Thursday, October 15, 2015

KUBUR NABI ISA AS DI MADINAH?

KUBUR NABI ISA AS DI MADINAH?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

14 Oktober 2015 di Masjid Nabawi, al-Madinah al-Munawwarah.

"Sebelah kubur Rasulullah terdapat kubur Abu Bakar dan 'Umar RA, namun begitu masih ada satu ruang yang muat untuk dikebumikan seseorang. Agaknya kubur siapakah itu?"

Soalan pembimbing ASH-HAR Travel sebelum masuk menziarahi maqam Rasulullah  SAW sekejap tadi memang menimbulkan tanda tanya. Siapakah agaknya pemilik kubur itu?

Dalam sebuah riwayat yang terhenti kepada sahabat menyatakan:

عبد الله بن سلام عن أبيه عن جده قال مكتوب في التوراة صفة محمد وصفة عيسى ابن مريم يدفن معه

Ertinya: Abdullah bin Salam  (sahabat nabi yang asalnya beragama Yahudi) meriwayatkan dari ayah dan datuknya, memang tertulis dalam kitab Tawrat sifat Muhammad SAW dan sifat Isa AS. (Turut tertulis dalam Tawrat) Isa akan dikebumikan bersamanya  (Rasulullah SAW) (Sunan al-Tirmidhi).

Riwayat lain juga menyebut, nabi bersabda:

ينزل عيسى ابن مريم إلى الأرض فيتزوج ويولد له ويمكث خمسا وأربعين سنة ثم يموت فيدفن معي في قبري فأقوم أنا وعيسى ابن مريم في قبر واحد بين أبي بكر وعمر.

Ertinya: Isa bin Maryam akan turun ke bumi. Beliau nantinya akan berkahwin, mempunyai anak, tinggal selama 45 tahun di bumi dan kemudiannya akan meninggal. Maka dia akan dikebumikan bersamaku dalam kuburku.  Lalu pada hari kiamat nanti aku dan Isa bin Maryam akan dibangkitkan dari kubur yang sama antara kubur Abu Bakr dan Umar  (Ibn al-Jawzi meriwayatkannya dalam kitab al-Wafa' Fi Fadha'il al-Mustafa).

Masalah terbesar dalam isu ini adalah para ulama hadith menghukumkan riwayat berkaitan lokasi kubur nabi Isa AS sebagai hadith lemah yang tidak thabit dari nabi. Oleh itu ia langsung tidak boleh diterima sebagai hujah menyokong dakwaan tersebut.

Bagi yang mampu merujuk dalam bahasa Arab, boleh membaca pada link ini:

http://islamqa.info/ar/115840

Beginilah adab kita dengan perkara ghaib, jangan terlebih pandai dari Allah dalam perihal ghaib melainkan dengan panduan wahyu:

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ ۚ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Ertinya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) (al-Naml [27:65]).

Marilah kita imani yang jelas berdalil sahaja tentang baginda AS seperti isu-isu berikut:

1) Baginda tidak mati tetapi diangkat ke langit dan akan diturunkan pada akhir zaman:

إِذْ قَالَ اللَّهُ يَا عِيسَىٰ إِنِّي مُتَوَفِّيكَ وَرَافِعُكَ إِلَيَّ وَمُطَهِّرُكَ مِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَجَاعِلُ الَّذِينَ اتَّبَعُوكَ فَوْقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ ۖ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأَحْكُمُ بَيْنَكُمْ فِيمَا كُنْتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ

Ertinya: (Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, "DAN AKAN MENGANGKATMU KE SISIKU", dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan" (Ali 'Imran [3:55]).

Dan firman Allah:

بَلْ رَفَعَهُ اللَّهُ إِلَيْهِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا

Ertinya: Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (al-Nisa'[4:158]).

2) Baginda disifatkan sebagai sahabat Rasulullah yang masih hidup kerana memenuhi syarat penamaan sahabat iaitu orang yang bertemu dengan Rasulullah, beriman kepadanya dan mati dalam Islam. Pertemuan baginda AS dengan Rasulullah SAW di langit pada malam Isra' dan Mi'raj adalah pertemuan jasmani  (kerana baginda belum wafat). Ia melengkapkan pangkat baginda sebagai sahabat Rasulullah SAW.

3) Baginda akan turun pada akhir zaman demi janji Rasulullah SAW:

والذي نفسي بيده ليوشكن أن ينزل فيكم ابن مريم حكما عدلا فيكسر الصليب ويقتل الخنزير ويضع الجزية ويفيض المال حتى لا يقبله أحد حتى تكون السجدة الواحدة خيرا من الدنيا وما فيها ثم يقول أبو هريرة واقرءوا إن شئتم وإن من أهل الكتاب إلا ليؤمنن به..

Ertinya: Dem yang jiwaku berada pada tanganNya, memang sudah hampir Isa anak Maryam akan turun kepada kamu semua sebagai pemerintah yang adil. Maka (setelah turun) dia akan memecahkan salib  (membatalkan agama Nasrani/kristian), membunuh (budaya serta kebiasaan memakan) babi, meletakkan jizyah  (atau menerima cuma Islam - huraian Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim), harta melimpah ruah sehingga tiada siapa sudi menerimanya sehingga satu sujud menjadi jauh lebih baik dari dunia seisinya. Abu Hurayrah kemudian mengatakan: (Untuk lebih jelas) "Bacalah ayat 159 surah al-Nisa' (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Pada waktu itu semua Ahli Kitab terutama sekali orang Nasrani akan beriman kepada "KERASULAN" baginda. Firman Allah:

وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا

Ertinya: Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan dia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka (al-Nisa'[4:159]).

Terdapat 2 tafsiran pada ayat ini; 《1》semua ahli kitab akan beriman kepada kerasulan Isa dan bukan ketuhanannya sebelum Isa benar-benar wafat pada akhir zaman, 《2》 semua ahli kitab yang sedang nazak akan melihat kebenaran ketika sakaratul maut bahawa Isa adalah manusia bukan anak Tuhan seperti akidah sesat Kristian, namun kesedaran mereka ketika nazak itu sudah tidak berguna (Tafsir Ibn Kathir). Walau bagaimanapun, tafsiran pertama dipegang oleh kebanyakan Ulama' Tafsir.

Semoga ziarah maqam dan mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW tidak hanya meninggikan rasa cinta kita kepada baginda sahaja, bahkan membuka pintu hati kita untuk turut mencintai nabi Isa AS sebagai salah seorang Rasulullah dan bukannya anak Tuhan seperti kesesatan Kristian. Mereka berdua bukan bersaing tetapi saling sayang menyayangi dan kukuh mengukuh sebagaimana Isa pernah menjanjikan kedatangan Rasulullah:

وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِنْ بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ ۖ فَلَمَّا جَاءَهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ مُبِينٌ

Ertinya: Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!" (Al-Saff [61:6]).


* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...