Monday, September 28, 2015

NASIHAT USTAZ PAHROL DARI ATAS BUMBUNG MASJIDIL HARAM

NASIHAT USTAZ PAHROL DARI ATAS BUMBUNG MASJIDIL HARAM

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

27 September 2015/13 Zulhijjah 1436 @ Masjidil Haram.

Saya menolak perkataan "kebetulan" kerana perkataan itu tidak sesuai dengan kehebatan ilmu pengetahuan Allah yang sudah mengatur perjalanan alam jauh sebelum alam ini muncul. Apatah lagi ia tidak seiring dengan ayat ini:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Ertinya: Tidak ada sesuatu (perkara atau) kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah (al-Hadid [57:22]).

Petang ini sejam sebelum Maghrib, saya bergegas ke Masjidil Haram mahu mengejar solat maghrib berjemaah. Pintu ke laluan Kaabah ditutup kerana sudah penuh berisi. Pihak pengurusan Masjidil Haram mengarahkan kami ke laluan eskalator terus ke bumbung Masjid. Ketika melangkah mencari ruang, saya disapa seseorang.

"Masya Allah! Ustaz Pahrol Muhd Juoi, MAHAGURU PENULISAN KREATIF rupanya."

Ustaz Pahrol adalah seorang penulis  lagenda yang bertugas di Syarikat penerbitan Telaga Biru. Tulisannya halus membuai jiwa. Dalam halus ada teguran mesra yang mudah dihadam. Saya boleh katakan beliau memang dianugerahi "HIKMAH/KEBIJAKSANAAN" dalam tutur katanya dan dalam arena penulisan.

Saya yakin sepenuh hati bahawa pertemuan ini bukan kebetulan, tetapi takdir Allah semenjak azali yang mahu saya duduk dan BELAJAR SESUATU dari beliau. Tanpa berlengah saya dan isteri mengambil tempat di sebelahnya. Dengan malu saya meminta teguran dan nasihat dari beliau.

Beliau berkata: "Tak mengapa Ustaz Abdullah, memang kita meminta dari manusia hanya 2. DOA dan NASIHAT."

Antara nasihat emas darinya yang sempat saya kutip adalah:

- Menulis biar dari rasa. Apa yang dirasa kita terus tulis. Bahasa atau ayat? Biar rasa mencari kata bukan kata mencari rasa. Contohnya manusia yang mabuk bercinta, rasa cinta datang dahulu. Bila hati sudah cinta perkataan indah pasti menjengah.

- Ketika mengatur ayat dari rasa, jangan sibuk mencari kesempurnaan tatabahasa. Ia membantutkan rasa. Tulis dahulu, kemudian semaklah tatabahasanya.

- Dalam menulis usah dikejar gelaran BESTSELLER secara angka. Contohilah Dr.  A'idh al-Qarni penulis buku bestseller  "LA TAHZAN", katanya: "Bestseller bagiku adalah cukup dengan para pembaca mendapat hidayah dari tulisanku lalu dia MENDOAKAN AKU."

- Penulis perlu sayangkan sasaran dakwah atau pembaca. Jika mahu menggunakan kaedah "dakwah sentap" sekalipun, sulamilah ia dengan kasih sayang kerana itu adalah arahan Allah kepada Nabi Musa AS ketika beliau dihantar berhadapan dengan FIR'AWN yang paling jahat:

اذْهَبَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَىٰ

"Pergilah kamu berdua (Wahai Musa dan Harun) kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَىٰ

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, DENGAN KATA-KATA YANG LEMAH-LEMBUT, SEMOGA DIA BERINGAT ATAU TAKUT" (Taha [20:43-44]).

- Jangan DIPERSALAHKAN pembaca, sebaliknya susunlah ayat agar pembaca BERASA BERSALAH. Seni ini adalah contoh kasih sayang dalam penulisan.


- Dalam penulisan perlu diterapkan 3 kaedah TAKHALLI  (mengosongkan atau menafikan salah faham), TAHALLI  (menghias kata dengan halus agar pembaca tidak rasa dipersalahkan) dan TAJALLI (menjelaskan fakta yang sebenar). Gabungan ketiga kaedah ini mampu menyedarkan pembaca yang sudah sekian lama berpegang pada fahaman yang salah.

- Perlu sabar dalam penulisan. Bayangkan kesukaran mendidik diri sendiri dalam kesukaran mendidik pembaca. Jika kita perlu masa yang panjang untuk berubah, maka para pembaca juga tak mungkin berubah hanya selepas sekali membaca tulisan kita.

- Penulisan adalah dakwah. Mulai dengan BASMALAH. Jika kita terhenti atau kematian idea, banyakkan istighfar serta sedekah kerana mungkin dosa kita yang membantutkan kelancaran ilham anugerah Allah. Pohon kepada Allah agar dilimpahi idea bernas kerana penulisan kita mungkin menjadi lorong yang membawa kepada perubahan seseorang.

- Antara kerisauan Ustaz Pahrol kepada ramai ustaz muda yang popular atau berstatus selebriti adalah mereka ini disanjung pada usia muda sebelum sempat merasai pahitnya mujahadah dalam perjuangan. Akibatnya ilmu yang disampai belum tentu pembuktiannya atau sukar menusuk hati. Beliau mengimbau banyak kepahitan ketika bermujahadah dalam dakwah bersama jemaah al-Arqam dahulu.

Sebelum berpisah, beliau mengakui banyak merujuk nota Tafsir saya kerana ia agak mudah dihadam oleh orang awam. Beliau menyimpulkan nasihat 20 minit itu dengan kata kunci "SAYANGILAH SASARAN DAKWAH ATAU KELOMPOK PEMBACA KITA."

Alhamdulillah kerana diberi kesempatan oleh Allah menemui manusia hebat seperti beliau. Nasihat yang beliau kongsi itu sebenarnya bukan berdurasi 20 minit, TETAPI IA ADALAH HIMPUNAN HIKMAH BELIAU YANG BERUSIA 40 TAHUN DALAM DUNIA DAKWAH PENULISAN.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...