Sunday, July 12, 2015

MUSIBAH AGAMA DI HUJUNG RAMADAN

MUSIBAH AGAMA DI HUJUNG RAMADAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Aduh! Buntu rasanya antara bersekang mata memecut pacuan ibadat bagi menghidupkan 10 malam terakhir atau berhabis menyiapkan persiapan hari raya. Yang satunya bernilai 1000 bulan, manakala yang satu lagi datangnya setahun sekali. Keduanya penting, namun mana yang harus diutamakan?

Itu mungkin dilema sesetengah orang awam apabila Ramadhan mulai melabuhkan tirainya.  Kelihatan kilauan malam al-Qadar hanya seakan tembaga walaupun ia sebenarnya emas bertatahkan berlian yang dilimpahkan setahun sekali pada 10 malam terakhir Ramadhan. Apa pun pilihan kita, jangan sampai kita ditimpa “musibah agama” ketika kemuncak ibadat menjengah di akhir Ramadhan. 

Musibah agama? Ramai yang tak sedar bahkan tak tahu rupanya musibah itu ada 2 jenis iaitu; musibah agama dan musibah dunia. Musibah dunia merujuk kepada kesusahan yang menimpa manusia di dunia seperti sakit, letih, rugi dan sebagainya. Musibah dunia mampu menjadi rahmat kepada orang beriman yang redha dengan pemberian Allah sebagaimana disebut Rasulullah SAW;

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Ertinya: Tiada yang menimpa seorang muslim satu kesusahan, kesakitan, keresahan, kesedihan, kedukaan, bahkan sehingga secucuk duri yang menikamnya melainkan Allah akan menghapus dosa-dosanya (Sahih al-Bukhari).

Musibah agama pula merujuk tindakan manusia yang merosakkan iman mereka kepada Allah atau sebarang aktiviti dosa. Musibah ini boleh menjadi sebab manusia terhumban ke neraka. Bahkan dalam doanya yang masyhur baginda memohon perlindungan dari musibah agama:

وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا وَلَا تَجْعَلْ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمِّنَا وَلَا مَبْلَغَ عِلْمِنَا وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لَا يَرْحَمُنَا

Ertinya: Dan janganlah Engkau jadikan musibah/keburukan kami pada agama kami. Dan janganlah Engkau jadikan dunia itu sebagi keutamaan cita-cita kami dan kesudahan ilmu kami. Dan janganlah Engkau jadikan pemerintah kami orang yang tidak bersifat belas kasihan kepada kami (Sunan al-Tirmidhi).        

Ketika berada di persimpangan antara menderhakai Allah dengan mengikut kehendak wanita Mesir atau dipenjarakan, nabi Yusuf AS memilih penjara kerana baginda tahu susah dunia dalam penjara bukanlah penghujung kehidupannya asal jangan mengundang amarah murka Allah dengan musibah agama seperti zina:


قَالَتْ فَذَلِكُنَّ الَّذِي لُمْتُنَّنِي فِيهِ وَلَقَدْ رَاوَدْتُهُ عَنْ نَفْسِهِ فَاسْتَعْصَمَ وَلَئِنْ لَمْ يَفْعَلْ مَا آَمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونَنْ مِنَ الصَّاغِرِينَ (32) قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُنْ مِنَ الْجَاهِلِينَ (33(


Ertinya: (Isteri Aziz atau Zulaikha) berkata: "Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina." Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya“(Yusuf[12:32-33]).

Apa kaitannya musibah agama dengan akhir Ramadan?  Sebenarnya tidak sensitif dengan pesta ibadat secara khusus seperti pencarian malam al-Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan juga termasuk dalam kategori musibah agama. Tambahan pula ia adalah hadiah khusus dari Allah untuk umat Islam dan juga menjadi saranan Rasulullah SAW (Sahih al-Bukhari dan Muslim). 

Rugi sungguh orang yang tidak mengendahkan atau menolak hadiah hebat ini dari Allah. Jika ditanya kepada umat terdahulu, pastinya mereka sangat mencemburui umat Islam dengan hadiah malam al-Qadar. Apa tidaknya, satu ibadah dijanjikan dividen dan bonus berganda sampai 1000 bukan.

Bukan biskut raya, bukan langsir atau sofa baru yang akan dibawa bertemu Allah di akhirat kelak, tetapi peluang timbunan ibadat.


Secara mudah, bulan Ramadhan boleh diumpamakan seperti sebuah perlumbaan berjarak 30 meter. Pada hujung garisan tersedia hadiah istimewa rahmat dan pengampunan Allah untuk orang yang berjaya menamatkan larian dengan cemerlang. Pada 20 meter pertama larian sudah agak laju berbanding bukan lain. Apabila langkah pelumba menghampiri 10 meter terakhir, pecutan wajib digandakan agar segera sampai di hujung bagi mengutip segala macam hadiah yang disediakan.

Malang sekali orang yang gagal menghabiskan larian Ramadhan dengan cemerlang kerana tertarik dengan bekas air berkilau seperti tembaga di tepi trek larian. Bekas air yang disangka emas itu rupanya kilauan palsu tembaga. Isinya pun tidak mampu menghilang dahaga rohani. Lalu kekeliruan itu merosakkan peluang si pelumba meraih emas di hujung larian.

Ayuhlah kita merebut peluang berbaki di akhir Ramadhan ini kerana Ramadan tahun hadapan belum tentu milik kita.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...