Saturday, October 17, 2015

POSTMORTEM UHUD: DUNIA ADALAH UJIAN SEMUA MANUSIA

POSTMORTERM UHUD: DUNIA ADALAH UJIAN SEMUA MANUSIA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Khamis 15 Oktober 2015 di Medan Uhud, Madinah.

"Ambillah pelajaran dan jangan jadikan ia bahan celaan!"

Kisah kesilapan para sahabat dalam perang Uhud seharusnya menjadi tauladan kepada kita dan bukannya bahan celaan seperti lancangnya lidah orang Syiah. Pada kekalahan itu ada 2 pelajaran berharga untuk semua umat Islam walaupun mereka datang dari zaman dan tempat berbeza iaitu; (1) arahan ketua jangan diengkari dan (2) godaan dunia umpama peluru yang boleh  meluru menembak sesiapa sahaja.

Rasulullah SAW adalah kemuncak pemimpin dunia. Kepimpinan baginda mendapat tauliah terus dari Allah. Gagal mematuhi arahan baginda mengundang padah sebagaimana firman Allah:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ertinya: Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar (al-Anfal [8:46]).

Walau perit untuk diterima, ancaman kilauan dunia memang menjadi punca kekalahan umat Islam dalam perang Uhud. Ia disebut jelas oleh Allah:

وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُمْ بِإِذْنِهِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الْأَمْرِ وَعَصَيْتُمْ مِنْ بَعْدِ مَا أَرَاكُمْ مَا تُحِبُّونَ ۚ مِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنْكُمْ مَنْ يُرِيدُ الْآخِرَةَ ۚ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ ۖ وَلَقَدْ عَفَا عَنْكُمْ ۗ وَاللَّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ

Ertinya: Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, "SERTA KAMU PULA MENDERHAKA (MELANGGAR PERINTAH RASULULLAH) SESUDAH ALLAH PERLIHATKAN KEPADA KAMU AKAN APA YANG KAMU SUKAI (KEMENANGAN DAN HARTA RAMPASAN PERANG). DI ANTARA KAMU ADA YANG MENGHENDAKI KEUNTUNGAN DUNIA SEMATA-MATA", dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman (Ali 'Imran  [3:152]).

Rupanya ancaman dunia kepada iman manusia adalah ancaman purba sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ, وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا, فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ؟ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا, وَاتَّقُوا النِّسَاءَ, فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ, كَانَتْ فِي النِّسَاءِ

Ertinya: Sesungguhnya dunia ini manis lagi hijau (menarik perhatian sifatnya), dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu pemimpin di bumi lalu Dia memerhatikan bagaimana tingkah laku kamu (dalam berhadapan dengan godaan dunia). Oleh itu beringatlah kamu akan ujian dunia dan wanita, kerana sesungguhnya fitnah (ujian) pertama (yang merosakkan) Bani Isra'il adalah ujian wanita (Sahih Muslim dan Sunan al-Tirmidhi).

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW menggambarkan betapa jijiknya dunia melalui sabda baginda:

وعن جابرٍ ، رضِيَ اللَّه عنهُ أَنَّ رسولَ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم مَرَّ بِالسُّوقِ وَالنَّاسُ كتفَيْهِ ، فَمَرَّ بِجَدْيٍ أَسَكَّ مَيِّتٍ ، فَتَنَاوَلَهُ ، فَأَخَذَ بَأُذُنِهِ ، ثُمَّ قال : « أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ هَذَا لَهُ بِدِرْهَمٍ؟» فَقالوا : مَا نُحِبُّ أَنَّهُ لَنَا بِشَيْءٍ ، وَمَا نَصْنَعُ بِهِ ؟ ثم قال : « أَتُحِبُّونَ أَنَّهُ لَكُمْ؟ قَالُوا : وَاللَّه لَوْ كَانَ حَيًّا كَانَ عَيْباً ، إِنَّهُ أَسَكُّ . فكَيْفَ وَهو مَيَّتٌ ، فقال : « فَوَ اللَّه للدُّنْيَا أَهْونُ عَلى اللَّه مِنْ هذا عَلَيْكُمْ »

Ertinya: Jabir RA menceritakan Rasulullah SAW pernah melalui sebuah pasar ketika orang ramai berada di sekelilingnya. Pada waktu itu baginda melintasi seekor bangkai kambing yang cacat (kecil dan terpotong telinganya). Bangkai kambing itu dibawa kepada Rasulullah, lalu baginda memegang telinganya seraya berkata: "Ada atau tidak di antara kamu yang sanggup membayar bangkai ini dengan harga 1 dirham?" Para sahabat menjawab: "Kami langsung tidak mahu (membayar) bangkai ini. Jika kami ambil sekalipun apa yang kami mahu buat dengannya." Rasulullah menyambung lagi: "Mahukah kamu jika bangkai ini diberikan (secara percuma) kepada kamu?" Para sahabat menjawab: "Demi Allah, jika ia hidup sekalipun (kami pasti menolak kerana) telinganya cacat. Apatah lagi jika ia sudah menjadi bangkai." Rasulullah SAW pun menyambung: "DEMI ALLAH! DUNIA INI JAUH LEBIH HINA BERBANDING BANGKAI INI UNTUK KAMU (Sahih Muslim).

Lalu apa yang harus dilakukan demi menjamin keselamatan akhirat?  Buang dunia sepenuhnya? Tidak! Dunia adalah keperluan manusia. Tanpa dunia mustahil kita sampai ke akhirat dengan jaya, cuma jangan sampai kilauan dunia menutup destinasi akhirat:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِنْ كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Ertinya: "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan " (al-Qasas  [28:77]).

Jika manusia sehebat para sahabat pun boleh tergelincir seketika dari mematuhi arahan Rasulullah SAW (agar kekal atas bukit pemanah dalam perang Uhud) kerana kilauan dunia, kita umat akhir zaman yang serba lalai perlu lebih berhati-hati dengan kilauan dunia.  Pandang ia sebagai alat dan bukan matlamat, insya Allah iman kita akan selamat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...