Friday, October 16, 2015

AHLI MASJID QUBA' DIPUJI KERANA KEBERSIHAN MEREKA YANG LUAR BIASA

AHLI MASJID QUBA' DIPUJI KERANA KEBERSIHAN MEREKA YANG LUAR BIASA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

15 Oktober 2015 di Masjid Quba'.

Sungguh istimewa Masjid ini! Rasulullah SAW sangat mencintainya dan selalu datang ke sini setiap hari Sabtu sama ada berjalan kaki atau menunggang kenderaan (Sahih Al-Bukhari).

Hari ini kami datang menziarahi Masjid Quba' iaitu masjid terawal dibina Rasulullah SAW di Madinah. Ganjaran solat di Masjid ini sangat besar sebagaimana janji Rasulullah SAW:

من خرج حتى يأتي هذا المسجد مسجد قباء فيصلي كان كعدل عمرة

Ertinya: Sesiapa yang keluar dari rumahnya  (lalu) mendatangi Masjid Quba' dan bersolat padanya, (pahalanya) sama seperti (mengerjakan) satu umrah (Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim).

Lantas saya teringat sebuah kisah mengenai jemaah Masjid ini. Pada suatu hari Rasulullah SAW terpegun dengan pujian Allah secara khusus kepada mereka. Lantas segera dihantar wakil bertanya kepada jemaah Masjid Quba' apa rahsia amalan mereka sehingga mengundang pujian Allah dalam ayat ini?

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Ertinya: Jangan engkau sembahyang di masjid itu (Masjid Dhirar yang dibina orang munafik) selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. DALAM MASJID ITU ADA ORANG LELAKI YANG SUKA (MENGAMBIL BERAT) MEMBERSIHKAN (MENSUCIKAN) DIRINYA; DAN ALLAH MENGASIHI ORANG YANG MEMBERSIHKAN DIRI MEREKA (ZAHIR DAN BATIN) (al-Tawbah [9:108]).

Rupanya mereka akan membersihkan kemaluan dan tempat menunaikan hajat "DENGAN AIR" setiap kali selesai menunaikan hajat (Musnad Ahmad & Tafsir Ibn Kathir).

Subhanallah! Nampak remeh sahaja iaitu benar-benar memastikan kebersihan diri "DENGAN MENGGUNAKAN AIR" selepas menunaikan hajat, namun prinsip kebersihan dalam kisah ini sangat penting sehingga mengundang pujian khusus dari Allah. Tambah hebat, kisah mereka yang "PEMBERSIH" menjadi pujian kekal dalam al-Quran lalu diulang baca dan ditatap semua manusia sehingga kiamat.

Ringkasnya boleh dikatakan Allah sangat cintakan kebersihan:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْمَحِيضِ ۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَاعْتَزِلُوا النِّسَاءَ فِي الْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ ۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ اللَّهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Ertinya: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SESUNGGUHNYA ALLAH MENGASIHI ORANG YANG BANYAK BERTAUBAT, DAN MENGASIHI ORANG YANG SENTIASA MENSUCIKAN DIRI (al-Baqarah [2:222]).

Islam mengutamakan kebersihan zahir dan batin. Jika suci zahir dibasuh dengan sabun kimia, suci batin pula dicapai dengan "sabun taubat."

Bicara tentang suci zahir tidak berhenti di situ, tidak sempurna bersih selepas kencing boleh mengundang azab kubur! Ngerinya! Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama para sahabatnya melewati sebuah kubur, lalu baginda berkata:

  يُعَذَّبَانِ ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ ، ثُمَّ قَالَ : بَلَى ، كَانَ أَحَدُهُمَا لا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ ، وَكَانَ الآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ

Ertinya: Mereka berdua (dalam kubur ini) sedang diazab, dan sebab mereka diazab bukanlah (kerana jenayah yang) besar pun. Rasulullah kemudiannya berkata: Sebenarnya ia memang dosa yang besar; seorang dari mereka kencing secara terbuka. (Dalam riwayat lain disebut) "DIA DIAZAB KERANA TIDAK BENAR-BENAR BERSIH DARI KENCINGNYA. Manakala yang seorang lagi diazab kerana berjalan dengan umpatan  (melaga-lagakan orang) (Sahih al-Bukhari & Sunan al-Nasa'i).

Setelah mendengar kisah ini, kita patut bertanya: bagaimana pula standard masjid di Malaysia? Atau lebih tepat bagaimanakah standard pemikiran Muslim Malaysia tentang peri pentingnya menjaga kebersihan?

Sewajibnya semua masjid di dunia (termasuklah Malaysia) mempunyai darjat 5 bintang dalam aspek kebersihan bertepatan dengan kisah ini. Bahkan semasa Allah mengarahkan pembinaan Ka'abah, ia diikat terus dengan kewajipan kebersihan fizikal dan rohani:

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ مَثَابَةً لِلنَّاسِ وَأَمْنًا وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. DAN KAMI PERINTAHKAN KEPADA NABI IBRAHIM DAN NABI ISMAIL (DENGAN BERFIRMAN): "BERSIHKANLAH RUMAHKU (KAABAH DAN MASJID AL-HARAAM DARI SEGALA PERKARA YANG DILARANG) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud" (al-Baqarah  [2:125]).

Masjdil Haram adalah masjid induk untuk umat Islam dan hukum berkaitan kebersihannya terpakai sama untuk  semua masjid di seluruh dunia. Oleh itu, jangan lagi ada kesangsian tentang wajibnya menjaga kebersihan masjid. Ingat masjid, terus hati menjadi tenang dengan kebersihannya.

Kepada pengurusan Masjid, lebihkan peruntukan untuk tandas Masjid. Biar ia harum, suci dan boleh digunakan tanpa was-was kerana kotoran dari Masjid bakal menjejaskan ibadah lain. Biar ia bertaraf tandas 5 bintang. Kalau perlu letakkan poster adab masuk ke tandas pada bahagian luar tandas bersama ayat dan hadithnya kerana ia mencerminkan kesempurnaan Islam. Nanti pengunjungnya berkata:

"Untung sekali mengunjung tandas masjid ini, hajat dapat dilepas dalam suasana yang bersih, ilmu Islam pun dapat."

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...