Tuesday, November 10, 2015

ADA MASA UNTUK AL-QURAN ADALAH "REZEKI"

ADA MASA UNTUK AL-QURAN ADALAH "REZEKI"

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Memang “REZEKI” saya petang itu (6 November 2015) bertemu bekas pelajar saya bernama Muhammad Rashidi Ab Hamid yang turut menghafaz al-Quran. Celoteh kami memugarkan semangat bersama untuk menjaga hafazan al-Quran yang diibaratkan Rasulullah SAW seperti unta liar:

إِنَّمَا مَثَلُ صَاحِبِ الْقُرْآنِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْإِبِلِ الْمُعَقَّلَةِ إِنْ عَاهَدَ عَلَيْهَا أَمْسَكَهَا وَإِنْ أَطْلَقَهَا ذَهَبَتْ

Ertinya: Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti pemilik unta yang ditambat. Sekiranya dia berterusan menambatnya unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Rasulullah SAW juga memberi amaran agar jangan sengaja melupakan al-Quran:

بِئْسَ مَا لِأَحَدِهِمْ أَنْ يَقُولَ نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ بَلْ نُسِّيَ وَاسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنْ النَّعَمِ

Ertinya: Buruk sekali tindakan seseorang yang berkata “Aku melupakan ayat ini dan itu. Sebaliknya sebutlah “AKU TELAH DIJADIKAN LUPA (TANPA RELAKU AYAT AL-QURAN). Dan jagalah (hafazan) al-Quran kerana ia sangat mudah terlepas dari hati seseorang seperti binatang ternak (yang liar) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Rashidi adalah graduan Diploma Tahfiz Darul Quran, JAKIM. Selepas habis belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Rashidi berkerja sebagai Imam di sebuah Surau Waqaf milik sebuah bank di Kuala Lumpur. Saya pernah beberapa kali dijemput berkongsi “ilmu yang tak seberapa ini” di surau tersebut. Kami sama-sama lepasan Darul Quran, tapi jarak antara kami sangat jauh. Saya habis belajar di Darul Quran pada tahun 1996 dan ketika itu Darul Quran belum wujud atau “benihnya baru sahaja dikandungkan” oleh Institut Pengajian Tahfiz al-Quran, BAHEIS (nama lama Darul Quran).

“Ustaz! Saya sudah tak kerja di tempat lama. Saya dapat tawaran kerja di tempat baru dengan gaji yang agak rendah sedikit. Mengajar! Tapi tak mengapa, saya terima tawaran baru demi mencari masa yang lebih berkualiti untuk mengulang kaji hafazan al-Quran. Kerja di tempat lama terlalu menghambat masa sehingga sukar nak mengulang kaji hafazan.”

Itulah cabaran utama para penghafaz al-Quran. Masa dan suasana memainkan peranan untuk mengukuhkan hafazan. Mengenangkan perkara ini, saya sangat merindui “masa emas” semasa kami masih belajar di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran dahulu. Tiada apa yang difikir melainkan hafazan, tasmik dan ulangan. Itulah zikir, tasbih, tahlil dan “SELAWAT PERDANA” kami. Apabila habis belajar kami perlu mengatur masa dan mencipta suasana sendiri demi menjaga “6236 ayat al-Quran” yang telah kami hafaz.

Ramai sebenarnya para penghafaz al-Quran yang larut dengan suasana orang awam yang sesetengahnya hanya bersua muka seminggu sekali sahaja dengan al-Quran. Itu pun cuma surah Yasin. Bagi mengelakkan "musibah” ini menimpa, para penghafaz al-Quran wajib mempunyai “kekuatan mental yang kental” agar tidak terlarut dalam lautan masin orang yang memandang tinggi al-Quran tapi jarang menyentuhnya. Jadilah seperti ikan yang tetap tawar dagingnya walau hidup dalam lautan.

Rashidi juga menyebut beliau memasuki ujian ITHBAT HAFAZAN atau pengukuhan hafazan sebuah negeri. Program ini yang menawarkan elaun tahunan kepada para hafiz adalah suatu program yang sangat bagus. Keputusan Rashidi meninggalkan kerja lama demi al-Quran adalah “REZEKI” yang sangat berharga dari Allah iaitu kesedaran, kesungguhan dan keinsafan untuk senantiasa menjaga hafazan al-Quran. Beliau sudah digerakkan Allah menjadi manusia pilihanNya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَهْلِينَ مِنْ النَّاسِ وَإِنَّ أَهْلَ الْقُرْآنِ أَهْلُ اللَّهِ وَخَاصَّتُهُ

Ertinya: Allah mempunyai ramai manusia pilihanNya. Sesungguhnya (antara) manusia pilihan Allah (Ahlullah) yang sangat istimewa adalah ahli al-Quran (para penghafaz al-Quran atau orang yang mendalami serta menghayatinya) (Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad).

“Ya Allah! Berikan aku semangat, rasa dan kekuatan untuk membaca serta mengulang kaji hafazan al-Quran untuk hari ini.”

Itulah doa mudah yang saya kongsikan dengan Rashidi pada akhir pertemuan kami. Manusia sering dipengaruhi “mood.” Cabaran peribadi saya adalah “mood cuti” pada hari minggu. Cuti kerja biasa melembabkan semangat diri untuk membaca al-Quran. Oleh itu, kita wajib berdoa setiap hari agar diberikan kekuatan membaca al-Quran setiap hari. Jika saya terlupa berdoa di awal pagi, maka sukatan ulangan harian saya pasti terjejas. Benarlah kata lelaki soleh dalam kisah ini, tanpa bantuan Allah, siapalah kita:

وَلَوْلَا إِذْ دَخَلْتَ جَنَّتَكَ قُلْتَ مَا شَاءَ اللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

Ertinya: Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (SEMUANYA IALAH BARANG YANG DIKEHENDAKI ALLAH)! (TIADA DAYA DAN UPAYA MELAINKAN DENGAN PERTOLONGAN ALLAH).. (al-Kahf [18:39]).
 
Memandangkan kesungguhan membaca atau mengulang kaji hafazan al-Quran adalah “REZEKI” milik Allah, janganlah pula kita angkuh atau berasa hebat kerana jika Allah mahu mudah sahaja ia dicabut:

وَلَئِنْ شِئْنَا لَنَذْهَبَنَّ بِالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ ثُمَّ لَا تَجِدُ لَكَ بِهِ عَلَيْنَا وَكِيلًا

Ertinya: Dan sesungguhnya jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan hapuskan apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, kemudian engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk mengembalikannya (al-Isra’[17:86]).

Berdoalah agar senantiasa di”REZEKI”kan membaca dan menghayati al-Quran tanpa mengira siapa pun anda. Sungguh “REZEKI” ini sangat lazat dan jauh lebih baik dari dunia dan segala isinya kerana ia adalah kalam Allah yang Maha Hebat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...