Thursday, October 8, 2015

MUHASABAH SELEPAS HAJI: AL-QURAN ADALAH CAHAYA DAN GERBANG UTAMA MENGENAL ALLAH

MUHASABAH SELEPAS HAJI: AL-QURAN ADALAH CAHAYA DAN GERBANG UTAMA  MENGENAL ALLAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

10 Oktober 2015 @ Makkah al-Mukarramah


“Santiago Solah Mora!”

Nama ini akan kekal dalam hati saya sehingga akhir hayat. Ia adalah nama yang mengubah sudut pandang saya tentang interaksi dengan al-Quran. Al-Quran bukan hanya baris perkataan Arab  yang dibaca kosong atau dilagukan tajwidnya,  tetapi menjadi "GERBANG UTAMA MEMBAWA MANUSIA UNTUK  MENGENAL SANG PENCIPTA."

Al-Quran juga menjadi sinar penyuluh manusia yang berada dalam kegelapan:

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحًا مِنْ أَمْرِنَا ۚ مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلَا الْإِيمَانُ وَلَٰكِنْ جَعَلْنَاهُ نُورًا نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا ۚ وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) - Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; AKAN TETAPI KAMI JADIKAN AL-QURAN: CAHAYA YANG MENERANGI, KAMI BERI PETUNJUK DENGANNYA SESIAPA YANG KAMI KEHENDAK DI ANTARA HAMBA-HAMBA KAMI. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus (al-Syura [42:52]).

Ketika kali pertama memandang nama Santiago  dalam kelas saya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, saya lantas berfikir apa agama pelajar ini. Namanya bukan nama Muslim biasa, sedang subjek al-Quran yang saya ajar adalah subjek wajib pelajar Muslim di UIAM.

Setelah bersua muka baru saya tahu beliau berasal dari Colombia dan baru 5 tahun memeluk Islam. Datuk neneknya pernah beragama Islam dari Sepanyol, namun akidah mereka terhakis dek kejatuhan Islam di tangan Kristian ratusan tahun dahulu.

Hubungan guru-pelajar antara kami terjalin erat sehingga menjadi hubungan 2 sahabat. Isterinya Hannan yang juga Muslimah Colombia mempunyai jalur cerita penerimaan Islam yang tidak kurang  menariknya. Ketika cuti semester saya membawa Santiago (nama Islamnya Abdullah), Hannan dan bayinya Rebecca Mariah ke Kelantan. Saya sempat membawanya bertemu Al-Marhum Tuan Guru Datuk Nik Aziz. Dalam musafir hampir seminggu itu, kami dapat melihat “cahaya putih Islam” bersinar terang dalam diri mereka.

Menurut Santiago, beliau menemui Islam setelah membaca al-Quran. Setahun lamanya beliau menelaah al-Quran. Selepas 6 bulan, bau arak dan babi sudah tidak enak pada hidungnya. Selepas khatam menelaah al-Quran, hatinya sudah disinari Tawhid dan Islam.

Kisah ini menjadi bukti bahawa al-Quran adalah pintu gerbang utama untuk mengenal Allah dan Islam sebagaimana firman Allah:


الر كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَى صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ

Ertinya: Alif, Laam, Raa'. "INI ADALAH KITAB (AL-QURAN) KAMI TURUNKANNYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), SUPAYA ENGKAU MENGELUARKAN UMAT MANUSIA SELURUHNYA DARI GELAP-GELITA KUFUR KEPADA CAHAYA IMAN - DENGAN IZIN TUHAN MEREKA" - ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji (Ibrahim [14:1]).

Bukan calang-calangnya cahaya al-Quran. Suluhannya mampu membimbing seseorang menjadi manusia luar biasa seperti sayyidina ‘Umar ibn al-Khattab. Firman Allah:

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ertinya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan "KAMI JADIKAN BAGINYA CAHAYA (IMAN) YANG MENERANGI (SEHINGGA DAPATLAH DIA MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH, DAN DAPATLAH) DIA BERJALAN DENGAN SULUHAN CAHAYA ITU DALAM MASYARAKAT MANUSIA," (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat) (al-An’am[6:122]).

Sebahagian ulama menyatakan lelaki yang dianugerahi cahaya mengenal Allah dalam ayat ini adalah Sayyidina ‘Umar al-Khattab à(Tafsir Ibn Kathir). Ia berlaku setelah beliau mendengar bacaan al-Quran dari surah Taha oleh adiknya Fatimah (Sirah Ibn Ishaq). 

Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW seakan menobatkan kelebihan "cahaya firasat" ini kepada Umar RA:

لَقَدْ كَانَ فِيمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ رِجَالٌ يُكَلَّمُونَ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَكُونُوا أَنْبِيَاءَ فَإِنْ يَكُنْ مِنْ أُمَّتِي مِنْهُمْ أَحَدٌ فَعُمَرُ

Ertinya: Sesungguhnya ada di kalangan umat terdahulu dari Bani Isra’il, para lelaki yang (senantiasa benar firasat dan) bicara mereka walaupun mereka bukannya para nabi. Jika ada seseorang (yang bersifat) begitu dari umatku, maka dia sudah pasti ‘Umar (Sahih al-Bukhari).

Anugerah ini diberikan kepada beliau dan para sahabat Rasulullah yang lain kerana mereka mengenal Allah melalui pintu gerbang yang benar lagi tepat iaitu al-Quran. Oleh itu, jika mahu mengenal Allah, masuklah melalui pintu yang benar. Jangan terpedaya dengan tingkap atau lubang palsu yang sering dihias cantik oleh syaitan.

Selepas pulang dari menunaikan haji, tanyalah diri sendiri sejauh mana peningkatan "darjat bacaan dan penghayatan" kita terhadap al-Quran? Adakah semangat haji mampu mengubah sesuatu dalam interaksi kita dengan al-Quran. Jika masih statik, maka kita perlu segera berbuat sesuatu demi mencapai Haji Mabrur kerana Haji Mabrur adalah antara pantulan dari sinaran cahaya al-Quran.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...