Saturday, June 6, 2015

BICARA YASIN - MANUSIA MEMANG SUKA BERGADUH

BICARA YASIN - MANUSIA MEMANG SUKA BERGADUH

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Yasin [36:26]) pada 5 Jun 2015. Antara isunya adalah tabiat manusia yang suka bertengkar dan bergaduh.

Manusia memang suka bergaduh dan bertengkar. Orang dahulu bergaduh dan bertengkar biasanya secara berdepan. Orang moden pula bergaduh dan bertengkar di alam maya dengan lawan yang berbatu jauhnya. Kalau orang dahulu mahu bertindak, diuli muka lawan dengan buku lima atau ditetak dengan parang. Darah pendekar terpamer melalui gerak langkah. Maka tinggallah parut zahir pada lawan. Orang moden pula kalau mahu bertindak, senjata mereka adalah “print screen” yang kemudiannya di “viral” seluruh dunia. Biar lawan malu tujuh keturunan. Kependekaran mereka terserlah pada “SILAT ATAU KUNTAU JARI YANG MENAIP DAN MENEKAN” papan kekunci. Lalu tinggallah parut emosi pada pihak lawan. Kesimpulan yang boleh diambil dari cerita orang dahulu dan orang moden adalah “MEMANG MANUSIA SUKA BERGADUH DAN BERTENGKAR.”

Rupanya dalam bicara Yasin, Allah sudah menyindir tabiat “SUKA BERGADUH DAN BERTENGKAR” manusia dalam firmanNya:

وَيَقُولُونَ مَتَى هَذَا الْوَعْدُ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (48) مَا يَنْظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً تَأْخُذُهُمْ وَهُمْ يَخِصِّمُونَ (49)

Ertinya: Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): " Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!",  Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang - (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka “SEMASA MEREKA DALAM KEADAAN LEKA BERTENGKAR” (merundingkan urusan dunia masing-masing) (Yasin[36:48-49]).

Ayat ini mengkisahkan kebiadaban Muysrikin Quraysh menyindir Rasulullah SAW dengan bertanya bila tarikh tepat kiamat bakal berlaku. “MENARIKNYA, DI HUJUNG AYAT 49 DISEBUT SECARA SINIS MEMANG MANUSIA SANGAT SUKA BERTENGKAR DAN BERGADUH.”

Persoalannya, bolehkah kita BERGADUH ATAU BERTENGKAR? Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Islam tidak membunuh fitrah manusia sebaliknya membimbingnya ke lorong yang betul iaitu lorong yang menjanjikan pahala. Jika manusia suka jantina berbeza, Islam membimbingnya ke laluan pernikahan yang sah sehingga hubungan kelamin pun membuahkan pahala berganda.

Jika manusia suka harta, Islam mengarahkannya ke laluan yang halal dan sah. Pahala juga digandakan pada si kaya yang rajin bersedekah. Jika manusia suka bergaduh dan bertengkar, Islam memandunya ke jalan yang betul di medan jihad melawan KAFIR HARBI atau dalam kandang debat sopan sebagai jalan dakwah:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

Ertinya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, “DAN BERBAHASLAH DENGAN MEREKA (YANG ENGKAU SERUKAN ITU) DENGAN CARA YANG LEBIH BAIK”; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk (al-Nahl[16:125]).

Kadangkala bergaduh atau bertengkar pun turut berlaku sesama orang Islam. Jika perlu bergaduh atau bertengkar dengan saudara muslim kita sekalipun, jagalah adabnya. Kenalilah mana musuh dan mana saudara seagama. Perhatikan sifat orang beriman yang dipuji Allah ketika berhadapan dengan teman seakidah atau “SE-JEMAAH apatah lagi SE-PARTI”:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; “MEREKA PULA BERSIFAT LEMAH-LEMBUT TERHADAP ORANG YANG BERIMAN DAN BERLAKU TEGAS GAGAH TERHADAP ORANG KAFIR (HARBI DI MEDAN PERANG), mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya (al-Ma’idah[5:54]).

Juga jagalah bahasa ketika bertengkar atau bergaduh kerana bahasa adalah jendela syaitan. Apabila jendela ini terbuka luas maka syaitan akan menyusup masuk secara licik. Natijahnya pertengkaran bakal mengundang permusuhan:

وَقُلْ لِعِبَادِي يَقُولُوا الَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْزَغُ بَيْنَهُمْ إِنَّ الشَّيْطَانَ كَانَ لِلْإِنْسَانِ عَدُوًّا مُبِينًا

Ertinya: Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), “SUPAYA MEREKA BERKATA DENGAN KATA-KATA YANG AMAT BAIK (KEPADA ORANG-ORANG YANG MENENTANG KEBENARAN); SESUNGGUHNYA SYAITAN ITU SENTIASA MENGHASUT DI ANTARA MEREKA (YANG MUKMIN DAN YANG MENENTANG)”; sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia (al-Isra’ [17:53]).

Baginda juga bersabda:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Ertinya: Seorang Muslim (sejati) adalah orang yang saudara Muslimnya yang lain terselamat dari (kejahatan) lidah dan TANGANNYA (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Bergaduh, bertengkar dan berselisih pendapat adalah fitrah manusia. Jagalah etika dan akhlak Islam, kita akan senantiasa nampak mulia dan indah walaupun ketika berselisih pendapat.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...