Tuesday, September 1, 2015

POLITIK SEPERTI API?

POLITIK SEPERTI API?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Politik adalah sebahagian Islam. Tanpa politik mustahil Islam boleh sampai kepada kita hari ini. Rasulullah SAW adalah ahli politik terbaik. Islam tersebar di Madinah kerana kebijaksanaan politik baginda. Al-Marhum Tuan Guru Nik Aziz pernah sebut politik memayungi semua.

Benar dan betul fungsi politik apabila berada pada tangan manusia SOLEH dan MAMPU. Inilah penegasan anak perempuan lelaki Soleh di Madyan dalam kisah pelarian nabi Musa:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia (nabi Musa AS) menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah ORANG YANG KUAT (MAMPU BERKHIDMAT DENGAN JAYA) lagi AMANAH" (al-Qasas [28:26]).

Firasat dalam lagi benar inilah yang mengundang pujian Abdullah Ibn Mas'ud ketika beliau mengulas kisah ayat ini:

أفرس الناس ثلاثة: أبو بكر حين تفرس في عمر وصاحب يوسف حين قال أكرمي مثواه وصاحبة موسى حين قالت: "يا أبت استأجره إن خير من استأجرت القوى الأمين".

Ertinya: Manusia yang benar firasatnya ada 3 orang iaitu; Abu Bakar RA apabila beliau melihat penggantinya yang paling sesuai adalah Umar RA, juga  (Aziz Mesir) ketika beliau (membeli Yusuf dan) berkata kepada isterinya: "Muliakan kedudukannya  (Yusuf [12:21]), dan wanita kisah nabi Musa dalam ayat al-Qasas itu (Tafsir Ibn Kathir).

Politik saya umpamakan seperti api. Ia berguna untuk banyak benda, namun jika disalah urus ia bakal membawa PEMUSNAHAN YANG LUAR BIASA.

Negara boleh runtuh, hak rakyat dibaham buas dengan berbagai helah licik, kerakusan pemimpin hilang akal terpaksa ditanggung rakyat tak bersalah, agama menjadi tunggangan, halal menjadi haram,  haram menjadi halal, silaturahim boleh diputuskan, caci maki menjadi senjata dan banyak lagi.
Ayat al-Quran diabaikan demi mengejek lawan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَىٰ أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim (al-Hujurat [49:11]).

Kuasa dan medium politik adalah amanah yang bakal disoal di akhirat kelak. Sebelum mahu menghambur nista, mengejek sinis, memasang jerat, menyebar persepsi ingatlah bahawa SEMUANYA DIREKOD OLEH CCTV ALLAH. Jadikan ia sebab mendapat tiket ke syurga bukan musibah ke lubang neraka:

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ

Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah kirinya.

مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya) (Qaf [50:17-18]).

Ya Allah! Selamatkan Malaysia dari API POLITIK yang sukar dikawal MARAKNYA tanpa sifat Soleh.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...