Sunday, October 11, 2015

TANAH SUCI YANG MEMURAHKAN TANGISAN

TANAH SUCI YANG MEMURAHKAN TANGISAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

9 Oktober 2015 di Masjidil Haram.

Ketika melangkah masuk ke bahagian hadapan Rukun Yamani berhampiran Ka'abah, semua mata tertumpu kepada seorang lelaki Cina yang sedang tersedu sedan menangis sambil berjalan. Gaya tangisannya agak ekstrem, namun ia bukanlah tangisan pertama yang saya saksikan di Tanah Suci Mekah tetapi berkali-kali hampir di semua sudut Masjidil Haram.

Kita mungkin bertanya "apa ada dengan tangisan? Mengapa ia perlu disentuh dan dibincangkan?"

Tangisan adalah fitrah manusia. Ia hadir tanpa dipaksa. Ia datang ketika suka dan duka. Suka bersyukur atau duka bersedih. Contohnya Ubayy bin Ka'ab menangis terharu dalam syukur apabila mengetahui "namanya" disebut khusus oleh Allah:

قالَ رسُولُ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم ، لأَبِيِّ بنِ كَعْبٍ . رضي اللَّه عنه : « إِنَّ اللَّه ، عَزَّ وجَلَّ ، أَمْرَني أَنْ أَقْرَأَ علَيْكَ : لَمْ يَكُن الَّذِينَ كَفَرُوا » قَالَ : وَسَمَّاني ؟ قال : « نَعَمْ » فَبَكى أُبَيٌّ . متفقٌ عليه . وفي رواية: فَجَعَلَ أُبَيٌّ يَبْكي.

Ertinya: Rasulullah SAW berkata kepada Ubayy: "Allah Azzawajalla menyuruhku membacakan surah al-Bayyinah kepadamu." Ubayy terpegun lalu bertanya: "Adakah Allah menyebut namaku?" Rasulullah menjawab: "Ya!" Sejurus itu Ubayy terus MENANGIS (TERHARU) (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Dalam al-Quran  banyak sekali ayat menceritakan perihal tangisan positif. Antaranya tangisan Ahli kitab yang terharu dengan kebenaran janji Allah tentang kedatangan kitab al-Quran kepada nabi akhir zaman:

قُلْ آمِنُوا بِهِ أَوْ لَا تُؤْمِنُوا ۚ إِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ مِنْ قَبْلِهِ إِذَا يُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ يَخِرُّونَ لِلْأَذْقَانِ سُجَّدًا

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba dan khusyuk);(al-Isra'[17:107]).

Juga tangisan para ulama Nasrani (kristian) yang duduk bersama al-Najasyi Habsyah tatkala Ja'afar Bin Abi Talib membacakan surah Maryam kepada mereka:

وَإِذَا سَمِعُوا مَا أُنْزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَى أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُوا مِنَ الْحَقِّ يَقُولُونَ رَبَّنَا آَمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ (83) وَمَا لَنَا لَا نُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَمَا جَاءَنَا مِنَ الْحَقِّ وَنَطْمَعُ أَنْ يُدْخِلَنَا رَبُّنَا مَعَ الْقَوْمِ الصَّالِحِينَ (84)

Ertinya: Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), ENGKAU MELIHAT MATA MEREKA MENCUCURKAN AIR MATA DISEBABKAN APA YANG MEREKA KETAHUI (MELALUI KITAB MEREKA) DARI KEBENARAN (AL-QURAN), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w). "Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang yang soleh" (al-Ma’idah[5:83-84]).

Selain itu, Allah turut memuji tangisan 7 sahabat Rasulullah yang hiba kerana tidak mampu keluar berjihad bersama Rasulullah dalam perang Tabuk pada tahun ke 9 Hijri kerana kemiskinan mereka:

وَلَا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوْا وَأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا مَا يُنْفِقُونَ (92)

Ertinya: Dan tidak juga berdosa orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", MEREKA KEMBALI SEDANG MATA MEREKA MENGALIRKAN AIRMATA YANG BERCUCURAN, KERANA SEDIH bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah) (al-Tawbah[9:91-92]).

