Monday, November 9, 2015

DOSA HALIMUNAN MEDIA SOSIAL

DOSA HALIMUNAN MEDIA SOSIAL

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ringkasan Kuliah Bulanan Tadabbur al-Quran di Masjid Ibn Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada  5 November 2015.

“Nanti jika saya mengamuk atau naik minyak di jalan raya seperti manusia hilang akal, saya minta jasa baik awak ambil gambar atau video saya itu kemudian sebarkan dalam media sosial. Saya rela demi pengajaran untuk orang lain walaupun saya dimalukan!”

“Selepas ini jika anak atau isteri saya mati dalam kemalangan ngeri, saya minta jasa baik awak sebarkan gambarnya untuk pengajaran kepada orang lain. Saya rela!”

“Nanti bila tiba malam Jumaat minta jasa baik awak ambil gambar ibu atau isteri saya dan ciptakan lawak lucah malam Jumaat untuk gurauan. Apa salahnya menjadikan gambar isteri atau ibu sendiri sebagai bahan jenaka  kerana jenaka adalah ubat terbaik untuk mengubat tekanan perasaan.”

Jika ada manusia yang sanggup menyebut dialog di atas, itu tanda maruahnya sudah hilang atau akalnya perlu segera dirawat pakar sakit jiwa. Jika semua manusia Muslim yang asyik tenggelam dengan penggunaan MEDIA SOSIAL sedar waras tentang maruah orang lain seperti maruahnya sendiri, sudah pasti TELEFON PINTAR kita tidak lagi menjadi LUBUK DOSA tanpa sedar. Jika kita tak mahu diri diaib atau ditelanjangkan di khalayak umum, maka usahlah galak berkongsi aib  orang lain atas nama “Tazkirah Media Sosial.” Itulah tanda kesempurnaan iman. Bukan saya memandai kata, tetapi ia pesanan WAKIL ALLAH:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Ertinya: Tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu suka sesuatu kepada saudara kamu sama seperti apa yang kamu suka untuk diri kamu sendiri (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Banyak sekali dosa media sosial yang tidak kita sedari seperti kesilapan menyebar berita tak pasti, menyebar gambar aib orang lain, mengumpat dan mengejek di alam maya, BERJENAKA DENGAN SEBARAN POSTER LUCAH MALAM JUMAAT SEHINGGA ENTAH GAMBAR IBU, ANAK DARA ATAU ISTERI SESIAPA SAHAJA MENJADI MANGSA SEBARAN, MENYEBAR HADITH PALSU, memutuskan silaturahim dan banyak lagi.

Dosa media sosial tampaknya sudah menjadi seperti OMBAK API yang rakus menyambar siapa sahaja tanpa kecuali. GELOJAK ini diapikan oleh Iblis dan syaitan yang sudah lama bersumpah untuk merosakkan manusia:

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ (16) ثُمَّ لَآَتِيَنَّهُمْ مِنْ بَيْنِ أَيْدِيهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ أَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَائِلِهِمْ وَلَا تَجِدُ أَكْثَرَهُمْ شَاكِرِينَ (17)

Ertinya: Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur“ (al-A’raf[7:16-17]).

Dari lautan atau pusat pentadirannya, Iblis menghantar tenteranya merosakkan manusia dengan senjata baru iaitu MEDIA SOSIAL:

إِنَّ عَرْشَ إِبْلِيسَ عَلَى الْبَحْرِ فَيَبْعَثُ سَرَايَاهُ فَيَفْتِنُونَ النَّاسَ فَأَعْظَمُهُمْ عِنْدَهُ أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً

Ertinya: Sesungguhnya singgahsana (pusat pemerintahan) Iblis berada di atas laut, maka dia mengutus pasukan tenteranya yang memfitnah (merosakkan) manusia, syaitan yang paling dekat kedudukan dengannya adalah yang paling banyak kejahatannya (Sahih Muslim). 

Lalu bagaimanakah caranya bagi menyelamatkan diri dari GELOJAK DOSA HALIMUNAN MEDIA SOSIAL ini? Dalam kuliah singkat itu saya berkongsi beberapa “pagar iman” untuk "DIRI SENDIRI" dan semua Jemaah, antaranya:

1) Menambah ilmu agama kerana akal semata tidak dapat memahami suruhan dan larangan Allah. Bagi si jahil, tindakannya masih remeh sedang bagi si alim, ia seperti sebuah bukit yang hampir menimpa kepala. Benarlah firman Allah:

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ

Ertinya: Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (Fatir[35:28])

2) Menyelidik sebarang berita sebelum disebar. Berapa banyak sesuatu berita yang sudah tersebar kemudiannya selepas beberapa hari timbul pembetulan atau penafian pihak tertentu. Ikutlah pesanan Allah ini, kita pasti terselamat:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan (al-Hujurat[49:6]).

