Tuesday, October 13, 2015

BAHAYA KESESATAN DAN KEGELAPAN JIWA DISULUH TERANG OLEH AL-SUDAYSI

BAHAYA KESESATAN DAN KEGELAPAN JIWA DISULUH TERANG OLEH AL-SUDAYSI

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Maghrib 11 Oktober 2015 di hadapan Ka'abah, Masjidil Haram.

Terubat rindu dan sungguh beruntung rasanya petang hari ini dapat mendengar bacaan Syeikh Dr. Abdul Rahman al-Sudaysi, salah seorang imam lagenda Masjidil Haram.  Jumaat lepas beliau membaca khutbah dan mengimamkan solat Jumaat di Masjidil Haram, tapi pendek sahaja bacaannya. Cuma surah al-'Asr dan surah al-Nasr. Bagi saya pemilihan beliau untuk membaca 2 surah tersebut pada Jumaat lepas menunjukkan kefaqihannya kerana beliau tahu ada jemaah sedang berpanas di luar masjid.

Segar lagi dalam ingatan kira-kira 20 tahun lepas (1993-1996) semasa kami belajar di Tahfiz Darul Quran JAKIM, lenggok suara beliau menjadi ikutan ramai pelajar Tahfiz di seluruh Malaysia. Pelajar yang berjaya menciplak lenggok cara bacaan beliau akan menjadi pilihan untuk mengimamkan solat kami.

Begitulah kehebatan Allah, manusia dianugerahi berbagai cara untuk menyentuh hati manusia. Al-Sudaysi dimuliakan Allah kerana suaranya. Legasi beliau itu akan kekal dalam sejarah umat Islam, bagaimana seorang imam Masjidil Haram pernah menjadi fenomena bacaan al-Quran seluruh dunia. Legasi itu pasti menjadi pahala berterusan untuk beliau kerana berjuta ramainya yang mendapat inspirasi membaca al-Quran kerananya. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Ertinya: Sesiapa yang merintis dalam Islam satu amalan yang baik, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya pahala seperti pahala orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka itu. Dan sesiapa yang merintis dalam islam satu amalan yang buruk, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun dosa mereka itu (Sahih Muslim).

Pada maghrib hari ini beliau berjaya menjentik hati saya tentang bahayanya "KEGELAPAN JIWA ATAU KESESATAN MANUSIA" yang menolak agama. Firman Allah:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاءً حَتَّىٰ إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ ۗ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Ertinya: Dan orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.

أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ سَحَابٌ ۚ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا ۗ وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ

Atau (orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar) (al-Nur [24:39-40]).

Ayat ini memiliki nilai metafora yang sangat tinggi tentang kepentingan Islam sebagai cahaya pembimbing manusia. Tanpa cahaya Islam, manusia akan terus tenggelam dalam kegelapan seumpama kegelapan dasar lautan. Tanpa cahaya Islam, tiada bezanya manusia dengan haiwan yang fikirnya cuma tembolok perut.

Sesetengah pengkaji menyebut ayat ini mengandungi fakta saintifik tentang kegelapan dasar lautan yang disebut abysssopelagic, bathypelagic dan  mesopelagic. Tambah menarik apabila diketahui umum bahawa Rasulullah SAW hidupnya di padang pasir dan bukannya di tepi laut yang memungkinkan beliau  mengetahui perihal ilmu lautan. Tidak lain, al-Quran ini bukan rekaan Rasulullah tetapi datangnya dari Allah pencipta lautan dan daratan.

Tapi perlu diingat, al-Quran bukanlah sebuah buku sains tetapi sebuah kitab petunjuk manusia ke jalan kebenaran. Kadangkala al-Quran menyinggung perhatian manusia kepada beberapa fakta saintifik untuk menunjukkan bahawa alam ini ada Penciptanya yang wajib disembah.

Selepas ini, jangan hanya berfikir untuk menyimpan longgokan harta untuk generasi anak cucu, sebaliknya simpanlah himpunan pahala dan legasi bermanafaat yang pastinya lebih kekal dan berharga. Jika al-Sudaysi ada legasi suaranya, carilah legasi kita untuk ummah.  Kita boleh menyumbang dalam apa sahaja bidang yang diceburi asal ia baik dan berguna. Paling kurang pun, walau hanya dengan sebatang pokok sebagaimana sabda nabi:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ

Ertinya: Tiada muslim yang menabur benih atau menanam tanaman, lalu pokoknya itu dimakan burung atau manusia atau binatang liar melainkan ia menjadi sedekah baginya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Jika tidak mampu sekalipun melakar legasi untuk ummah sehebat tokoh lain, semailah ia pada anak-anak kita agar mereka menjadi anak soleh yang kemudiannya menyambung legasi kita:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ
وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Ertinya: Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (yang senantiasa berjalan pahalanya), ilmu yng diambil manafaat daripadanya atau anak soleh yang senantiasa mendoakannya (Sahih Muslim).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...