Friday, October 2, 2015

MUHASABAH HAJI: ISLAM DAN TAWHID ADALAH VISA KE SYURGA

MUHASABAH HAJI:  ISLAM DAN TAWHID ADALAH VISA KE SYURGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

30 September 2015 @ di hadapan Ka'abah.

Susah sungguh memikirkan apa barang yang perlu dibawa pulang ke Malaysia selepas selesai menunaikan haji. Senarai penerima "buah tanda" haji berjela panjangnya. Seakan jika tidak dibawa produk Mekah maka tidak sah gelaran haji atau hajah yang bakal dipakai.

Di tengah kecamuk pemikiran tentang "buah tanda fizikal" dari haji itu, sesi muhasabah selepas haji anjuran pakej ASH-HAR travel seakan satu tukul besar memecahkan segala pemikiran remeh sebegitu.

Sekali lagi Ustaz Hasyimi mengkagumkan saya. Analoginya mudah dihadam:

"Banyak bekal haji boleh dibawa pulang. Yang paling utama dan wajib dibawa pulang bukan buah tasbih, jubah, atau produk Mekah, tetapi "kesempurnaan penghayatan Islam." Kesempurnaan Islam sangat tepat dengan roh haji kerana ayat hukum terakhir yang menobatkan kesempurnaan Islam turunnya kepada Rasulullah SAW pada haji terakhir baginda."

Ayat yang dimaksudkan Ustaz Hasyimi adalah:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Ertinya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu (al-Ma'idah [5:3]).

Mengapa disibukkan sangat dengan penghayatan Islam sebagai "produk rohani Haji" yang wajib dibawa pulang, sedangkan semua tahu Islam pasti melekat dengan jemaah haji yang pulang ke negara masing-masing.

Tidak lain, ini kerana Islam seumpama "visa utama" bagi sebagai rukun utama Islam. Tanpa visa islam segala bagai ibadat tidak berguna. Bahkan tanpa visa ini, mustahil seseorang itu boleh menjejak kaki ke tanah haram. Ia diwartakan secara kekal oleh Allah berikutan turunnya ayat ini pada tahun ke 9 Hijri:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا ۚ وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ إِنْ شَاءَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, OLEH ITU JANGANLAH MEREKA MENGHAMPIRI MASJID AL-HARAAM SESUDAH TAHUN INI (TAHUN 9 HIJRI); dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (al-Tawbah [9:28]).

Semangat Tawhid dalam ibadah haji adalah tulang belakang Islam. Melepaskan Tawhid dan terlibat dengan syirik seperti meruntuhkan tiang seri Islam. Tanpa Islam dan Tawhid apalah gunanya bergelar Tuan haji atau Puan Hajah. Ingat amaran nabi Isa AS ini:

لَقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمَسِيحُ ابْنُ مَرْيَمَ ۖ وَقَالَ الْمَسِيحُ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اعْبُدُوا اللَّهَ رَبِّي وَرَبَّكُمْ ۖ إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ ۖ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

Ertinya: Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, "BAHAWASANYA SESIAPA YANG MEMPERSEKUTUKAN ALLAH DENGAN SESUATU YANG LAIN, MAKA SESUNGGUHNYA ALLAH HARAMKAN KEPADANYA SYURGA, DAN TEMPAT KEMBALINYA IALAH NERAKA"; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim" (al-Ma'idah  [5:72]).

Pendek kata tanpa Islam dan Tawhid yang tulen, usahlah mimpi mahu ke syurga kerana ia adalah "SATU-SATUNYA VISA SYURGA" yang diterima Allah. Tanpa visa tersebut, segala amalan baik kita di dunia dahulu yang bergunung nilainya langsung tidak dipandang Allah:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?

الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak (al-Kahfi [18:103-105]).

Oleh itu, segala semangat Islam yang dilatih semasa menunaikan ibadah haji di Mekah merangkumi sikap warak berhati-hati dalam bertindak, kasih sayang sesama teman jemaah haji, semangat iktikaf serta solat berjemaah di Masjid al-Haram,  semangat menghidupkan solat malam, semangat membaca al-Quran, bersedekah, berterusan berdoa dan sebagainya perlu dikekal serta dibawa sebagai "OLE-OLE TANDA ROHANI HAJI" ke tanah air.

Jika semangat ini yang dibawa, maka insya Allah visa islam, iman dan akhlak yang terangkum dalam makna "Haji Mabrur"  akan menjadi tiket kita ke syurga kelak seiring sabda Rasulullah SAW:

الْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةُ ، وَالْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا " .

Ertinya: Haji Mabrur tidak ada ganjaran selayak baginya melainkan syurga, dan antara 2 umrah itu menjadi sebab penghapus kepada (dosa kecil) antara keduanya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Semoga cahaya iman yang terpancar dalam hati kita semua semasa berada dalam keberkatan Tanah Suci Mekah akan terus bersinar seumur hidup kita walau selepas pulang ke tanah air. Inilah harapan dan doa orang yang benar-benar beriman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ يَوْمَ لَا يُخْزِي اللَّهُ النَّبِيَّ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ ۖ نُورُهُمْ يَسْعَىٰ بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وَاغْفِرْ لَنَا ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu" (al-Tahrim [66:8]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...