Wednesday, May 13, 2015

BICARA YASIN: KESAN KAKI DAN LEGASIMU SENANTIASA DITULIS

BICARA YASIN: KESAN KAKI DAN LEGASIMU SENANTIASA DITULIS

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Jumaat (Yasin [36:12]) pada 8 Mei 2015. Antara isunya 2 makna perkataan KESAN TAPAKMU dalam surah Yasin.

Bani Salamah mengadu kepada Rasulullah SAW jauhnya jarak kampong mereka dari Masjid Nabawi. Mereka berhasrat untuk berpindah berhampiran masjid Nabawi agar cepat mereka sampai sejurus azan dikumandang. Pindah berdekatan juga mengurangkan penat dan memendekkan langkah mereka. Sejurus selepas dinyatakan hasrat itu, baginda SAW berpesan bahawa setiap langkah ditulis sebagai pahala. Semakin panjang langkah mereka ke Masjid, semakin panjanglah senarai pahala mereka  (Sunan al-Tirmidhi, Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim). Allah lalu menurunkan ayat ini:

إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآَثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ

Ertinya: Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, “DAN KAMI TULISKAN SEGALA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN SERTA SEGALA KESAN TAPAK KAKI (PERKATAAN DAN PERBUATAN) YANG MEREKA TINGGALKAN. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata (Yasin [36:12]).

Selain kesan “tapak kaki dan langkah” yang melangkah ke tempat baik atau buruk, kesan peninggalan dalam ayat ini turut ditafsirkan sebagai “LEGASI PENINGGALAN” seseorang manusia selepas mati. Ia dikukuhkan sabda Rasulullah SAW:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ

Ertinya: Sesiapa yang merintis dalam Islam satu amalan yang baik, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya pahala seperti pahala orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka itu. Dan sesiapa yang merintis dalam islam satu amalan yang buruk, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun dosa mereka itu (Sahih Muslim).

Selepas ini, jangan hanya berfikir untuk menyimpan longgokan harta untuk generasi anak cucu, sebaliknya simpanlah himpunan pahala dan legasi bermanafaat yang pastinya lebih kekal dan berharga. Contohilah, para ulama ummah yang berterusan pahala mereka berkat legasi peninggalan ilmu mereka. Kita boleh menyumbang dalam apa sahaja bidang yang diceburi asal ia baik dan berguna. Paling kurang pun, walau hanya dengan sebatang pokok:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ

Ertinya: Tiada muslim yang menabur benih atau menanam tanaman, lalu pokoknya itu dimakan burung atau manusia atau binatang liar melainkan ia menjadi sedekah baginya (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Jika tidak mampu sekalipun melakar legasi untuk ummah sehebat tokoh lain, semailah ia pada anak-anak kita agar mereka menjadi anak soleh yang kemudiannya menyambung legasi kita:

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ
وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Ertinya: Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (yang senantiasa berjalan pahalanya), ilmu yng diambil manafaat daripadanya atau anak soleh yang senantiasa mendoakannya (Sahih Muslim).

Inilah satu contoh lain bagaimana al-Quran dalam bicara Tafsirnya mampu memberi motivasi untuk kita berjasa semasa hidup dan selepas mati. Asal kita membaca al-Quran dengan teropong ilmu dan bukannya ritual kosong.

* Dapatkan nota Tafsir terdahulu di:

https://www.facebook.com/notatafsirabdullahbukhari?ref=hl

http://pts.com.my/buku/berjalan..melihat..mentafsir-ceritera-wartawan-al-quran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...