Thursday, October 15, 2015

KISAH KEWAFATAN RASULULLAH SAW

KISAH  KEWAFATAN RASULULLAH SAW

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

14 Oktober 2015 di Masjid Nabawi, al-Madinah al-Munawwarah.

Sebak bercampur gembira. Memang ia sukar dijelaskan. Sebak kerana sedih mengenangkan Rasulullah SAW sudah pergi meninggalkan kita. Gembira pula kerana berpeluang menziarahi maqam baginda di Madinah. Apa tidaknya dalam jutaan Muslim seluruh dunia, kita direzekikan sampai ke sini.

Pemergian Rasulullah SAW sangat perit untuk diterima. Sesetengah ulama mengkategorikan "musibah agama yang pertama" menimpa umat Islam adalah kewafatan baginda kerana pemergian baginda menunjukkan wahyu sudah terputus.

Pagi ini pembimbing ASH-HAR Travel, Ustaz Rohimi membawa para jemaah menziarahi maqam Rasululllah SAW. Ketika melintas Raudhah dan maqam baginda SAW, hati teringat kisah kewafatan baginda yang direkodkan oleh para ulama' hadith.

Rupanya keperitan menelan hakikat Rasulullah SAW sudah wafat memang berlaku. Mujur Abu Bakar RA bijak menasihati para sahabat dengan tutur katanya yang penuh bijaksana:

أَمَّا بَعْدُ ، فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ ، وَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ يَعْبُدُ اللَّهَ ، فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لَا يَمُوت

Ertinya: Adapun sesiapa yang menyembah Muhammad SAW, maka sesungguhnya Muhammad sudah wafat. (Akan tetapi) sesiapa yang menyembah Allah maka Allah senantiasa hidup dan tidak akan mati (Sahih al-Bukhari).

Abu Bakar RA kemudiannya membacakan sepotong ayat:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu) (Ali 'Imran [3:144]).

Bagai menyimbah air ke wajah orang yang sedang bermimpi, para sahabat seperti Umar bin al-Khattab RA lantas segera sedar. Memang cinta kepada baginda sangat mendalam, namun hidup perlu diteruskan. Islam perlu ditegakkan walaupun baginda sudah pergi buat selamanya.

Ketika berbicara tentang kewafatan Rasulullah SAW, penting juga diperbetulkan kesilapan maklumat ramai orang Melayu berkaitan lafaz terakhir baginda sebelum dijemput Allah.

“BUKAN UMMATI-UMMATI!”

Ramai yang akan “berkerut kening” apabila penafian ini dibuat. Seakan kenyataan ini sangat menongkah arus atau datangnya dari Muslim yang nipis cintanya kepada Rasulullah SAW. Biarlah hadith riwayat Aisyah RA ini berbicara mengejutkan lamunan khayalan sesetengah kita:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ صَحِيحٌ يَقُولُ إِنَّهُ لَمْ يُقْبَضْ نَبِيٌّ قَطُّ حَتَّى يَرَى مَقْعَدَهُ مِنْ الْجَنَّةِ ثُمَّ يُحَيَّا أَوْ يُخَيَّرَ فَلَمَّا اشْتَكَى وَحَضَرَهُ الْقَبْضُ وَرَأْسُهُ عَلَى فَخِذِ عَائِشَةَ غُشِيَ عَلَيْهِ فَلَمَّا أَفَاقَ شَخَصَ بَصَرُهُ نَحْوَ سَقْفِ الْبَيْتِ ثُمَّ قَالَ اللَّهُمَّ فِي الرَّفِيقِ الْأَعْلَى

Ertinya: Baginda Rasululllah SAW ketika masih sihat pernah berkata: Para nabi tidak diambil nyawanya sehinggalah dia melihat kedudukannya dalam syurga kemudian dia (nabi tersebut) akan diberikan pilihan. Apabila Rasulullah SAW sedang sakit yang membawa kepada kewafatannya sedang kepala baginda SAW berada atas paha Aisyah baginda pitam. Apabila tersedar baginda SAW membeliakkan matanya ke arah bumbung rumah kemudian berkata: "YA ALLAH! KEPANGKUAN YANG TERTINGGI" (Sahih al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat lain antara lafaz terakhir baginda SAW sebelum wafat adalah:

مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنْ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ

Ertinya: (Aku ingin ditempatkan) bersama orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu para nabi, dan orang Siddiqiin, dan orang yang mati Syahid, “SERTA ORANG YANG SOLEH” (al-Nisa’[4:69]) (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan kedua lafaz tersebut dapat disimpulkan bahawa ketika hampir wafat, baginda Rasulullah SAW telah “membuat pilihan untuk kembali ke pangkuan yang tertinggi di sisi Allah.” Destinasi “الرفيق الأعلى” iaitu ke “PANGKUAN TERTINGGI” adalah lokasi tertinggi selepas kematian yang menempatkan roh manusia pilihan seperti para nabi, syuhada’ dan orang soleh.
Bukan semua mampu atau layak ke sini, namun ia tidak mustahil dicapai.

Murnikan cinta kita kepada Rasulullah SAW dengan maklumat yang betul kerana ia adalah inti ajaran baginda. Semoga penerimaan maklumat yang sahih mengenai agama ini bertunjangkan al-Quran dan Sunnah yang Sahih menjadikan cinta kita kepada Rasulullah  SAW sebagai cinta sejati dan bukan cinta plastik yang palsu.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...