Thursday, September 3, 2015

BENARKAH AL-QURAN ITU PENAWAR?

BENARKAH AL-QURAN ITU PENAWAR?

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.


“Ada Ustaz menyebut Al-Quran itu penawar kepada semua sakit! Tapi kenapa bila saya baca ayat Syifa’ untuk sakit gout di kaki saya, tetap tidak sembuh? Masih berdenyut-denyut? Kenapa ini berlaku sedangkan al-Quran itu mukjizat. Sama ada Ustaz berbohong atau al-Quran itu bukan penawar sakit saya?”


Itu antara soalan “maut” yang pernah didengar dari orang awam. Sesetengah Ustaz yang berkata demikian tidak bercakap kosong tetapi merujuk kepada banyak ayat antaranya:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Ertinya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur “DARI AL-QURAN AYAT-AYAT SUCI YANG MENJADI UBAT PENAWAR DAN RAHMAT BAGI ORANG-ORANG YANG BERIMAN KEPADANYA;” dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua: (al-Isra’ [17:82]).


Perkara sama turut di sebut dalam surah Fussilat [41:44]). Al-Quran itu benar dan pasti. Tapi kenapa sakitnya tidak sembuh? Pasti ada sesuatu yang tak kena. Sebarang ayat yang mengatakan al-Quran sebagai penawar “PERLU DIBACA BERSAMA” ayat ini:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

Ertinya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu “AL-QURAN YANG MENJADI NASIHAT PENGAJARAN DARI TUHAN KAMU, DAN YANG MENJADI PENAWAR BAGI PENYAKIT-PENYAKIT BATIN YANG ADA DALAM DADA (HATI) KAMU,” dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)" (Yunus [10:57-58]).

Rupanya maksud PENAWAR AL-QURAN BUKAN MERUJUK KEPADA SAKIT FIZIKAL TETAPI SAKIT BATIN ATAU JIWA. Imam ibn Kathir menegaskan maksud al-Quran sebagai penawar:

يذهب ما في القلوب من أمراض، من شك ونفاق، وشرك وزيغ وميل، فالقرآن يشفي من ذلك كله

Ertinya: (al-Quran itu) menghilangkan segala macam penyakit dalam hati, yang terdiri dari syak wasangka, kemunafikan, syirik, sesat dan bengkok (dari kebenaran). Maka al-Quran (merawat dan) menyembuhkan dari semua (penyakit hati itu) keseluruhannya (Tafsir Ibn Kathir).

Contoh mudah memahami bagaimana al-Quran boleh menjadi “ubat” penyakit hati adalah:

1) Pengumpat tegar yang memerhati ancaman azab bagi dosa lidah dalam al-Quran (al-Hujurat [49:12]) dan (al-Humazah[104:1-9]) akan berasa gerun dan berfikir panjang sebelum mengumpat. Kegerunan itu mendorongnya berhenti dari mengumpat, maka hatinya yang kotor lama kelamaan akan “DIRAWAT OLEH PEMBACAAN DAN PENGHAYATAN AL-QURAN.”

2) Manusia yang menyembah berbagai berhala dan tangkal akan insaf berfikir dengan waras setelah memahami logik Allah dalam al-Quran betapa segala macam makhluk selain Allah tak mampu membawa manafaat atau mudarat kepada penyembahnya. Dengan logik itu, hatinya yang bergelumang dengan najis syirik “AKAN DIRAWAT OLEH PEMBACAAN DAN PENGHAYATAN AL-QURAN.”

Pun begitu, tak boleh dinafi al-Quran juga mampu mengubati sakit fizikal seperti kisah jampian pengubat sengatan binatang berbisa oleh seorang sahabat Rasulullah SAW hanya dengan menggunakan surah al-Fatihah (Sahih al-Bukhari).

Kesimpulannya, kuasa penyembuhan jampian al-Quran bergantung kepada kualiti iman pembacanya.  Al-Quran seumpama sebilah pedang pada tangan seorang pendekar. Pendekar yang “HANDAL BERKUALITI DENGAN PEDANGNYA” mampu mengalahkan seramai mana pun musuh yang datang. Jika pendekar palsu memegang pedang, mungkin pedangnya bakal menikam diri, jauh sekali mahu mengalahkan musuh.

Oleh itu, si pendekar perlu "selalu berlatih dan yakin dengan kemampuan pedangnya barulah pedang menjadi senjata berguna pada tangannya".

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...