Monday, August 24, 2015

JAGA SOLAT - RUMAH TANGGA AKAN TERJAGA

JAGA SOLAT - RUMAH TANGGA AKAN TERJAGA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Kedua pasangan pengantin mesti jaga solat. Jika kita jaga solat, maka semuanya akan lancar, licin dan rumah tangga akan dijaga Allah.”

Khutbah kahwin yang disampaikan Tuan Imam dari Kuang santai sahaja, namun saya tertarik dengan pesanannya kepada pasangan pengantin agar solat senantiasa dijaga. Pagi tadi (23 Ogos 2015) saya menghadiri majlis kahwin keluarga angkat saya di Kuang, Selangor. Pesanan Tuan Imam terus mengingatkan ayat 54-60 surah Maryam yang saya baca dan hurai selepas solat Subuh pagi tadi di surau taman saya (Nur al-Syura Bandar Baru Selayang Fasa 2B). Itulah rutin saya pada pagi Sabtu dan Ahad setiap minggu. Saya akan mengimamkan solat serta menjelaskan Tafsir ringkas ayat yang sudah dibaca. Huraiannya ringkas, sekadar 15 minit sahaja.

Dalam ayat itu Allah menyebut solat adalah warisan para Rasul seperti nabi Ismail AS:

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِسْمَاعِيلَ إِنَّهُ كَانَ صَادِقَ الْوَعْدِ وَكَانَ رَسُولًا نَبِيًّا (54) وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُ بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ وَكَانَ عِنْدَ رَبِّهِ مَرْضِيًّا (55)

Ertinya: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Ismail; sesungguhnya ia adalah benar menepati janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi. Dan adalah ia “MENYURUH KELUARGANYA MENGERJAKAN SEMBAHYANG” dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya! (Maryam [19:54-55]).

Bahkan dalam surah yang sama Allah turut menceritakan SOLAT juga antara misi utama nabi Isa AS apabila baginda berbicara  ketika masih bayi:

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آَتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا (30) وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا (31)

Ertinya: Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, “DAN DIPERINTAHKAN DAKU MENGERJAKAN SEMBAHYANG” dan memberi zakat selagi aku hidup (Maryam [19:30-31]).

Impak meninggalkan solat sangat bahaya kerana ia menjadikan pelakunya buas dan mengikut hawa nafsu:

فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا

Ertinya: Kemudian mereka (generasi para nabi) digantikan oleh “KETURUNAN YANG MENCUAIKAN SEMBAHYANG SERTA MENURUT HAWA NAFSU (DENGAN MELAKUKAN MAKSIAT)”; maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), (Maryam [19:59]).

Gandingan “MENINGGALKAN SOLAT DAN MENJADI BUAS MENGIKUT HAWA NAFSU” dalam ayat ini sangat benar. Manusia yang putus hubungannya dengan Allah dalam kitaran 5 kali sehari akan hilang arah dalam hidup. Hidupnya seumpama si anak muda yang jauh dari ibu bapa di kampong. Sudah tiada sesiapa yang mampu menegur sebarang lakunya yang terlarang. Apabila solat sudah ditinggalkan, jiwanya kosong dari Allah. Pada saat ini senanglah Syaitan masuk menunggang nafsunya menyentuh dosa.

Dalam isu rumah tangga pula, bicara tuan Imam Kuang itu bertepatan dengan firman Allah:

وَإِنْ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ إِلَّا أَنْ يَعْفُونَ أَوْ يَعْفُوَ الَّذِي بِيَدِهِ عُقْدَةُ النِّكَاحِ وَأَنْ تَعْفُوا أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَلَا تَنْسَوُا الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ (237) حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ (238)

Ertinya: Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan. “PELIHARALAH KAMU (KERJAKANLAH DENGAN TETAP DAN SEMPURNA PADA WAKTUNYA) SEGALA SEMBAHYANG FARDU”, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk (al-Baqarah [2:237-238]).

Persoalan yang akan ditanya adalah “MENGAPAKAH ALLAH MENGARAHKAN HAMBANYA MENJAGA SOLAT KETIKA BICARA AYAT SEBELUM DAN SELEPASNYA MEMBINCANGKAN ISU RUMAH TANGGA SEPERTI CERAI, NAFKAH DAN SEBAGAINYA?”

Jawabnya terus menggambarkan kebijaksanaan Allah yang menjadikan solat yang benar penghayatannya sebagai pencegah kemungkaran:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Ertinya: Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan “DIRIKANLAH SEMBAHYANG (DENGAN TEKUN DAN PENUH PENGHAYATAN); SESUNGGUHNYA SEMBAHYANG ITU MENCEGAH DARI PERBUATAN YANG KEJI DAN MUNGKAR”; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan (al-‘Ankabut[29:45]).

Solat menjadi peringatan amali yang menghubung antara hamba dengan tuhanNya. Apabila hamba sedar kewujudan tuhanNya dengan ikatan solat, segala ruang kemarahan, kezaliman atau penindasan dalam rumah tangga lebih-lebih selepas berlakunya perceraian senang ditutup. Hamba yang mengingati tuhanNya melalui ikatan solat juga mampu berlaku adil serta bertolak ansur dalam urusan  rumah tangga (Tafsir al-Munir oleh Prof Wahbah al-Zuhayli). Inilah antara rahsia firman Allah yang menyebut SOLAT YANG BENAR PENGHAYATANNYA MAMPU MENCEGAH KEMUNGKARAN. Pastinya salah satu jenis kemungkaran adalah kezaliman dalam rumah tangga. Subhanallah! Firman Allah itu benar semuanya.

Marilah kita senantiasa mengingatkan diri dan keluarga agar senantiasa menjaga solat sebagaimana arahan Allah ini:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Ertinya: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa (Taha [20:132]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...