Tuesday, November 17, 2015

HADIAH UNTUK SARAH YANG SETIA BERSAMA IBRAHIM

HADIAH UNTUK SARAH YANG SETIA BERSAMA IBRAHIM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Tazkirah ringkas pagi Sabtu di Surau Nur al-Syura (al-Dhariyat [51:24-30]) pada 14 November 2015. Nota ini adalah huraian ringkas berdasarkan ayat yang dibaca dalam solat Subuh pagi tersebut.

Sungguh lama! Bukan sehari, bukan setahun, bukan sepuluh tahun, tetapi puluhan tahun sehingga meniti usia tua. Itulah tempoh kesetiaan Sarah bersama nabi Ibrahim AS. Alhamdulillah, kesetiaan yang seumur hidup ini diganjari anugerah terbesar yang diimpikan semua wanita solehah kepada suaminya iaitu rahim yang mengandungkan zuriat si suami. Zuriat ini pula bukan sembarangan, anak yang bakal menjadi bapa kepada “ratusan nabi Bani Isra’il.”

Bagaimana kita tahu beliau setia bersama Ibrahim sehingga usia tua? Allah memuji beliau dalam kisah ini:

هَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَاهِيمَ الْمُكْرَمِينَ (24) إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا سَلَامًا قَالَ سَلَامٌ قَوْمٌ مُنْكَرُونَ (25) فَرَاغَ إِلَى أَهْلِهِ فَجَاءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ (26) فَقَرَّبَهُ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ (27) فَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةً قَالُوا لَا تَخَفْ وَبَشَّرُوهُ بِغُلَامٍ عَلِيمٍ (28) فَأَقْبَلَتِ امْرَأَتُهُ فِي صَرَّةٍ فَصَكَّتْ وَجْهَهَا وَقَالَتْ عَجُوزٌ عَقِيمٌ (29) قَالُوا كَذَلِكِ قَالَ رَبُّكِ إِنَّهُ هُوَ الْحَكِيمُ الْعَلِيمُ (30)

Ertinya: Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu!" Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! "(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: "Silalah makan". (Setelah dilihatnya mereka mereka tidak menjamah makanan itu), maka ia merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: "Janganlah engkau takut (wahai Ibrahim)". Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan. (Mendengarkan berita yang mengembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit (kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: "AKU SUDAH TUA, LAGI MANDUL, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?" Mereka berkata: "Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja); Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui" (al-Dhariyat [51.24-30]).

Frasa “AKU SUDAH TUA, LAGI MANDUL” diulang sekali lagi oleh Allah dalam ayat lain. Cuma kali ini ditambah “SUAMIKU JUGA SANGAT TUA”:

قَالَتْ يَا وَيْلَتَا أَأَلِدُ وَأَنَا عَجُوزٌ وَهَذَا بَعْلِي شَيْخًا إِنَّ هَذَا لَشَيْءٌ عَجِيبٌ (72) قَالُوا أَتَعْجَبِينَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ رَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ إِنَّهُ حَمِيدٌ مَجِيدٌ (73)

Ertinya: Isterinya berkata: "Sungguh ajaib keadaanku! Adakah aku akan melahirkan anak “PADAHAL AKU SUDAH TUA DAN SUAMIKU INI JUGA SUDAH TUA?” Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang menghairankan". Malaikat-malaikat itu berkata: "Patutkah engkau merasa hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah? Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji, lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya" (Hud [11:72-73]).

Soalan yang bagus untuk ditanya, mengapa disebut TUA? Dalam kisah lain pula disebut ketika nabi Ibrahim AS berhadapan kaumnya baginda “MASIH MUDA.” Lihat firman Allah ini:

فَجَعَلَهُمْ جُذَاذًا إِلَّا كَبِيرًا لَهُمْ لَعَلَّهُمْ إِلَيْهِ يَرْجِعُونَ (58) قَالُوا مَنْ فَعَلَ هَذَا بِآَلِهَتِنَا إِنَّهُ لَمِنَ الظَّالِمِينَ (59) قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ (60)

Ertinya: Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya. (Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim". (Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar SEORANG ANAK MUDA BERNAMA IBRAHIM, mencacinya" (al-Anbiya’ [21:58-60]).

