Monday, October 26, 2015

TERIMA KASIH ALLAH KERANA SELAMATKAN KAMI

TERIMA KASIH ALLAH KERANA SELAMATKAN KAMI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Ahad 25 Oktober 2015, Lebuhraya Kuala Krai - Gua Musang.

Hati masih berdebar kencang. Jaraknya saya kira dalam 3 hingga 5 meter sahaja, namun Allah menyelamatkan kami. Kisahnya, selepas balik haji kami sekeluarga pulang ke Kota Bharu untuk menziarahi pusara bonda mentua kerana semasa beliau dijemput Allah pada 4 Oktober 2015 lepas, saya dan isteri masih di Mekah. 

Dalam perjalanan balik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur ketika hampir sampai bandar Gua Musang kami dikejutkan dengan kecuaian sebuah lori. Ketika mendaki bukit pada sebuah selekoh yang dikira "blind spot" lori tersebut yang datang dari arah bertentangan memotong kereta di depannya secara berbahaya. Mujur Allah gerakkan saya untuk segera menekan brek dan mengelak ke kiri berhampiran pagar jalan, lalu lori tersebut sempat melepasi kereta kami. Jaraknya sangat hampir dan sekiranya saya tidak membrek dan mengelak pasti "KAMI AKAN BERTEMBUNG SECARA BERDEPAN PADA KELAJUAN 80 KM SEJAM."

Selepas itu saya mengucap panjang, lantas segala kesyukuran dipanjatkan kepada Allah. Syukur kerana Allah selamatkan kami sekeluarga. Syukur kerana Allah gerakkan saya untuk berdoa keselamatan sebelum bertolak dari Kota Bharu. Syukur kerana Allah disiplinkan saya "membaca zikir pagi dan petang yang menjadi sebab musabab saya sekeluarga dalam perlindunganNya." Sabda Rasulullah SAW:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ .

Ertinya: Seorang hamba yang membaca doa ini sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan petang tidak akan ditimpa apa-apa mudarat: "Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudarat (bahaya dan kesusahan) bersama namaNya sesuatu apa pun baik di bumi atau (yang turun) dari langit, dan Dialah  (Allah) Yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui" (Sunan al-Tirmidhi & Sunan Abu Dawud).

Dalam hadith lain disebut:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ  مَا لَقِيتُ مِنْ عَقْرَبٍ لَدَغَتْنِي الْبَارِحَةَ ، قَالَ : ( أَمَا لَوْ قُلْتَ حِينَ أَمْسَيْتَ : أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ ، لَمْ تَضُرَّكَ ) .

Ertinya: Seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah SAW dengan katanya: "Wahai Rasulullah, alangkah sakitnya ketika aku disengat kala jengking semalam." Baginda menjawab: " Jika kamu membaca pada waktu petang (doa ini): Aku berlindung dengan Kalimah Allah yang Maha Sempurna dari segala kejahatan  makhluk, sudah pasti ia (sengatan jengking itu) tidak akan memudaratkan kamu (Sahih Muslim).

Saya merenung panjang, dalam sebuah pemanduan kemderaan ada 5 faktor utama yang mempengaruhi keselamatan iaitu (1) kemahiran pemandu, (2) keadaan kenderaan, (3) kecuaian pemandu lain, (4) keadaan cuaca dan, (5) keadaan jalan raya.

Apa yang ketara, kita sebagai manusia hanya mampu mengawal aspek kemahiran pemanduan sahaja, manakala aspek lain berada dalam luar kawalan kita. Mudahnya sesuatu yang di luar kawalan kita pastinya dipegang erat oleh ALLAH selaku TUHAN ALAM SEMESTA. Oleh itu sangat penting untuk kita senantiasa berdoa keselamatan  kepada Allah kerana  hanya Dia pelindung sebenar. Itulah intisari Tawhid yang perlu dipasak kemas dalam hati setiap orang beriman:

وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ يُصِيبُ بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Ertinya: Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (Yunus[10:107]).

Apabila berbicara soal kuasa memberi keselamatan, nabi Ya'qub AS menegaskan HANYA ALLAH SEBAIK-BAIK PENJAGA:

قَالَ هَلْ آمَنُكُمْ عَلَيْهِ إِلَّا كَمَا أَمِنْتُكُمْ عَلَىٰ أَخِيهِ مِنْ قَبْلُ ۖ فَاللَّهُ خَيْرٌ حَافِظًا ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Ertinya: Bapa mereka (Nabi Ya'qub AS) berkata: "(Jika aku lepaskan dia iaitu Bunyamin pergi bersama kamu ke Mesir untuk mengambil bekalan makanan), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya (iaitu Yusuf) dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana "ALLAH JUALAH PENJAGA YANG SEBAIK-BAIKNYA" (biarlah Allah menjaga Yusuf yang masih hilang), dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan" (Yusuf  [12:64]).

Dalam ayat Kursi yang dipanggil sebagai ayat paling agung pun Allah menegaskan kuasa menjaga seluruh alam berada pada TanganNya. Bahkan rahsia pendinding dan keselamatan pada ayat Kursi terkandung pada patah ayat ini:

وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ ۖ وَلَا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا ۚ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ

Ertinya: Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan "TIADALAH MENJADI KEBERATAN KEPADA ALLAH MENJAGA SERTA MEMELIHARA KEDUANYA." Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) (al-Baqarah [2:255]).

Jika Allah mampu menjaga makhlukNya yang sebesar langit dan bumi, maka sungguh mudah bagiNya untuk menjaga keselamatan insan kerdil seperti saya dan anda semua.

Syukur kepada Allah kerana mengutus Rasulullah SAW mengajar kita semua berbagai doa dan panduan menjaga keselamatan diri secara betul. Inilah antara intisari peranan baginda sebagai "RAHMAT" kepada seluruh alam:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ

Ertinya: Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (al-Anbiya'[21:107]).

Selepas ini, jangan dilupa mengamalkan doa dan zikir pagi serta petang yang disaran oleh baginda Rasulullah SAW. Ia bukan sahaja mengundang kasih Allah, memasak kemas Tawhid kepada Allah dan mengikat cinta kepada Rasulullah, tetapi turut memberikan keselamatan kepada kita di dunia dan di akhirat. Benar sekali firman Allah, segala amal soleh bukan tertumpah faedahnya kepada orang lain, tetapi kepada kita terlebih dahulu. Subhanallah:

مَنْ عَمِلَ صَالِحًا فَلِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ أَسَاءَ فَعَلَيْهَا ۗ وَمَا رَبُّكَ بِظَلَّامٍ لِلْعَبِيدِ

Ertinya: Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya (Fussilat [41:46]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...