Friday, August 28, 2015

CHECKLIST CINTA IBU BAPA KEPADA ANAK-ANAK

CHECKLIST CINTA IBU BAPA KEPADA ANAK-ANAK

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Apa yang aku paling takut? Disapa mesra hantu? Rugi harta? Serangan Binatang buas? Hilang kerja?”

Itu soalan yang pernah berlegar dalam minda saya dahulu. Soalan itu akhirnya hilang tanpa jawapan pasti, sehinggalah pada satu malam saya bermimpi ngeri. Sungguh ngeri sehingga saya tersedar di tengah malam dengan degupan jantung yang kencang serta tubuh dibasahi peluh jantan. Saya bermimpi “KEHILANGAN ANAK.” Rupanya inilah perkara yang paling saya dan semua ibu bapa TAKUTI!

Benar! Kehilangan anak adalah perkara yang paling ditakuti semua ibu bapa, namun begitu nun jauh di sana (di akhirat) ada perkara yang lebih patut kita takutkan tentang anak kita iaitu KEHILANGAN MEREKA DI TELAN API NERAKA.

Oleh itu, kita perlu panjangkan kasih sayang kita kepada mereka agar tidak terpisah dari kita di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Berikut beberapa “CHECKLIST” yang perlu kita perhatikan:

1) PENAMBAHAN ILMU SECARA KONSISTEN.

Ibu bapa wajib mengisi diri dengan ilmu dunia dan “ILMU AKHIRAT” sebagai syarat utama mengemudi keluarga dan mendidik anak-anak ke syurga. Keluarga yang kosong “ILMU AKHIRAT”seumpama sebuah bahtera yang patah layarnya di tengah lautan. Mudah sahaja bahtera itu tenggelam dilanda badai dunia yang mencabar.

2) PENEGUHAN TAWHID.

Muslim hanya bertuhankan Allah dan bukannya makhluk. Pemomokan anak-anak dengan “hantu” wajib dihindarkan sama sekali. Jika tidak, sia-sialah asas Tawhid yang mula kita terap seawal kelahiran mereka dengan laungan azan. Asas ini kemudiannya dipanjangkan dengan arahan solat seawal 7 tahun. Tawhid juga menjadi pesanan Luqman al-Hakim di awal pendidikan beliau kepada anaknya:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar" (Luqman[31:13]).

Lihat bagaimana cara penerapan Tawhid yang dibawa oleh Rasulullah SAW ketika mengajar sepupu baginda (Abdullah Ibn ‘Abbas) yang masih kecil:

يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ

Ertinya: Wahai anak! Aku akan mengajarkanmu beberapa pelajaran berguna. Jagalah (hak) Allah (dengan mentaatiNya), sudah pasti Allah akan menjagamu. Jagalah (hak) Allah (dengan mentaatiNya), sudah pasti Allah akan membantumu. Jika engkau mahu meminta sesuatu maka mintalah dari Allah.  Jika engkau mahukan pertolongan, maka mintalah pertolongan darinya. Percayalah bahawa jika seluruh umat manusia berkumpul untuk memberikanmu sesuatu manafaat, mereka tidak akan mampu (sama sekali)  memberikanmu manafaat melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu. Dan jika mereka (seluruh umat manusia) berkumpul untuk memudharatkanmu, mereka tidak akan mampu (sama sekali)  memudharatkanmu melainkan apa yang sudah Allah tentukan untukmu. Pena taqdir sudah diangkat dan kertas taqdirmu juga sudah kering! (Taqdir yang ditulis semenjak azali sudah muktamad dan tidak akan berubah) (Sunan al-Tirmidhi).

3) PEMILIHAN KAWAN.

Sebelum berpesan kepada anak agar memilih kawan yang betul, ibu bapa terlebih dahulu wajib memilih kawan yang betul agar cara didikan kita seiring cara orang Soleh. Lihat pesanan umum Luqman kepada ibu bapa dan anak dalam pemilihan kawan:

وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

Ertinya: “DAN IKUTILAH JALAN ORANG YANG RUJUK KEMBALI KEPADAKU” (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan (Luqman [31:15]).

