Wednesday, May 13, 2015

RAHSIA FIRMAN ALLAH "JANGAN DEKATI" SESETENGAH DOSA

RAHSIA FIRMAN ALLAH “JANGAN DEKATI” SESETENGAH DOSA

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Apa salahnya jika terus sahaja disebut “jangan berzina atau jangan makan harta anak yatim?” Sebaliknya untuk 2 dosa besar ini Allah mengubah struktur ayatnya menjadi “JANGAN DEKATI ZINA dan JANGAN DEKATI HARTA ANAK YATIM!

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Ertinya: Dan “JANGANLAH KAMU DEKATI ZINA,” sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan) (al-Isra’[17:32]).

Dan firman Allah:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Ertinya: Dan “JANGANLAH KAMU DEKATI HARTA ANAK YATIM MELAINKAN DENGAN CARA YANG BAIK (UNTUK MENGAWAL DAN MENGEMBANGKANNYA),” sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya (al-Isra’ [17:34]).

Dalam ayat lain Allah mengulang sebut larangan sama, juga dalam lafaz JANGAN DEKATI:

قُلْ تَعَالَوْا أَتْلُ مَا حَرَّمَ رَبُّكُمْ عَلَيْكُمْ أَلَّا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ مِنْ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ (151) وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّى يَبْلُغَ أَشُدَّهُ وَأَوْفُوا الْكَيْلَ وَالْمِيزَانَ بِالْقِسْطِ لَا نُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى وَبِعَهْدِ اللَّهِ أَوْفُوا ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (152)

Ertinya: Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; “DAN JANGANLAH KAMU DEKATI KEJAHATAN (ZINA) - YANG TERANG DARIPADANYA DAN YANG TERSEMBUNYI; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

"DAN JANGANLAH KAMU DEKATI HARTA ANAK YATIM MELAINKAN DENGAN CARA YANG BAIK (UNTUK MENGAWAL DAN MENGEMBANGKANNYA),” sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya - "dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)" (al-An’am [6:151-152]).

Pasti ada rahsianya yang boleh dirungkai kerana setiap patah KALAM ALLAH ini berisi hikmah dan bukti keagungan Allah. Dalam bicara bahasa Arab, tegahan mendekati membawa maksud LARANGAN BERGANDA DARI MELAKUKAN SESUATU PERKARA (Tafsir al-Alusi). Jika ada yang faham, “Allah larang dekati zina sahaja, berzina tak mengapa,” orang berfahaman sebegini perlu segera dirujuk kepada doktor sakit mental.

Maha suci Allah yang Maha Mengetahui kelemahan makhluk ciptaanNya. LARANGAN JANGAN DEKATI untuk 2 dosa ini disebut kerana Allah memang mengetahui godaan zina dan harta anak yatim yang tiada audit rasmi sangat sukar ditangkis oleh manusia. 2 Dosa besar ini sangat kuat tarikannya. Jika dikata zina serta makan harta anak yatim itu kesannya berjarak, dalam jarak 10 meter darinya sahaja “DAYA TARIKAN ATAU MEDAN MAGNETIK GODAANNYA” sudah cukup kuat. Sesiapa yang masuk ke dalam lingkungan medan magnetik godaannya sukar lolos dan mudah tewas. Oleh itu, “CARA TERBAIK UNTUK SELAMAT ADALAH MENJAUHINYA SEAWAL MUNGKIN.” Umat terdahulu sudah lama tewas dengan tarikan magnetik 2 dosa ini. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ

Ertinya: Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau (kuat tarikannya). Allah pula menjadikan kamu sebagai pentadbir padanya, lalu Dia akan melihat bagaimanakah tingkah laku kamu semua. Oleh itu, berhati-hatilah dengan (godaan) dunia dan wanita, kerana sesungguhnya ujian pertama (merosakkan) Bani Isra’il adalah pada (godaan wanita) (Sahih Muslim).

Janganlah berlagak alim perkasa iman mampu melawan sapa mesra wanita asing atau pujian manis mulut lelaki berhidung belang. Juga jangan perasan kuat mampu menolak godaan harta tanpa audit seperti harta anak yatim yang tak mampu membela diri. Di sebalik indahnya sapa mesra wanita, pujian manis lelaki dan longgokan harta tanpa audit si anak yatim tersembunyi jerat Iblis yang sangat bahaya. Tarikan medan magnetiknya juga luar biasa kuatnya. Langkah paling selamat adalah jauhi dan halangi segala pintu ke situ. Inilah yang disebut Islam sebagai  سَدُّ الذَّرَائِع   iaitu pencegahan lebih baik dari merawat. Percayalah! Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita kerana Dia Pencipta kita. Jika dikata JANGAN DEKATI, maka jauhilah semampu mungkin kerana JAUH ITU BAKAL MENJADI RAHMAT MANAKALA DEKAT MEMBAWA LAKNAT. Mohon dijauhkan Allah.

Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...