Sunday, May 10, 2015

SAMBUT HARI IBU BAPA SEPANJANG HAYAT KERANA IA SARANAN ISLAM BUKAN KERANA SARANAN BARAT

SAMBUT HARI IBU BAPA SEPANJANG HAYAT KERANA IA SARANAN ISLAM BUKAN KERANA SARANAN BARAT

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

“Ustaz! Apa sebenarnya hukum menyambut hari ibu? Ada fatwa kata harus, ada pula kata ia berasal dari tradisi bukan Islam. Kita pula haram mengikut budaya bukan Islam. Pening kami Ustaz.”

Saya tak mampu menjawab soalan itu, tambahan pula pihak autoriti agama pastinya sudah mengambil kira semua aspek yang perlu sebelum mengeluarkan fatwa berkaitannya. Cuma antara kesilapan sesetengah umat Islam adalah “JIWA MEREKA HANYA TERGERAK UNTUK MENGENANG JASA IBU BAPA SETELAH IA DIGERAKKAN OLEH PIHAK BUKAN ISLAM”, sedangkan Islam sudah lama mewartakan HARI IBU BAPA SETIAP HARI SEPANJANG HAYAT. Bahkan ia selalu disebut sejurus larangan menyekutukan Allah. Mengapa? Tidak lain kerana Allah adalah sebab kewujudan kita di dunia, maka sewajibnya kita mempertuhankan Allah sahaja. Ibu bapa pula menjadi sebab kedua lahirnya kita ke dunia, maka sewajibnya kita berbuat baik serta mengenang mereka sepanjang hayat dan selepas kematian mereka.

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا (23) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (24)

Ertinya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "WAHAI TUHANKU! CUCURILAH RAHMAT KEPADA MEREKA BERDUA SEBAGAIMANA MEREKA TELAH MENCURAHKAN KASIH SAYANGNYA MEMELIHARA DAN MENDIDIKKU SEMASA KECIL." (al-Isra’ [17:23]). 

Bakti doa kepada ibu bapa sangat mudah semudah lafaz doa dalam ayat di atas - وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا – pendek dan ringkas tak sampai pun 10 saat. Jika masih memberi alasan doa kepada ibu bapa perlu bertangguh serta hanya dibuat sesekali setelah diswastakan kepada pihak surau dan masjid, sungguh kita adalah anak yang tidak mengenang budi.

Berbuat baik kepada ibu bapa adalah akhlak mulia para nabi:

يَا يَحْيَى خُذِ الْكِتَابَ بِقُوَّةٍ وَآَتَيْنَاهُ الْحُكْمَ صَبِيًّا (12) وَحَنَانًا مِنْ لَدُنَّا وَزَكَاةً وَكَانَ تَقِيًّا (13) وَبَرًّا بِوَالِدَيْهِ وَلَمْ يَكُنْ جَبَّارًا عَصِيًّا (14) وَسَلَامٌ عَلَيْهِ يَوْمَ وُلِدَ وَيَوْمَ يَمُوتُ وَيَوْمَ يُبْعَثُ حَيًّا (15)

Ertinya: "Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak. dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta kelebihan yang kembang manfaatnya; dan dia seorang yang bertaqwa. DAN DIA TAAT SERTA BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPANYA, dan dia pula tidak sombong angkuh atau derhaka. Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari ia diperanakkan, dan pada hari dia mati, serta pada hari dia dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat) (Maryam[19:12-15]).

Juga kisah bakti nabi Isa AS:

قَالَ إِنِّي عَبْدُ اللَّهِ آَتَانِيَ الْكِتَابَ وَجَعَلَنِي نَبِيًّا (30) وَجَعَلَنِي مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنْتُ وَأَوْصَانِي بِالصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ مَا دُمْتُ حَيًّا (31) وَبَرًّا بِوَالِدَتِي وَلَمْ يَجْعَلْنِي جَبَّارًا شَقِيًّا (32)

Ertinya: Ia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. "SERTA (DIPERINTAHKAN DAKU) TAAT DAN BERBUAT BAIK KEPADA IBUKU, DAN IA TIDAK MENJADIKAN DAKU SEORANG YANG SOMBONG TAKBUR ATAU DERHAKA (Maryam[19:30-32]).

Jadilah Muslim sejati! Kenang dan sambut hari ibu bapa setiap hari sepanjang hayat kerana ia arahan Islam bukan kerana ia dipopularkan orang Barat.  Semasa hidup, bakti kepada ibu bapa adalah dengan menjadi anak soleh berbakti serta menggembirakan mereka, manakala selepas kematian mereka adalah dengan panduan hadith ini:

عَنْ أَبِي أُسَيْدٍ مَالِكِ بْنِ رَبِيعَةَ السَّاعِدِيِّ قَالَ
بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ بَقِيَ مِنْ بِرِّ أَبَوَيَّ شَيْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ بَعْدَ مَوْتِهِمَا قَالَ نَعَمْ الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا

Ertinya: Abu Usayd Malik bin Rabi’ah al-Sa’idiy menceritakan, pada suatu hari ketika kami bersama Rasulullah SAW seorang lelaki Bani Salamah bertanya baginda: Wahai Rasulullah adakah masih ada peluang untukku berbuat baik kepada kedua ibu bapaku selepas kematian mereka berdua? Baginda SAW menjawab: Ya! Dengan berdoa kepada mereka, memohon pengampunan untuk mereka, menyempurnakan segala janji mereka selepas kematian mereka, menghubung silaturahim yang tidak mungkin dihubung melainkan dengan kewujudan mereka (saudara mara yang agak jauh) dan memuliakan kawan mereka berdua (Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad).

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...