Setelah bertindak keras memusnahkan berhala kaumnya ketika MASIH MUDA, nabi Ibrahim AS dibakar dan diusir keluar dari negerinya:

قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ (97) فَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَسْفَلِينَ (98) وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَى رَبِّي سَيَهْدِينِ (99)

Ertinya: (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua) mereka berkata: "Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang menjulang-julang itu". Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya maksudnya). Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "AKU HENDAK (MENINGGALKAN KAMU) PERGI KEPADA TUHANKU, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar) (al-Saffat [37:97-99]).

Nabi Ibrahim AS sangat tabah, baginda sanggup meninggalkan tanah air dan keluarga yang rosak akibat rasukan syaitan berhala. Ketabahan baginda bersama “PENGIKUTNYA” diabadikan al-Quran bagi menjadi suri ikutan untuk kita semua:

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآَءُ مِنْكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّى تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ

Ertinya: Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan “NABI IBRAHIM AS DAN PARA PENGIKUTNYA - CONTOH IKUTAN YANG BAIK”, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata" (al-Mumtahanah [60:4]).

PARA PENGIKUTNYA dalam ayat ini merujuk kepada para nabi yang sezaman baginda atau para nabi dari zuriat baginda yang membawa misi Tawhid yang sama (Tafsir al-Tabari dan Tafsir Ibn Kathir). Tapi menurut segelintir para ulama Tafsir, yang bersama Ibrahim ketika baginda diusir keluar hanya isterinya Sarah dan anak saudaranya Lut AS. Ringkasnya, Sarah adalah wanita yang setia beriman kepada nabi Ibrahim sejak “MEREKA MUDA” lagi.

Kesetiaan semenjak muda seperti ini jugalah menjadi sebab dalamnya cinta Rasulullah SAW kepada Khadijah RA. Kasih baginda kepada kesetiaan Khadijah RA mengundang cemburu sayang Aishah AS:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَكَرَ خَدِيجَةَ أَثْنَى عَلَيْهَا فَأَحْسَنَ الثَّنَاءَ قَالَتْ فَغِرْتُ يَوْمًا فَقُلْتُ مَا أَكْثَرَ مَا تَذْكُرُهَا حَمْرَاءَ الشِّدْقِ قَدْ أَبْدَلَكَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا خَيْرًا مِنْهَا قَالَ مَا أَبْدَلَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ خَيْرًا مِنْهَا قَدْ آمَنَتْ بِي إِذْ كَفَرَ بِي النَّاسُ وَصَدَّقَتْنِي إِذْ كَذَّبَنِي النَّاسُ وَوَاسَتْنِي بِمَالِهَا إِذْ حَرَمَنِي النَّاسُ وَرَزَقَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَدَهَا إِذْ حَرَمَنِي أَوْلَادَ النِّسَاءِ

Ertinya: Aisyah RA berkata Rasulullah SAW selalu memuji Khadijah sehingga mengundang cemburu sayang padaku, lalu aku berkata kepada baginda SAW: Alangkah kerapnya engkau menyebut perihal wanita tua itu (Khadijah). Ketahuilah bahawa Allah sudah menggantikan kehilangannya (Khadijah) dengan isteri yang lebih baik darinya. Rasulullah SAW berkata: “SUNGGUH DIA ITU TIADA GANTI.” Dia beriman kepadaku ketika semua manusia mengingkariku, dia membenarkanku ketika semua orang mendustaiku, dia membantuku dengan hartanya ketika manusia menghalangku dan Allah menganugerahkan padaku semua anaknya ketika wanita lain tidak memberikanku anak (Musnad Ahmad).

Subhanallah! Rupanya Sarah yang menjadi TEMAN SETIA kepada Datuk kita semua nabi Ibrahim AS sebenarnya tidak kurang hebat berbanding Khadijah RA.

Jangan pula ada yang emosi menyempitkan”SETIA BERMAKSUD TIDAK BERPOLIGAMI.” Nabi Ibrahim AS dan Rasulullah SAW setia dalam POLIGAMI. Pun begitu, poligami mereka tetap dibimbing agama bukan nafsu semata. Jadilah insan soleh dan setia kepada Allah dan Islam seperti mereka, semoga KESETIAAN bersama pasangan menjadi sebab untuk kita semua bersatu bersama keluarga para nabi di akhirat kelak. Insya Allah!

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

* Dapatkan buku penulis:

http://pts.com.my/buku/ayat-ayat-syaitan-mombongkar-rahsia-jin-syaitan-dan-iblis-dalam-al-quran/

http://pts.com.my/buku/apabila-tuhan-berbicara/

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...