Monday, October 19, 2015

KISAH MUBAHALAH NASRANI DAN YAHUDI DI MADINAH

KISAH MUBAHALAH NASRANI DAN YAHUDI DI MADINAH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

18 Oktober 2015 dalam Masjid Nabawi, Madinah.

"Di sinilah tempatnya cabaran Mubahalah dibuat dan direkodkan al-Quran."

Ketika asyik membaca surah Ali 'Imran dalam Masjid Nabawi, mata melewati ayat 61. Hati lantas teringat perincian peristiwa ayat ini berdasarkan pembacaan dan pengajian. Alhamdulillah Allah beri peluang merasai lokasi ayat ini diturunkan. Kisah ini jelas menunjukkan Rasulullah SAW adalah seorang nabi yang benar dan tegas dalam akidahnya. Firman Allah:

فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ

Ertinya: Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya (kemanusiaan Isa AS) sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah (cabarlah) kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta" (Ali 'Imran [3:61]).

Kisahnya, kemunculan Rasulullah SAW di Madinah menarik perhatian ramai orang yang mencari kebenaran. Antara golongan yang tertarik datang ke Madinah adalah segerombolan Nasrani dari Najran. Biadab sekali langkah mereka ketika tiba di Madinah. Melangkah masuk Masjid Nabawi lalu bersolat ke arah Timur iaitu Baytul Maqdis. Rombongan ini berjumlah 60 orang yang dianggotai 14 orang pembesar kaum mereka. Panjang sekali mereka berhujah tentang ketuhanan Isa AS, namun akhirnya mereka keliru dalam akidah yang rapuh.

Allah pun menurunkan awal surah Ali 'Imran sehingga ayat 61 menjawab segala kekeliruan mereka. Allah juga menyuruh baginda SAW mencabar mereka untuk "BERMUBAHALAH" agar jelas siapa yang benar dan siapa yang salah dalam perkara ini. Kumpulan Nasrani ini berbincang panjang dan mereka yang sedia tahu tentang kenabian Rasulullah SAW akhirnya takut untuk menyahut cabaran tersebut. Mereka memohon untuk pulang ke negeri mereka bersama seorang wakil Rasulullah yang mampu menyelesaikan masalah sesama mereka. Rasulullah kemudiannya mengarahkan Abu Ubaydah al-Jarrah mengikut rombongan ini ke Najran  (Sirah Ibn Ishaq, Sahih al-Bukhari dan Tafsir Ibn Kathir).

Mubahalah adalah suatu kaedah ekstrem dalam menentukan kebenaran antara 2 pihak bertelagah iaitu menyerahkan keputusannya kepada Allah. Biar Allah serlahkan siapa yang benar dan siapa yang salah. Yang salah pula didoakan laknat agar ditimpa bala musibah.

Itu kisah mubahalah Rasulullah SAW dengan Nasrani, rupanya mubahalah dengan Yahudi pun direkodkan al-Quran.  Mubahalah Yahudi lebih ekstrem sesuai  dengan kedegilan mereka  yang "ultra" luar biasa berikutan  kerasnya hati mereka bak batu atau lebih keras lagi:

ثُمَّ قَسَتْ قُلُوبُكُمْ مِنْ بَعْدِ ذَٰلِكَ فَهِيَ كَالْحِجَارَةِ أَوْ أَشَدُّ قَسْوَةً ۚ وَإِنَّ مِنَ الْحِجَارَةِ لَمَا يَتَفَجَّرُ مِنْهُ الْأَنْهَارُ ۚ وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَشَّقَّقُ فَيَخْرُجُ مِنْهُ الْمَاءُ ۚ وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Ertinya: Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan (al-Baqarah  [2:74]).

Mubahalah mereka bukan musibah dan bala biasa. Ia langsung cabaran melibatkan mati. Mengapa? Hanya mati yang mampu memecahkan batu dalam hati mereka, namun begitu apa gunanya bertaubat selepas mati? Walaupun tahu kebenaran Rasulullah SAW sebagaimana dijanjikan Allah dalam kitab mereka, kebencian yang membuak-buak kepada baginda langsung membutakan mata hati mereka. Mereka selalu mendakwa penuh yakin kebenaran hanya milik mereka dan Muhammad SAW adalah pendusta. Oleh itu, Allah mencabar mereka berdoa agar disegerakan mati. Sesudah mati barulah terjawab segala dakwaan iaitu yang benar pasti ke syurga dan yang sesat akan ke neraka. Firman Allah:

قُلْ إِنْ كَانَتْ لَكُمُ الدَّارُ الْآخِرَةُ عِنْدَ اللَّهِ خَالِصَةً مِنْ دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): "Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar".

وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu (al-Baqarah [2:94-95]).

Kisah kebaculan Yahudi Madinah menyahut cabaran Mubahalah mati diulang sebut dalam surah al-Jumu'ah:

قُلْ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ هَادُوا إِنْ زَعَمْتُمْ أَنَّكُمْ أَوْلِيَاءُ لِلَّهِ مِنْ دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai orang-orang yang berugama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamulah sahaja orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat manusia yang lain, maka bercita-citalah hendakkan mati (dengan meminta kepada Allah supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar!"

وَلَا يَتَمَنَّوْنَهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ ۚ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ

Dan (sudah tentu) mereka tidak akan bercita-cita hendakkan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang mereka telah lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu (al-Jumu'ah  [62:6-7]).

Sambil membaca kisah Mubahalah, mata saya memandang ke arah Rawdhah dalam masjid Nabawi. Terbayang di mata bagaimana kedegilan Nasrani Najran dan Yahudi Madinah dipatah-riuk dan diremuk-redam oleh ayat Allah. Indahnya hidup jika dapat bersama Rasulullah SAW menyaksikan semua peristiwa yang menyebabkan turunnya kalam Allah ini. Semoga kita senua dapat bersama Rasulullah SAW dan para sahabat di akhirat kelak.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...