Saturday, October 17, 2015

TUKAR PERIGI DAN NI'MAT KEBUN KURMA DENGAN SYURGA

TUKAR PERIGI DAN NI'MAT KEBUN KURMA DENGAN SYURGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

15 Oktober 2015 di Kebun Kurma Madinah.

Lawatan ke kebun kurma Madinah pagi ini di Madinah mengingatkan saya dengan kisah  telaga  Bayruha' dan kisah Abu Khuthaymah yang baru nak bercanda dalam kebun kurmanya sebelum perang Tabuk.

Telaga Bayruha' - بيروحاء - adalah aset Madinah yang sangat mahal. Lokasinya strategik iaitu di hadapan Masjid Nabawi. Baginda SAW suka sekali minum air dari telaga ini. Dia dimiliki oleh Abu Talhah iaitu antara orang Ansar yang paling kaya dan banyak memiliki kebun kurma. Allah kemudiannya menurunkan ayat ini:

لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Ertinya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (Ali 'Imran  [3:92]).

Setelah ayat ini diturunkan, Abu Talhah RA datang bertemu Rasulullah SAW dan mensedekahkan harta yang paling disayanginya iaitu telaga Bayruha' untuk Islam. Rasulullah SAW sungguh kagum dengan hasrat beliau itu lalu menasihatinya agar membahagikan sedekah tersebut kepada kaum kerabatnya (Sahih al-Bukhari & Tafsir Ibn Kathir).

Perlu kita ketahui, sumber air seperti Bayruha' atau dalam sesetengah riwayat menyebut Bi'ru Ruha - بئر روحا - sangat penting untuk pengairan kebun kurma, tapi demi menjalankan arahan Allah, ia sanggup dilepaskan. Bersedekah dari harta terbaik banyak disinggung al-Quran contohnya:

 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنْفِقُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُمْ مِنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ وَلَسْتُمْ بِآخِذِيهِ إِلَّا أَنْ تُغْمِضُوا فِيهِ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

Ertinya: Wahai orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji (al-Baqarah  [2:267]).

Kisah kedua berkaitan kebun kurma yang elok dikongsi adalah kisah Abu Khuthaymah yang terlewat bertolak ke perang Tabuk. 

Pada tahun ke 9 Hijri, Rasulullah SAW mengerahkan penduduk Madinah bergerak ke Tabuk untuk menghalang kemaraan tentera Rom yang berhasrat menyerang Madinah. Perang ini sangat mencabar kerana jaraknya sangat jauh kira-kira 660 km dari Madinah dan berlaku pada musim panas.

Pada saat itu, warna asal orang munafik menyerlah dengan terang kerana mereka enggan bertolak bersama para sahabat. Berbagai alasan bertaraf lawak antarabangsa mereka berikan. Bukan setakat engkar kerahan wajib dari nabi, mereka turut menjadi perosak dalaman menghasut umat Islam Madinah. Ia direkodkan al-Quran:

فَرِحَ الْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلَافَ رَسُولِ اللَّهِ وَكَرِهُوا أَنْ يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَالُوا لَا تَنْفِرُوا فِي الْحَرِّ ۗ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا ۚ لَوْ كَانُوا يَفْقَهُونَ

Ertinya: Orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang dalam perang Tabuk) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: "Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini". Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami (al-Tawbah [9:81]).

Antara salah seorang yang tertinggal adalah Abu Khuthaymah RA. Selepas beberapa hari keberangkatan Rasulullah, beliau masih berada di Madinah. Pada waktu itu Allah menguji penduduk Madinah dengan kurma yang baru masak dan cuaca yang sangat panas.

Abu Khuthaymah melangkah masuk ke dalam kebun kurmanya dan mendapati 2 isterinya sedang menunggu dengan hidangan makanan dalam 2 bangsal berteduh yang dibina dalam kebun kurmanya. Beliau termenung sejenak pada pintu bangsal kemudian berkata dengan kesal:

رسول الله صلى الله عليه وسلم في الضح (الشمس) والريح والحر، وأبو خيثمة في ظل بارد وطعام مهيأ وامرأة حسناء، في ماله مقيم، ما هذا بالنصف (الإنصاف العدل)،
ثم قال: والله لا أدخل عريش واحدة منكما حتى ألحق برسول الله صلى الله عليه وسلم،

Ertinya: "Rasulullah SAW (sekarang ini) berada bawah matahari, tiupan angin dan bahang panas. Sedang (aku) Abu Khuthaymah pula berada dalam teduh yang nyaman, makanan terhidang, isteri yang cantik, enak pula berehat bersama hartanya. Sungguh situasi ini bukanlah sesuatu yang baik. Demi Allah! Aku tidak akan memasuki mana-mana bangsal pun sehinggalah aku bersatu dengan Rasulullah SAW."

Beliau kemudiannya bersiap sedia dan memecut untanya mengejar Rasulullah SAW. Akhirnya beliau bersatu dengan Rasulullah SAW dan tentera Muslimin di Tabuk (Sirah Ibn Hisyam).

Inilah kelebihan para sahabat, apa sahaja arahan Allah dan Rasulullah akan dipegang erat. Mereka juga berlumba-lumba melakukan yang terbaik seiring arahan Allah dan Rasulullah. Semoga ziarah Madinah untuk kita bukan sekadar cuti bulan madu dalam ibadat, tetapi menjadi ziarah iktibar untuk kita lebih bersemangat mengamalkan Islam sebagaimana kental dan kuatnya semangat para sahabat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...