Menurut para ulama’ mereka digelar sebagai  البكّائين   iaitu orang yang sangat "KUAT MENANGIS" kerana sedih tidak dapat memenuhi seruan Allah (Tafsir Ibn Kathir, Sirah Ibn Hisyam, al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah).

Bahkan, tangisan kerana takutkan Allah berguna  menjadi "PEMADAM API NERAKA." Sabda Rasulullah:

لاَيَلِجُ النَّارَ رَجْلٌ بَكَى مِنْ خَشْيَةِ اللَّه حَتَّى يَعُودَ اللَّبَنُ في الضَّرْع وَلا يَجْتَمعُ غُبَارٌ في سَبِيلِ اللَّه ودُخانُ جَهَنَّمَ

Ertinya: Tidak akan masuk neraka lelaki (juga wanita) yang menangis kerana takutkan Allah melainkan susu (yang diperah)  kembali ke dalam kantungnya (ia suatu kiasan mustahil lelaki tersebut akan dimasukkan ke dalam neraka sebagaimana mustahil susu akan kembali ke dalam kantung asalnya). Dan debu jihad pada jalan Allah tidak akan bersatu dengan asap neraka jahanam  (Sunan al-Tirmidhi).

Orang yang menangis kerana takutkan Allah ketika menyendiri turut dijanjikan perlindungan Arasy pada hari kiamat:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لا ظِلَّ إِلا ظِلُّهُ : الإِمَامُ الْعَادِلُ وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالْمَسَاجِدِ ، وَرَجُلانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ : إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا لا تَعْلَمُ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ

Ertinya: Ada 7 golongan yang akan dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari yang tiada naungan (perlindungan) melainkan naunganNya. Mereka adalah; (1) pemimpin yang adil, (2) pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah, (3) lelaki yang hatinya terikat dengan masjid, (4) 2 lelaki yang berkasih sayang kerana Allah lalu mereka bertemu dan berpisah keranaNya, (5) lelaki yang digoda (untuk berzina oleh) wanita berpangkat lagi cantik, lalu dia menolak seraya berkata: "Aku takutkan Allah", (6) lelaki yang bersedekah lalu dia menyembunyikan sedekahnya (seolah-olah) tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan  kanannya, " (7) DAN SEORANG LELAKI  (SEMUA DI ATAS TERPAKAI JUGA UNTUK WANITA) YANG MENGINGATI ALLAH SECARA BERSENDIRIAN LALU MENGALIR AIR DARI KEDUA MATANYA (KERANA TAKUTKAN ALLAH)" (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda lagi:

عينان لا تمسهما النار عين بكت في جوف الليل من خشية الله وعين باتت تحرس في سبيل الله عز وجل خرجه الترمذي

Ertinya: Ada 2 mata yang tidak akan disentuh api neraka iaitu mata yang menangis di tengah malam kerana takutkan Allah, juga mata yang berjaga malam kerana berjuang pada jalan Allah  (Sunan al-Tirmidhi).

Selepas pulang dari Tanah Suci Mekah nanti, biarlah "suis atau sensor tangisan" takutkan Allah, sedih mengira dosa dan syukur menghitung  ni'mat dalam jiwa kita senantiasa aktif lagi sensitif. Ini kerana Allah wujud bukan hanya di Tanah Suci Mekah tapi di mana sahaja.

Bagaimana caranya mengekalkan momentum ini? Tidak lain bawalah pulang bersama segala kesolehan yang dilatih di Tanah Suci ke Tanah Air.  Jika di Tanah Suci harga air mata kita terlalu murah dan senang ditumpahkan, kekalkan ia di mana sahaja kita berada selagi hayat dikandung badan. Insya Allah ia antara petanda Haji Mabrur.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...