3) Berbaik sangka sebelum membuat persepsi buruk atas berita yang diterima:

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنْفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا هَذَا إِفْكٌ مُبِينٌ

Ertinya: Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata“(al-Nur[24:12]).

Terbaru riuh disebut seorang Ustaz membuka Telefon Pintar ketika sedang mengimamkan solat. Dikata "Dahsyat sekali! Sempat lagi bermain telefon ketika solat? Di mana khusyuknya?"  Setelah diselidik, si ustaz rupanya menyemak bacaan al-Quran bimbang tersilap baca dan bukannya sedang "like" status Facebook atau baca What's App. Tapi persepsi buruk sudah jauh tersebar ke seluruh Malaysia. Benar cara cara si ustaz mungkin mengundang fitnah, tapi kita akan lebih selamat jika BERSANGKA BAIK terlebih dahulu.

4) Jika sesuatu berita adalah keaiban orang lain, jangan sekali-kali disebar walau atas alasan pengajaran:

مَنْ سَتَرَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ سَتَرَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمَنْ كَشَفَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ كَشَفَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ حَتَّى يَفْضَحَهُ بِهَا فِي بَيْتِهِ

Ertinya: Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya, Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat. Sesiapa yang mendedahkan aib saudara muslimnya, Allah akan mendedahkan aibnya sehingga dia akan terhina di rumahnya sendiri (Sunan Ibn Majah).

5) Sabar, diam atau berkata (menulis yang baik sahaja). Jika tiada keperluan mendesak melaporkan sesuatu berita, usahlah menjadi wartawan dosa yang kononnya mahu menjadi orang pertama melaporkannya. Bukan royalti berita yang diperolehi tetapi BONUS DOSA:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Ertinya: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah disakiti jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dimuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah BERKATA BAIK ATAU DIAM SAHAJA (Sahih al-Bukhari & Muslim).

6) Taubat segera dari kegilaan lampau berkongsi tanpa melihat batas agama dan jangan sesekali diulangi dosa tersebut:

وَلَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُمْ مَا يَكُونُ لَنَا أَنْ نَتَكَلَّمَ بِهَذَا سُبْحَانَكَ هَذَا بُهْتَانٌ عَظِيمٌ (16) يَعِظُكُمَ اللَّهُ أَنْ تَعُودُوا لِمِثْلِهِ أَبَدًا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ (17)

Ertinya: Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan". ALLAH MEMBERI PENGAJARAN KEPADA KAMU, SUPAYA KAMU TIDAK MENGULANGI PERBUATAN YANG SEDEMIKIAN INI SELAMA-LAMANYA, JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BERIMAN (al-Nur [24:16-17]).

PENUTUP:

Galak menyebarkan berita “palsu, lucah, aib dan kotor” orang lain bukanlah sifat orang beriman. Hindarilah ia sejauh mungkin, sejauh BUMI dan PLUTO atau sejauh MALAIKAT dan IBLIS:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آَمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian) (al-Nur [24:19]).

Gunakan tangan pinjaman Allah sebaiknya dengan menaip atau berkongsi yang indah, benar, sahih dan manis sahaja. Jangan jadikan tangan itu "CANGKUL" yang menggali lubang neraka dengan lebih dalam:


ذَلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِلْعَبِيدِ

Ertinya: (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang telah dilakukan OLEH TANGAN KAMU SENDIRI, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya (al-Anfal[8:51]).

Berkongsi yang buruk bukan sifat orang beriman, tetapi sifat orang munafik yang telah ditunggangi oleh Syaitan. Allah menegaskannya dalam penghujung kisah Aishah RA yang difitnah berzina dengan Safwan bin al-Mu’attal dalam surah al-Nur:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا زَكَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ أَبَدًا وَلَكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan (YANG MENGHASUT ORANG MUNAFIQ MEMFITNAH UMMUL MU’MININ AISHAH BERZINA); dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui (al-Nur[24:21]).

Ya Allah! Selamat kami dari dosa halimunan media social.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...