkan sedikit ilmu dari Allah. Semoga perkongsian ini membantu kita untuk melihat betapa pentingnya sebuah persaudaraan Islam. Segeralah baiki sebarang kerosakan dalam hubungan persaudaraan samada ianya hubungan darah atau hubungan persahabatan kerana ia menjadi sebab bahagianya kita di sini dan di akhirat kelak.

Like page beliau:

https://www.facebook.com/ShaykhAslam/

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...