Jika ada kawan kita berlumba berbangga dengan materialisme yang mampu dicurahkan kepada anak-anak mereka, pilihlah kawan yang berjaya mencurahkan siraman rohani kepada anak-anak mereka. Ini kerana bekal rohani pada anak-anak kita “JAUH LEBIH BERGUNA UNTUK MEREKA DAN KITA SELEPAS KEMATIAN.”

4) PEMANTAPAN AKHLAK

Lazimnya ibu bapa yang berakhlak mampu mendidik anak berakhlak. Surah Luqman juga mengajarkan prinsip akhlak mulia pada pendidikan anak-anak:

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ (18) وَاقْصِدْ فِي مَشْيِكَ وَاغْضُضْ مِنْ صَوْتِكَ إِنَّ أَنْكَرَ الْأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الْحَمِيرِ (19)

Ertinya: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai" (Luqman [31:18-19]).

5) TANAMKAN CINTA KEPADA AL-QURAN

Al-Quran memang terbukti mengubah para sahabat Rasulullah SAW daripada manusia jahiliah yang berjiwa kosong kepada generasi al-Quran terbaik. Para sahabat dan generasi salafussoleh menemui “JAUHARI ISLAM YANG SEBENAR” kerana mereka masuk ke gedung Islam melalui pintu yang betul iaitu al-Quran. Sediakan program yang mampu mendekatkan anak kita dengan al-Quran. Lebih elok jadikan mereka para hafiz al-Quran.

Saya yang sudah hampir 20 tahun menghafaz, mengulangkaji hafazan, mendalami dan mengajar Tafsir tidak dapat mengungkap kelazatan al-Quran yang sudah saya rasai. Apa yang saya tahu, al-Quran adalah bekal jiwa terbaik untuk semua. Saya sudah terlewat kerana mulai menghafaz ketika usia sudah mencecah 17 tahun. Alangkah baiknya jika anak kita semua boleh mulai “bercinta dengan al-Quran” seawal mungkin.

6) DOA BERTERUSAN UNTUK ANAK-ANAK

Doa adalah ibadat paling mudah yang tidak memerlukan modal yang mahal. Modalnya cuma lidah dan hati yang ikhlas. Doa ibu bapa kepada anak-anak adalah doa terbaik kerana ia dipanjatkan dengan penuh ikhlas tanpa apa-apa kepentingan. Ia juga laju menerjah awan naik ke langit, sabda Rasulullah SAW:

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْوَالِدِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

Ertinya: 3 jenis doa yang tiada keraguan pada penerimaannya (oleh Allah), iaitu doa (ibu) bapa kepada anaknya (sama ada doa yang baik atau buruk), doa orang musafir dan doa orang yang sedang dizalimi (Sunan Abu Dawud).

Para Rasul yang mulia juga tidak putus berdoa untuk anak-anak mereka:

1 - Nabi Ibrahim AS:

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Ertinya: " Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" (al-Saffat [37:100]).

Mengenang doa ini, arwah ayahanda saya selalu melantunkan doa ini setiap kali kami selesai solat berjemaah.

2 - Nabi Zakariyya AS:

هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ

Ertinya: Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan" (Ali ‘Imran [3:38]).

Jika doa ibu bapa kepada anak-anak mereka dimakbulkan Allah, ia bakal bertimbal balik kepada ibu bapa dan menjadi “TABUNG AKHIRAT” yang berterusan isian pahalanya.

Hilangkan rasa takut kehilangan anak anda di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat dengan memastikan senarai semak di atas dipenuhi dengan jaya. Semoga keluarga kita bersatu secara kekal abadi dalam syurga kelak, Insya-Allah:

وَالَّذِينَ آَمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ

Ertinya: Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya (al-Tur[52:21]).

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...