Sunday, August 30, 2015

MISTERI SILATURAHIM YANG ALLAH SIMPAN UNTUK KITA

MISTERI SILATURAHIM YANG ALLAH SIMPAN UNTUK KITA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Banyak sungguh pantangnya. Sayuran, buahan dan air putih antara ni'mat yang langsung ditarik Allah setelah menghidap sakit buah pinggang.  Itulah realiti pahit lagi perit yang saya alami apabila dikesan  menderita sakit buah pinggang sejak tahun 2001.

Pada tahun 2008 saya mulai menjalani rawatan cuci darah kaedah CAPD atau cuci darah menggunakan air. Rawatannya 4 kali sehari setiap 6 jam.

Sebelum menjalani rawatan cuci darah,  pihak doktor meminta saya mencari di kalangan ahli keluarga siapa yang sedia menderma buah pinggang. Orang pertama menawarkan diri adalah IBU SAUDARA SAYA dalam gambar ini, diikuti kakak saya yang sulung. Mereka berdua menjalani saringan penderma dan buah pinggang kakak saya didapati tidak sesuai untuk tubuh saya.

KESANGGUPAN MENDERMA BUAH PINGGANG SEBENARNYA SANGAT MENCABAR MINDA. Bukan semua sanggup melepaskan anggota badan yang pastinya sangat disayangi. Mereka berdua menjiwai firman Allah yang mengatakan derma terbaik adalah dari benda yang paling disayangi. Pastinya ANGGOTA TUBUH BADAN adalah sesuatu yang bukan boleh dinilai dengan wang ringgit:

لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Ertinya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya (Ali 'Imran [3:92]).

Akhirnya pada 5 Ogos 2010 saya menerima "buah pinggang kanan" ibu saudara saya. Pembedahan  dijalankan di Hospital Selayang.  Selepas pembedahan dan memakai buah pinggang beliau, kualiti hidup saya semakin baik dan BANYAK BAKTI PADA  AGAMA DAN AL-QURAN dapat saya hulurkan. Ketiga buku saya "AYAT-AYAT SYAITAN, APABILA TUHAN BERBICARA & BERJALAN MELIHAT MENTAFSIR" terbit selepas saya kembali pulih. Alhamdulillah!

Setelah merenung kembali sejarah hidup, saya dapati ibu saudara saya ini memang akrab dengan saya semenjak kecil. Subhanallah! Saya temui dan "RASAI" kebenaran sabda Rasulullah SAW selepas menerima buah pinggang beliau:

الخالة بمنزلة الام
Ertinya: Ibu saudara (sebelah ibu) sama kedudukannya seperti ibu sebenar (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Juga sabda baginda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ " .

Ertinya: Sesiapa yang suka (mahu) dilapangkan rezekinya serta dipanjangkan umurnya  (dengan keberkatan), maka hubunglah tali kekeluargaan  (Sahih al-Bukhari).

Pengajarannya, jagalah hubungan dengan isteri/pasangan anda. Tanpa isteri saya yang solehah lagi setia berdamping menerima suaminya yang sakit sejak tahun 2001 "siapalah saya."

Jagalah juga hubungan silaturahim kerana kita TIDAK TAHU APA FAEDAH REZEKI DAN KEBERKATAN PANJANG UMUR yang mungkin Allah simpan untuk kita pada kemudian hari. Terima kasih pada kakak saya Raihan Hanim dan ibu saudara saya Siti Aesahah. Semoga Allah ganjari anda berdua pada setiap usaha dakwah yang saya lakukan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...